Thursday, May 2, 2019

4917) TNB CERIAKAN ANAK YATIM SAMBUT RAMADAN - BERITA HARIAN - 30/4/19




KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghulurkan bantuan RM5,000 kepada Rumah Anak-anak Yatim Dan Asnaf Qaseh di Lembah Jaya Selatan, Ampang Kuala Lumpur, bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Ramadan.
Selain itu, menerusi program 1orang 1barang, kakitangan TNB Kuala Lumpur turut menyumbangkan barangan seperti gula, beras dan keperluan harian kepada rumah anak yatim terbabit.
Ketua Perkhidmatan Pengguna TNB Kuala Lumpur Bahagian Retail, Ir Appadurai Sivanas, berkata pihaknya berharap bantuan itu dapat menceriakan anak yatim terbabit menyambut Ramadan beberapa hari lagi.
“Kakitangan kami juga bermurah hati memberi sumbangan kepada rumah anak yatim berkenaan dan berharap ia dapat meringankan beban ditanggung,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, pengurus rumah anak yatim terbabit, Mariamah Miskan berkata, penghuni rumah itu membabitkan anak-anak terbiar dan tidak sah taraf berumur satu hingga 17 tahun.
Beliau berkata, setakat ini seramai 55 orang ditempatkan di rumah anak yatim berkenaan iaitu 33 lelaki dan 22 perempuan.
“Kami menerima bantuan tetap daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebanyak RM500 sebulan dan berharap orang ramai dapat membantu kami dari segi makanan dan wang tunai untuk membayar bil elektrik serta air.
“Saya berterima kasih kepada TNB kerana sudi membantu meringankan beban kami,” katanya.
Rumah anak yatim yang ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lalu turut menempatkan enam penjaga iaitu ibu tunggal.
Orang ramai yang ingin membantu rumah anak yatim itu boleh menderma melalui akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Dan Asnaf Qaseh Ibu ( 562209652207)

Artikel oleh : Berita Harian
TNB CERIAKAN ANAK YATIM SAMBUT RAMADAN


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL