BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
KPI judi haram
Apabila Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia mendedahkan secara mendalam isu mesin judi haram, ada beberapa pihak yang tidak senang, malah menuduh media ada agenda tertentu. Awang sekadar senyum. Memang banyak cabaran dalam melawan kemungkaran dan menegakkan kebenaran. Seperti biasa, media mudah dipersalahkan.
Agenda Utusan hanyalah menjaga kepentingan agama, awam dan negara. Kegiatan judi haram yang kebanyakannya berselindung di sebalik perniagaan kafe siber bukan sahaja menjadi ancaman sosial malah ancaman keselamatan.
Ia bukan sekadar soal kakitangan awam, pelajar dan pelbagai kategori lagi terjebak dengan judi malah sudah menjadi putaran ganas yang meruntuhkan sistem kehidupan. Ramai yang terperangkap dalam hutang sehingga ada yang menjual anak, isteri; merancakkan kegiatan kongsi gelap dan ah long; rasuah pelbagai agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT); serta rangkaian sindiket dan kartel yang makin berpengaruh.
Disebabkan kegagalan pihak berkuasa menangani isu tersebut yang sudah lama berlarutan sehingga mewujudkan ribuan premis mesin judi, tercetus rasa marah dan tidak puas hati terutama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Islam.
Malah sudah ada kebimbangan ahli militan dan ekstrem dikhuatiti menggunakan keganasan dengan menjadikan premis mesin judi haram yang melambak sebagai sasaran sebagaimana pernah dilakukan oleh Kumpulan Al Maunah ke atas pusat perjudian suatu ketika dahulu.
Lebih-lebih lagi berlegar sentimen bahawa kegiatan tersebut hanya mengkayakan lagi bilionair dan taikun yang mengaut keuntungan besar. Dalam 'industri' tersebut, sebahagian sudah tahu siapa jerung-jerung besar ini, begitu juga maklumat tentang senarai panjang mereka yang disogok. Rumusan yang boleh dibuat, gejala rasuah berkaitan kegiatan mesin judi haram begitu dahsyat sehingga ramai yang sinikal, ia tidak mungkin dapat dibanteras.
Sebab itu, Awang bersyukur apabila kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) responsif dengan menubuhkan pasukan petugas khas sebagaimana diumumkan oleh menterinya, Ahmad Zahid Hamidi. Ia bertujuan memerangi kegiatan mesin judi haram secara habis-habisan dengan melibatkan semua pihak berkenaan terutama PBT.
Dalam hal ini Awang hargai Zahid yang komited untuk melawan gejala tersebut. Keterbukaan beliau untuk menerima pandangan dan maklum balas semua pihak, turut menarik perhatian. Diakui pihak polis telah banyak menyerbu dan merampas tetapi itu belum memadai kerana banyak lagi yang perlu dilakukan. Apa pun, beban memerangi ancaman itu tidak harus terletak kepada pihak polis semata-mata seperti ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar. Awang setuju PBT juga perlu lebih efisien dan tegas. Janganlah hanya kelihatan berani merampas gerai penjaja tetapi tidak bertindak tegas ke atas premis mesin judi haram.
Sehingga malam semalam, masih banyak premis tersebut beroperasi tanpa gentar. Awang juga tidak ingat sama ada tauke-tauke judi haram ini didakwa di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
Maka menjadi harapan orang ramai selepas ini untuk melihat tindakan dan hasil. Sistem petunjuk prestasi utama (KPI) perlu ditetapkan kepada Datuk Bandar, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran dan Ketua Polis Daerah. Jika mereka gagal mencapai KPI memerangi mesin judi haram, mereka harus dipertanggungjawabkan. Wakil-wakil rakyat juga perlu menjadi pendesak agar kawasan mereka bersih daripada gejala tersebut.
Dalam pada itu, beberapa aktivis NGO telah membentuk gerakan pemantauan sebagai tambahan apa yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Perlindungan Pengguna Islam Malaysia (PPPIM).
Mereka akan terus melakukan penyelidikan dan pemantauan bagi menilai sejauh mana usaha membanteras kegiatan mesin judi haram. Sama ada ia sekadar bermusim atau kosmetik semata-mata. Atau memang ia menampakkan impak bermulanya era baharu - persekitaran lebih selamat daripada aktiviti judi haram.
