Monday, June 24, 2024

PPIM GESA KPDN AMBIL TINDAKAN PENJUALAN TIKET KONSERT YANG BELUM DAPAT KELULUSAN - BERITA HARIAN - 24/06/2024

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menjual tiket konsert yang belum mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima aduan mengenai penganjur konsert yang sudah mempromosikan jualan tiket tanpa memohon kebenaran bagi menganjurkan acara itu.

"Bagaimana jual tiket dulu baharu mohon kebenaran untuk anjurkan konsert? Jika tidak lulus, meraung seolah-olah mereka mangsa politik dan sebagainya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nadzim berkata, KPDN juga sepatutnya bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi (KKOM) untuk memastikan pengguna tidak tertipu dalam urusan jual beli tiket konsert atau apa-apa acara hiburan yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa.

Katanya, sebelum ini tular di media sosial penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat, Bruno Mars dikatakan bakal mengadakan persembahan di sini, pada 17 September ini.

Bagaimanapun, katanya, penganjuran konsert itu mendapat bantahan orang ramai kerana tarikh konsert itu adalah sehari selepas Maulidur Rasul, pada 16 September.

"Selain itu, penyanyi itu sebelum ini secara terang turut menyatakan sokongan beliau terhadap Israel ketika membuat persembahan di Israel pada Oktober 2023.

"Tidak hairanlah rakyat Malaysia tidak suka dengan cadangan persembahan itu," katanya.

Susulan itu, Nadzim turut meminta supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar untuk memberi pandangan beliau mengenai perkara itu.

Artikel oleh: Berita Harian

PPIM GESA KPDN AMBIL TINDAKAN PENJUALAN TIKET KONSERT YANG BELUM DAPAT KELULUSAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1262679/ppim-gesa-kpdn-ambil-tindakan-penjualan-tiket-konsert-yang-belum

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL