Monday, July 8, 2019

5057) CETI HARAM UBAH STRATEGI - HARIAN METRO - 08/07/2019


LEBIH ramai peminjam ceti haram dijangka pokai selepas hari raya kerana jumlah pinjaman yang meningkat begitu ketara susulan penggunaan teknologi canggih seperti aplikasi tertentu di telefon pintar.

Jika sebelum ini ceti haram menampal poster dan iklan di tiang di tepi jalan sebagai promosi, mereka kini dikesan giat menghantar mesej ‘pinjaman selepas hari raya’ menerusi media sosial khusus untuk musim perayaan yang baru-baru ini.

Along kini dikesan menggunakan kecanggihan teknologi semasa dengan menyediakan aplikasi dan borang secara dalam talian untuk mengaburi mata orang ramai kononnya ia adalah mengikut peraturan ditetapkan kerajaan, namun sebenarnya along cekik darah.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah (Pengurusan) Unit Banteras Ceti Haram Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Zharif Johor berkata, rekod semasa menunjukkan terdapat pertambahan aduan isu along hampir 50 peratus daripada bulan biasa, rata-ratanya meminjam untuk menyambut Aidilfitri, baru-baru ini.

Katanya, along kini giat menawarkan promosi palsu kepada peminjam dengan pakej ansuran bulanan biarpun sebenarnya mereka akan mengubah terma sesuka hati mereka.

“Kalau sebelum ini, kita boleh lihat banyak iklan ditampal di tiang lampu, dinding di perhentian serta pokok, kini along juga sudah berubah arah dengan menjadikan teknologi komunikasi untuk mengiklankan pinjaman kepada pengguna.

“Isunya di sini, selain modus operandi yang sudah berubah, bagaimana mereka boleh mendapatkan begitu banyak nombor telefon pengguna kerana mereka yang tidak berurusan dengan along juga akan mendapat mesej tawaran pinjaman. Kita terima banyak aduan bulan lalu dan kita jangkakan ia akan meningkat sekali ganda selepas musi perayaan,” katanya.

Zharif berkata, tahun lalu, PPIM merekodkan 234 aduan di sepanjang Ramadan, 215 (Syawal) manakala 318 pada bulan berikutnya, menunjukkan pinjaman banyak dibuat ketika bulan perayaan dan selepas itu.

Katanya, along juga dikesan menggunakan borang secara dalam talian menerusi beberapa laman web untuk meyakinkan peminjam mereka menjalankan perniagaan secara sah dan tidak akan menipu pengguna.

“Semakan ke atas web ini mendapati, ada beberapa persamaan dengan along, contohnya bahasa yang digunakan mirip ceti haram. Aduan diterima juga mendapati, terma perjanjian diubah sesuka hati selepas peminjam bersetuju untuk meminjam.

“Kita jangkakan pada tahun ini, mereka yang terjebak dengan along menggunakan kaedah online ini akan meningkat kerana kelicikan mereka menggunakan teknologi semasa. Siapa sangka borang di dalam laman web itu juga diuruskan along ini.

“Bila sudah pinjam, mereka terikat dengan terma yang tidak dikawal oleh undang-undang negara. Contohnya pinjam RM900 bayar RM1,200 selama enam bulan. Tidak sampai dua minggu, along sudah tuntut bayaran pertama, ini yang kita katakan sesuka hati,” katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

CETI HARAM UBAH STRATEGI

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL