Wednesday, November 18, 2015

2361) USAHAWAN BUMIPUTERA VAPE KELIRU, KHUATIR PERNIAGAAN RM2.8 BILION TERJEJAS.

Sebanyak 90% daripada peruncit vape adalah usahawan Bumiputera, mengikut rekod Persatuan E-Vaporizer dan Alternatif Tembakau Malaysia (Mevta), dan jumlah itu berdasarkan kira-kira 1,000 perniagaan vape yang berdaftar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 November, 2015.

Sebanyak 90% daripada peruncit vape adalah usahawan Bumiputera, mengikut rekod Persatuan E-Vaporizer dan Alternatif Tembakau Malaysia (Mevta), ketika bantahan terhadap cubaan Kementerian Kesihatan mengetatkan kawalan ke atas industri itu semakin diwarnai faktor perkauman.

Jumlah yang dianggarkan itu hanya berdasarkan kira-kira 1,000 perniagaan vape yang berdaftar di bawah persatuan itu, tidak termasuk peniaga tidak berdaftar, kata Naib Presiden Mevta Rizani Zakaria.

"Contohnya, mereka yang berniaga di pasar malam, tepi jalan atau ‘uptown’. Geng ini ramai Melayu juga. Kita kira hanya 1,000 kedai ini saja,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Peniaga dan penjual rokok elektronik atau vape kini berdepan ketidaktentuan berhubung penggunaan dan penjualan produk tersebut susulan tindakan kementerian menyerbu dan merampas cecair perasa vape baru-baru ini di beberapa premis perniagaan itu.

Perniagaan yang majoritinya dipelopori usahawan Melayu itu keliru dengan kenyataan pelbagai pihak yang tidak konsisten berhubung masa depan dan nasib perniagaan mereka.

Sebuah premis yang menjual peralatan dan perasa vape terkemuka di Shah Alam mengalami kerugian sehingga RM100,000 apabila 3,000 botol perasa cecair vape yang mengandungi nikotin dirampas KKM.

“Kementerian datang tidak ada surat atau makluman, mereka datang secara mengejut dan merampas 3,000 botol perasa cecair vape yang bernikotin.

"Kami ingatkan mereka datang sekadar mahu mengambil sampel cecair perasa, tetapi mereka rampas semua botol yang mengandungi label nikotin,” kata Pengarah Urusan Cirgaro Vapestore Shah Alam, Ahmad Taufiq El Azzam.

Anak muda berusia 30 tahun itu berkata kepada The Malaysian Insider, kementerian juga tidak memberikan sebarang jaminan sama ada cecair perasa vape yang dirampas itu akan dikembalikan semula kepada mereka atau tidak.

“Mereka ambil masa 3 jam untuk membungkus perasa yang dirampas,” katanya dan menambah, perniagaan premisnya bagaimanapun masih diteruskan namun mereka tidak lagi menjual cecair perasa bernikotin.

Malaysia dilaporkan menduduki tangga kedua tertinggi dalam bilangan pengguna vape selepas Amerika Syarikat, dengan nilai perniagaan itu di negara ini mencecah sehingga RM2.8 bilion, kata Rizani.

Beliau yang turut mengusahakan perniagaan vape berkata, Malaysia bukan saja mengimport produk berkenaan dari luar negara, malah ia turut menjadi pengeksport cecair perasa vape ke luar negara.

Katanya, susulan serbuan kementerian di lebih 300 kedai vape sebelum ini, yang kebanyakannya terletak di Selangor, beliau dan ramai peniaga lain mula khuatir untuk berniaga dan memilih menutup premis mereka kerana takut barangan dan produk mereka dirampas kementerian.
Naib Presiden Persatuan E-Vaporizer dan Alternatif Tembakau Malaysia Rizani Zakaria berkata keengganan Kementerian Kesihatan mengadakan perbincangan dengan persatuan itu turut menyukarkan keadaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 November, 2015.
Beliau berkata, keengganan kementerian berkenaan mengadakan perbincangan dengan Mevta turut menyukarkan keadaan.

