Friday, January 29, 2016

2526) HARIAN METRO - 29/1/16 - HANYA MITOS !



Pegawai Perubatan Kanan Perubatan Am Hospital Seri Manjung Dr Hafizah Mohamed Haniba berkata, setakat ini tiada kajian saintifik yang membuktikan demam denggi mampu disembuhkan menerusi tiga amalan itu.

Beliau berkata, salah faham itu disebabkan maklumat yang disampaikan adalah dari mulut ke mulut sejak dulu sehingga dianggap berkesan dalam merawat penyakit berkenaan

Katanya, daripada sudut perawatan moden, belum ada kaedah dan rawatan khusus untuk penyakit itu.

“Apa saja yang berkaitan dengan herba tradisional dan sup ketam adalah lebih kepada petua orang lama dan boleh dikategorikan sebagai rawatan sampingan, bukan rawatan sebenar.

“Sebenarnya, perlu ada kajian menyeluruh yang membabitkan sejumlah pesakit untuk memastikan kesahihan sesuatu herba dalam rawatan penyakit denggi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Ahli Farmasi dan Homeopati Prof Dr A Krishnan berkata, daun betik bukan penawar demam denggi malah boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang sekali gus membawa maut kepada individu yang mengamalkan pemakanan daun itu.

Dr Krishnan mendakwa, daun betik tidak mempunyai khasiat selain berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya mempunyai ‘cyanide’ yang berperanan seperti racun.

Selain itu, Dr Krishnan juga mendakwa, sistem imunisasi individu boleh terganggu sekiranya ia diamalkan.

Dr Hafizah berkata, bagi memastikan penyakit dapat diubati dengan cepat dan berkesan, pesakit sepatutnya minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter atau lapan gelas sehari.

Menurutnya, kebiasaannya pesakit denggi kurang selera makan dan mengalami perubahan pada salur darah sekali gus menyebabkan badan kekurangan air.

“Cukup sekadar air kosong saja untuk dijadikan alternatif rawatan penyakit denggi tidak berdarah, bukan air isotonik kerana kandungan paras gulanya yang tinggi.

“Bayangkan jika pesakit itu menghidap diabetes, pasti ia memberi kesan terhadap paras gula dalam badan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Hafizah berkata, persepsi masyarakat terhadap amalan itu perlu diperbetulkan, selain menasihatkan individu yang disyaki menghidap denggi supaya mendapatkan rawatan di hospital terlebih dulu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daun betik bukan penawar atau boleh mengubati denggi.
“Kajian yang dijalankan hanya menunjukkan ia (daun betik) membantu meningkatkan sel platelet,” katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL