PLUS diminta kaji semula
KUALA LUMPUR 15 Julai - Syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diminta mengkaji semula keputusan melaksanakan sistem transaksi elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Shah Alam bermula 1 September depan. Beberapa persatuan pengguna menyifatkan keputusan itu diambil tanpa memikirkan keadaan semasa dan keperluan pengguna jalan raya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, PLUS sepatutnya mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan juga NGO pengguna sebelum membuat pindaan dalam corak perkhidmatan syarikat itu.
Jelasnya, kajian perlu dijalankan terlebih dahulu tentang kekerapan pengguna lorong tunai di dua plaza tol terbabit dan jika jumlahnya telah menurun, barulah inisiatif itu sesuai untuk dijalankan.
"Saya yakin pada masa ini peratusan pengguna lorong tunai masih tinggi, justeru ini bukanlah masa yang sesuai untuk menjalankan sistem pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya di kedua-dua tol tersebut.
"Langkah itu akan mendatangkan kesusahan kepada pengguna lebih-lebih lagi mereka yang tidak mampu menambah nilai dalam kad prabayar mereka. PLUS seharusnya lebih mesra pengguna dan jangan terlalu mengutamakan keuntungan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi kebanyakan pengguna, kad prabayar tol dilihat sebagai keperluan kedua berbanding keperluan asas lain yang jauh lebih penting.
"Untuk apa pengguna mengisi kad prabayar dengan jumlah yang banyak sedangkan wang itu boleh digunakan untuk membeli keperluan lain seperti makanan dan minuman, pembayaran bil semasa dan lain-lain.
"Saya faham tindakan ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi PLUS perlu mencontohi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang masih mengekalkan satu lorong tunai untuk kemudahan pengguna walaupun mengaplikasikan sistem bayaran secara elektronik di semua plaza tol di sana," katanya.
PLUS baru-baru ini mengumumkan transaksi di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau akan dikendalikan sepenuhnya secara elektronik sama ada menerusi kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go atau SmartTAG bermula 1 September.
Ia bertujuan memberikan perjalanan yang lebih lancar kepada pengguna laluan tersebut.
PLUS telah berjaya melaksanakan sistem tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Perling di Lebuh raya Linkedua dan Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor mulai Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, PLUS tidak boleh 'memaksa' pengguna menggunakan kad prabayar setiap kali melalui plaza tol terbabit kerana tidak semua orang berkemampuan dan selesa menggunakannya.
"Perkara ini tidak boleh dilaksanakan kerana pelbagai masalah akan timbul nanti. Lagipun, bukan semua pengguna akan menggunakan laluan itu setiap hari dan mereka pasti rasa terbeban kerana terpaksa mendapatkan kad prabayar walaupun hanya melalui lebuh raya tersebut sekali dua sahaja sebulan.
"Syarikat itu perlu ingat sebarang keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan pengguna dan jangan sewenang-wenangnya menetapkan peraturan baharu tanpa memikirkan kesan negatifnya kepada pengguna," katanya.
No comments:
Post a Comment