Sedangkan, katanya, persatuan yang dimulakan sejak Mac 2004 itu menghantar surat kepada kementerian 6 bulan selepas ditubuhkan dalam usaha mereka membolehkan kawal selia dilakukan kerajaan terhadap penjualan dan penggunaan vape.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata kepada The Malaysian Insider, seperti mana rokok dan alkohol, perniagaan vape tidak seharusnya dianaktirikan, sebaliknya penguatkuasaan perlu dilakukan untuk membolehkannya dijual secara terkawal.

Ini kerana, katanya, sifat vape itu sendiri sebenarnya adalah “terapi” kepada perokok tegar yang ingin meninggalkan tabiat merokok mereka.

Lebih-lebih lagi, beliau mendakwa, kempen berhenti merokok anjuran Putrajaya gagal memberikan kesan, sedangkan jutaan ringgit dihabiskan kerajaan dalam kempen itu.

“Seperti mana 'pelekat nikotin’, vape ini pun terapi untuk perokok berhenti daripada merokok, boleh menghilangkan ketagihan merokok.

"Ini juga suatu usaha dalam proses untuk berhenti merokok. Untuk itu kita perlu ada penguatkuasaannya.

"Kementerian Kesihatan tidak seharusnya sibuk berkenaan cukai, itu tugas Kementerian Kewangan. Masing-masing ada tugas mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Kementerian Kesihatan supaya melaksanakan tindakan selari dengan keputusan Kabinet sebelum ini yang memutuskan tidak mengharamkan penggunaan vape.

"Saya tidak hendak kata benda ini baik. Alang-alang orang nak berniaga, biarkan mereka berniaga. Tetapi perlu ada peraturan yang jelas. Kalau tidak, nanti akan ada yang menyeludup.

“Penguatkuasaan dan seliaan harus dilakukan terhadap ramuan cecair perasa vape, sama ada mereka perlu mengikuti kursus atau sebagainya. Perlu ada badan yang mengawal selianya,” katanya.

Beliau menambah, kelemahan dalam sistem hari ini adalah tiada garis panduan khusus daripada segi penggunaan dan penjualan vape, sedangkan ia bukan perkara baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Kelemahannya kita tiada garis panduan, ini bukan benda baru, tetapi tiada tindakan. Tindakan yang diambil perlu munasabah dan masuk akal,” katanya.

Sependapat dengan Nidzam, Rizani berkata, terdapat pelanggannya yang bukan saja meninggalkan tabiat merokok dan beralih kepada vape 100%, sebahagian mereka juga mula berhenti merokok dan tidak lagi menggunakan vape.

"Kalau ikut pengalaman saya berniaga, sejak 5 tahun lepas, daripada 10 pelanggan, 40% berhenti merokok 100%. Ada yang ambil masa setahun, 2 tahun, malah ada yang 6 bulan sudah berhenti.

"Daripada merokok, dia vape, berhenti rokok, kemudian berhenti vape. Ini yang betul, saya merokok 20 tahun lebih, saya tukar kepada vape, nak tukar terus tidak boleh.

"Tetapi sekarang dah boleh kawal. Tidak mencari-cari vape. Kadang-kadang saja. Sekarang rokok pun (rasa) tidak sedap,” katanya.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd. Shukor Husin sebelum ini dilaporkan berkata, majlis itu mengharamkan penggunaan vape melalui fatwanya, dan keputusan itu diputuskan dengan mengguna pakai hukum menghisap shisha sebelum ini.

Katanya, apabila cukup dapatan iaitu membahayakan, membazir dan memudaratkan daripada segi kesihatan, maka penggunaan vape adalah haram.

Mevta bagaimanapun berpendapat, peralihan daripada merokok yang dianggap memudaratkan kepada penggunaan vape yang lebih menyihatkan adalah “harus” dan tidak terletak pada hukum haram.

"Dalam Islam kalau kita beralih daripada mudarat kepada kurang mudarat, itu jatuh hukum harus. Tetapi ia boleh jatuh hukum haram kepada orang yang tidak vape tetapi ingin vape. Untuk apa, trend? Sedangkan dia tidak mengetahui apa yang digunakannya.

“Vape ini jatuh hukum haram pada orang yang suka membazir. Maksudnya dia bukan nak berhenti merokok, dia beli vape untuk suka-suka, gunakan duit belanja untuk perkara yang tidak sepatutnya,” kata Rizani. – 18 November, 2015.

SUMBER: THE MALAYSIAN INSIDER

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL