Monday, March 23, 2020

5817) PENTING BACA LABEL DULU - HARIAN METRO - 23/03/2020


TAHAP kesedaran masyarakat di negara ini mengenai kepentingan membaca label sebelum membeli produk makanan dikatakan masih lagi kurang.
Kebiasaannya, masih ramai yang hanya memeriksa tarikh luput tanpa memeriksa kandungan sesuatu produk yang dibeli.
Realitinya label makanan adalah penting kerana ia menjadi panduan dalam membantu pengguna membuat pilihan sekiranya mereka mengetahui dan diberikan maklumat yang lengkap.
Pengurus Kanan di sebuah syarikat pengeluar makanan, Asmalia Hassan@Hussin berkata, perkara itu berlaku berikutan akibat kurangnya pendedahan terhadap kepentingan membaca dan memahami label makanan.
Kata Asmalia, membaca label sebelum membeli sesuatu produk penting supaya pengguna dapat membuat pembelian dengan bijak.
“Kebiasaannya di produk itu terdapat nama sebutan sebenar makanan atau suatu perihalan mengenai makanan.
“Terdapat juga penyataan tambahan pada nama (untuk produk yang mengandungi daging lembu, babi dan alkohol.
LABEL pada produk makanan.
LABEL pada produk makanan.
“Selain itu, pada label juga tertera senarai ramuan, maklumat pemakanan, maklumat pengilang atau pengimport atau empunya jenama, negara penghasil, berat atau isipadu, tarikh luput, penglabelan hipersensitiviti (allergen), penyataan bahan aditif dan sebagainya” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Asmalia lagi, label juga penting kerana ia turut memaparkan maklumat nutrisi mengenai sesuatu produk.
Contohnya kata Asmalia, pada label turut disediakan kiraan jumlah tenaga untuk setiap hidangan, jumlah gula, kandungan vitamin, mineral, penyataan kandungan nutrien seperti tinggi serat, rendah lemak, sumber kalsium dan lain-lain lagi.
“Penyataan fungsi nutrien yang dibenarkan juga seperti kalsium membantu dalam pembentukan tulang dan gigi yang kuat.
“Justeru, pengguna perlu peka dan penting untuk membaca kandungan label makanan sebelum membelinya.
“Semua pihak juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk kesedaran kepada pengguna supaya membaca label produk terlebih dahulu dan ia juga disarankan supaya diterapkan kepada golongan muda khususnya pelajar sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mengakui masyarakat di negara ini terlalu mengambil mudah tanpa membuat pemeriksaan terhadap label makanan yang mereka beli.
Kata Nadzim, masyarakat Malaysia tidak terdidik sejak kecil mengenai kepentingan membaca label makanan.
“Apa yang ditengok hanyalah sama ada halal atau tidak dan tarikh luput, soal apa kandungan produk yang dibeli tidak diambil peduli,” katanya.
Menurut Nadzim lagi, kerajaan juga perlu melakukan penambahbaikan bagi memastikan info yang tertera pada label makanan senang difahami orang ramai.
Ini kerana kata beliau, ada maklumat yang kurang difahami pengguna dan menyebabkan mereka keliru.


Artikel oleh: Harian Metro

PENTING BACA LABEL DULU


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL