Monday, June 13, 2016

2824) PENGGUNA MENGELUH HARGA MAKANAN MAHAL - SINAR ONLINE - 12/6/16


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

SHAH ALAM - Kenaikan harga makanan dan minuman di bazar Ramadan antara aduan paling banyak diterima sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, rata-rata pengguna mengeluh dengan kenaikan harga makanan dan minuman yang didakwa tidak masuk akal dijual di bazar Ramadan.

“Kebanyakan makanan yang dihidangkan bersama ayam, didakwa lebih mahal harganya. Ada sesetengah peniaga dikatakan menaikkan harga sekali ganda berbanding tahun sebelumnya dan ini amat membebankan pengguna.

“Namun kenaikan harga ini mungkin didorong  kenaikan lain-lain kos yang terpaksa ditanggung peniaga,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Nadzim, peniaga tidak sepatutnya mengenakan harga terlalu tinggi sewenang-wenangnya demi mengaut keuntungan.

Selain daripada aduan kenaikan harga barang, PPIM turut menerima aduan berkaitan isu kebersihan, di mana peniaga tidak menitik beratkan soal kebersihan dalam penyediaan makanan.

Katanya, isu kenaikan harga dan kebersihan bukanlah isu baharu.

Bagi menangani isu ini, Nadzim menasihatkan pengguna agar lebih bijak dan berjimat dalam berbelanja.

“Beli hanya ikut keperluan dan bukan ikut rasa. Jika harga dikenakan terlalu mahal, tidak perlu beli. Pilihan bagaimana pun ada pada pengguna itu sendiri,” katanya.



No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL