BERSELINDUNG di sebalik bantuan kemanusiaan, sekumpulan lelaki memperdaya lebih 60 ibu tunggal, asnaf dan suri rumah di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan mesin penapis air secara percuma membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.3 juta.
Kumpulan yang mendakwa mereka wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjanji memberikan mesin penapis air secara percuma kepada mangsa dengan dakwaan ia sebagai sebahagian aktiviti kemanusiaan anjuran mereka.
Mangsa yang bersetuju menerima mesin penapis air itu perlu menyerahkan butiran diri termasuk akaun bank selain menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat penapis air.
Mangsa juga dijanjikan bantuan kewangan yang akan disalurkan ke akaun bank masing-masing setiap bulan bergantung kepada model mesin penapis yang diterima.
Mangsa, Ratipah Adam, 61, berkata, dia bersama penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia didatangi kumpulan berkenaan pada Ogos lalu yang menawarkan bantuan kepada suri rumah serta asnaf mendapatkan produk percuma.
“Kami diberi taklimat mengenai misi kemanusiaan dan program bantuan mesin penapis itu sebanyak tiga kali. Memandangkan ramai antara kami yang berminat, maka kami bersetuju menyertainya.
“Pada bulan pertama, kami menerima pembiayaan sebanyak RM110 hingga RM120 bergantung kepada model mesin penapis itu. Tetapi selepas itu kami tidak menerima apa-apa bayaran malah wang di dalam akaun pula dipotong secara automatik. Bila disemak, kami dimaklumkan pembiayaan itu hanya akan tamat dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Ratipah berkata, dia dan rakan tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan kerana rata-rata mereka adalah asnaf dan berpendapatan rendah serta terpaksa berjimat cermat untuk meneruskan hidup.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan penjelasan daripada wakil kumpulan berkenaan serta syarikat penapis air terbabit namun gagal.
“Kami tidak tahu apa hendak dibuat sekarang ini. Sudahnya terpaksa menanggung potongan dari akaun selama lima tahun. Jumlah RM110 dan RM120 sebulan itu pula bukan sedikit, malah boleh menampung perbelanjaan harian.
“Kami juga pergi ke pejabat NGO itu untuk meminta penjelasan, tetapi sudah ditutup manakala usaha menghubungi wakil kumpulan itu juga gagal,” katanya yang membuat laporan di balai polis Setapak berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan ke Bukit Aman minggu depan untuk membantu mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, semakan awal PPIM mendapati, lelaki itu juga mempunyai kes di tempat lain sebelum ini dan menggunakan modus operandi sama untuk memerangkap mangsa.
“Jadi kita minta pihak berkuasa agar melakukan siasatan dan hadapkan penjenayah ke muka pengadilan kerana bukan saja menipu, malah mencemarkan imej NGO kemanusiaan secara umumnya.
“Orang susah sepatutnya dibantu, tetapi dia pula ambil kesempatan menipu. Saya minta agar masyarakat lebih berhati-hati dengan kewujudan sindiket seperti ini,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/529879/tergamak-menipu-asnaf-metrotv
No comments:
Post a Comment