KOTA TINGGI : Mahkamah Majistret, hari ini, membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tiga tahun ke atas lima beranak yang mengaku bersalah mencuri barangan kosmetik di Bandar Tenggara, 17 Jun lalu. Majistret Mazana Sinin, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan dibuat peguam Ahmad Zaidi Zainal, yang memohon mahkamah memberi masa bagi permohonan rayuan untuk mengurangkan hukuman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shefiuddin, kemudian mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 bagi setiap wanita terbabit.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap wanita itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Ketika ditemui di luar mahkamah, Ahmad Zaidi yang dilantik Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mengendalikan kes lima beranak ini berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan rayuan itu pada Ahad ini.
Pada 21 Jun lalu, Rohaya A Rahman, 57, bersama tiga anaknya, Maimunah Che Abdullah, 26; Noriza Che Abdullah, 30 dan Nurul Fatihah Abdullah, 19; serta seorang menantu, Zariah Zakariya, 37, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas membuat pengakuan bersalah di mahkamah terbabit.
Mereka yang didapati bersalah mencuri 17 barangan kosmetik pelbagai jenama bernilai RM2,171.50 di Kedai Produk Kesihatan dan Kecantikan Sri Tanjung di Jalan Anggerik 4/1, Taman Anggerik, Bandar Tenggara, di sini, sudah menjalani hukuman penjara itu sejak 19 Jun lalu.
Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/
No comments:
Post a Comment