Wednesday, July 9, 2014

2044) UTUSAN MALAYSIA 9/7/2014 - Ujian memandu secara ICT wajar




Ujian memandu secara ICT wajar


KUALA LUMPUR 8 Julai - Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sistem ujian lesen memandu secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengurangkan kemungkinan penyelewengan dalam kalangan anggota agensi itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga percaya langkah tersebut akan dapat memastikan hanya pemohon lesen yang benar-benar lulus ujian sahaja memandu di atas jalan.

"Walaupun sistem itu akan menyebabkan kesukaran kepada pemohon untuk lulus, kaedah tersebut dapat membendung kemalangan jalan raya.

"Biar sedikit serta sukar mendapat lesen asalkan bernilai untuk keselamatan diri sendiri mahupun orang lain. Tambahan pula, semua pemohon perlu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad baru-baru ini, berhubung pengenalan sistem baharu untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan yang akan dikawal selia secara ICT mulai tahun depan.

Menurut Ismail, sistem itu sedang dibangunkan, sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenalkan di institut memandu iaitu pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan bagi menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem berkenaan.

Utusan Malaysia dalam laporan khas pada 13 Julai 2011, menyatakan satu kurikulum memandu baharu akan dilaksanakan JPJ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang tinggi di dalam negara.
Bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata, pelaksanaan itu yang tertangguh sebelum ini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan bergantung pada persediaan pihak industri latihan terlibat.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi turut menyokong pelaksanaan sistem ujian baharu itu kerana dapat mengurangkan penyelewengan dalam kalangan pegawai JPJ.

"Sistem ini lebih baik tetapi pemantauan berterusan masih perlu dilakukan terhadap anggota dan pegawai JPJ," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140709/dn_28/Ujian-memandu-secara-ICT-wajar#ixzz36wvkGj00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL