Thursday, September 13, 2018

4627) “TUNGGU MASA KAHWIN” – HARIAN METRO – 13/9/18


Saya ingin tebus semua kesalahan dan bina keluarga ini. Semua urusan untuk pernikahan sudah dibuat dan hanya menunggu masa saja.
“Arwah nenek yang meninggal dunia minggu lalu juga mewariskan rumah untuk kami selepas berkahwin. Saya berharap semua urusan dipermudahkan.”
Demikian kata bapa bayi perempuan yang hampir dijual kepada pihak ketiga selepas ditempatkan di sebuah pusat jagaan di Batu Caves, Selangor pada 25 Ogos lalu.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Amirul, 19, berkata, selepas berbincang dengan keluarga kedua-dua pihak, dia bersetuju menikahi teman wanitanya yang juga ibu bayi berkenaan.
“Saya tahu apa yang berlaku ini salah saya. Jadi saya ingin betulkan. Sejak kes itu, saya berazam untuk terus menjaga anak kami.
“Cuma buat masa ini, saya tak tahu bagaimana keadaan pasangan (teman wanita). Sekarang dia dan bayi kami ditempatkan di sebuah pusat jagaan di Negeri Sembilan sementara menunggu siasatan pihak berkuasa selesai.
“Bagi mendapatkan maklumat terkini pasangan, saya berhubung dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Saya ingin mulakan hidup baru,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Harian Metro pada 30 Ogos lalu melaporkan tiga wanita dipercayai pemilik dan penjaga pusat jagaan di Bukit Beruntung, Selangor ditahan polis untuk siasatan lanjut atas dakwaan cuba menjual bayi terbabit.
Ia susulan laporan dibuat kepada PPIM mengenai seorang remaja perempuan berusia 17 tahun gagal mendapatkan semula bayinya yang dikatakan dijual kepada pihak ketiga oleh pengurusan pusat jagaan terbabit.
Kejadian itu kali kedua membabitkan pengendali pusat jagaan sama selepas akhbar ini pada 4 Ogos 2015 secara eksklusif melaporkan mengenai sindiket penjualan bayi ditumpaskan Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman selepas wartawan Harian Metro melakukan risikan dan penyamaran selama dua bulan.
Wartawan yang menyamar sebagai pembeli untuk mendapatkan seorang bayi dikehendaki membayar RM9,500 dengan pendahuluan RM4,000 manakala bakinya ketika bayi diserahkan di hospital.
Amirul berkata, dia berharap masyarakat tidak berterusan menyalahkan dirinya dan teman wanita, sebaliknya memberi peluang kedua untuk mereka memulakan kehidupan baru sebagai suami isteri.  Sementara itu, pendakwah bebas, Dr Mohd Sukki Othman berkata, seseorang yang menyedari dia melakukan dosa kepada Allah SWT perlu segera bertaubat, menyesali kesalahannya dan tidak mengulanginya pada masa depan.
Menurutnya, dalam isu ini, tindakan pasangan itu mengambil keputusan untuk berkahwin wajar dipuji kerana ia menunjukkan mereka ikhlas ingin menebus dosa.

Artikel Oleh : Harian Metro
“TUNGGU MASA KAHWIN”

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL