Monday, September 3, 2018

4616) PEMIMPIN DIMINTA JANGAN BUAT KENYATAAN SYOK SENDIRI – UTUSAN MALAYSIA – 3/9/18



KUALA LUMPUR 2 Sept. – Kebanyakan pengguna menzahirkan rasa hampa apabila harga barang yang diharapkan turun setelah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak berlaku.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, dalam keadaan rakyat sedang mengeluh harga barang naik, pemimpin kerajaan diminta untuk tidak ‘syok sendiri’ apabila mengeluarkan kenyataan berkenaan pelaksanaan regim cukai baharu itu sebaliknya turun padang untuk melihat sendiri kenaikan harga barang yang berlaku.
Katanya, apa yang lebih memburukkan keadaan adalah kekeliruan rakyat mengenai pelaksanaan SST yang tidak ditangani dengan berkesan sebelum sistem cukai itu dijalankan.
“Pelbagai agensi dan kementerian mengeluarkan kenyataan berbeza tentang pelaksanaan SST menyebabkan rakyat terus keliru.
“Ini termasuk kekeliruan bahawa hanya peniaga dan pengeluar yang dikenakan SST dan bukan pengguna tetapi kini sebaliknya berlaku. Setakat dua hari pelaksanaan SST, tiada penurunan harga barang secara drastik berlaku, sebaliknya ada yang kekal dan ada yang naik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Jacob, penurunan nilai mata wang negara juga mempengaruhi kenaikan harga barang yang sedang berlaku.
“Selain tangan ‘gelap’ dan kartel yang memindahkan beban cukai SST kepada pengguna dengan menaikkan harga, penurunan nilai mata wang juga menyebabkan kenaikan harga kerana kebanyakan jual beli diuruskan dalam dolar Amerika Syarikat (USD).
“Jadi ‘angan-angan’ pengguna untuk menikmati harga rendah apabila tiada GST menjadi lebih sukar dicapai. Kerajaan perlu berbuat sesuatu berkenaan perkara tersebut,” katanya.
Menurut Jacob lagi, kerajaan Pakatan Harapan perlu berjumpa dengan persatuan-persatuan pengguna untuk mendapat maklum balas orang ramai dan menyediakan perancangan lebih baik untuk sistem cukai tersebut.
“Semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, sekiranya mereka ingin melaksanakan cukai baharu, mereka akan berjumpa kami dan adakan perbincangan, berlainan dengan kerajaan sekarang. Saya harap ini dapat berubah kerana persatuan-persatuan pengguna mempunyai akses lebih besar untuk mendengar denyut nadi pengguna, yang mana kita boleh bantu kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan lembut kepada peniaga dan pengeluar yang sering mengambil kesempatan apabila pengenalan cukai baharu.
“Peniaga di Malaysia ini dididik untuk tidak beretika malah mereka tidak takut bermain harga’ kerana tiada tindakan tegas dikenakan.
“Selain itu, pengguna juga perlu mainkan peranan. Jangan hanya bising di media sosial tetapi ambil tanggungjawab untuk laporkan sebarang bentuk penipuan yang berlaku supaya kerajaan boleh ambil tindakan,” katanya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PEMIMPIN DIMINTA JANGAN BUAT KENYATAAN SYOK SENDIRI

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL