KUALA LUMPUR 6 Jan – Kehadiran peniaga warga asing yang ramai dan berleluasa di Jalan Silang di sini berpunca daripada perbuatan pemilik tempatan yang `mengalibabakan’ permit dan premis mereka.
Ini diakui Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Dr. Sharifuddin Musa.
“Mereka bersikap tamak dan sesuka hati menyewa kepada orang luar kerana harga yang ditawarkan amat tinggi, mencecah RM10,000 sebulan, “ katanya.
Sehubungan itu kata Sharifuddin, permintaan warga asing yang amat tinggi menyebabkan mereka sanggup membida.
“Jadi tidak hairanlah peniaga warga asing dapat menguasai kawasan di Jalan Silang mahupun beberapa lokasi di sekitar ibu negara.
“Kalau ada operasi dan barangan dirampas, mereka akan datang lagi, sebab berapa sahaja kos operasi jika dibandingkan dengan keuntungan yang diperolehi,” katanya.
Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sikap individu yang ingin mengejar keuntungan dengan mudah penyebab Kuala Lumpur terus dijajah oleh warga asing.
Beliau berkata, sindiket sewaan permit itu kini sudah menjadi norma kepada orang tempatan untuk mendapat wang cara mudah.
Ujarnya, secara perbandingan warga tempatan yang bersusah payah berniaga hanya mampu memperoleh pendapatan bersih RM4,000 sebulan, sedangkan orang asing berniaga yang sanggup bekerja lebih 14 jam sehari, cuti sebulan dua kali memperoleh pendapatan lumayan mencecah RM10,000 sebulan.
“Sebab itu mereka sanggup menawarkan kepada orang tempatan harga yang tinggi untuk menyewa permit dan premis secara bulanan.
“Mereka perlu permit orang tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati daripada kira-kira 100 lot niaga di Jalan Silang, sebilangan besar dikuasai warga asing seperti Vietnam, Bangladesh dan Myanmar.
Berdasarkan pemerhatian juga, kehadiran penguat kuasa tidak langsung menakutkan warga asing yang tegar berniaga di kawasan itu.
Oleh yang demikian, tidak menghairankan jika kehadiran peniaga warga asing bagaikan cendawan tumbuh selepas selepas hujan.– BERNAMA
No comments:
Post a Comment