Denggi dan kempen
Antara hal yang menggangu fikiran Awang kebelakangan ini ialah kes demam denggi yang naik mendadak. Makin ramai pesakit dimasukkan ke hospital. Khabarnya di Klang sahaja, terdapat 250 kes sehari sehingga tidak cukup katil. Di beberapa hospital swasta, mereka yang disahkan menghidap denggi, terpaksa pulang untuk datang kemudian kerana tidak cukup bilik dan katil.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, bagi tempoh Januari hingga 28 Jun lalu, sebanyak 44, 518 kes denggi telah dilaporkan iaitu peningkatan lebih 200 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. Menakutkan. Apa pun Awang berharap penubuhan pasukan petugas khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak, dapat memberi impak dalam menangani kes denggi. Dalam pada itu, beberapa tinjauan orang ramai mendapati masyarakat masih tidak endah ancaman denggi. Agak menghairankan tahap kesedaran penduduk Malaysia masih rendah di sebalik pelbagai kempen membanteras nyamuk Aedes. Di mana silapnya? Mungkinkah kaedah kempen kurang berkesan dan masih cara lama selain isu kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan. Entahlah...
Bahasa ketiga?
Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan semakin diabaikan. Hari demi hari, boleh disaksikan pelbagai pihak tidak menghormatinya. Terbaharu, melibatkan majlis pecah tanah sebuah universiti, baru-baru ini.
Pada batu tanda majlis pecah tanah itu, tiada sepatah pun Bahasa Kebangsaan. Yang cuma ada Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Nampaknya pihak universiti berkenaan dan penganjur majlis tidak sensitif. Kalau tiada penggunaan bahasa Melayu dalam kurikulumnya, Awang boleh faham kerana ia universiti luar bertaraf antarabangsa.
Persoalannya, tiada nilaikah Bahasa Kebangsaan pada acara seperti itu di tanah air ini. Kalau di banyak negara yang
menjaga kedaulatan Bahasa Kebangsaan mereka terutama di China, Jepun, Korea, Perancis, Rusia, Jerman, Thailand, Indonesia dan Vietnam, keadaan tersebut tidak akan berlaku.
Apa yang Awang sebutkan ini hanya satu kes, banyak lagi insiden yang kita diamkan sahaja. Masalahnya, tiada pihak yang tampil menegur hal-hal pengabaian terhadap bahasa kita. Sayangnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak agresif, lebih berorientasikan administratif. Alasan yang selalu diberi, tiada cukup kuasa. Alangkah baiknya, jika DBP sekurang-kurangnya memantau dan mendedahkan kepada media secara berkala mana-mana pihak yang tidak menghormati Bahasa Kebangsaan. Jika tidak, kita semua mempermudahkan sahaja bahasa Melayu menjadi bahasa kedua dan mungkin ketiga di negara ini, sebagaimana yang diidamkan oleh pihak-pihak tertentu, yang kita semua tahu.
Senyumkan mereka
Ketika makin ramai bukan Melayu ghairah menulis dalam laman sosial mempersenda orang Islam dan Melayu kerana terikut rentak tentera siber pro DAP, Red Bean Army, ada segelintir mengambil pendekatan murni.
Seorang lelaki, Kuan Chee Heng menerusi laman facebook memulakan inisiatif membantu sekumpulan anak-anak miskin kalangan orang Islam membeli pakaian baharu bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Usaha beliau itu mendapat respons positif daripada kenalan orang Melayu mahupun Cina.
Awang menarik sedikit nafas lega. Di sebalik isu-isu kecurigaan antara kaum dan agama kebelakangan ini, masih ada harapan untuk menyuburkan lagi keharmonian dalam masyarakat majmuk melalui keprihatinan individu seperti beliau.
"Marilah kita membuatkan mereka tersenyum pada Hari Raya. Marilah kita menjadikan Hari Raya ini lebih bermakna buat mereka (anak-anak miskin) dan juga anda," antara ungkapan Chee Heng yang terasa damai di hati membacanya.
Dulu, sekarang...
Ketika mengunjungi bazar Ramadan di ibu negara baru-baru ini, orang ramai berpusu-pusu membeli juadah. Maklumlah, minggu pertama berpuasa. Lalu Awang dalam senyum terimbas suasana bulan Ramadan ketika kanak-kanak dan remaja.
Antara yang menarik ialah berbuka dengan pelbagai juadah dan makanan tanpa perlu ke bazar atau membeli makanan di luar. Rahsianya - jiran-jiran tetangga di tempat Awang membesar di Kampung Baru, bertukar-tukar juadah yang mereka masak dan sediakan sendiri pada setiap hari.
Suasana sudah jauh berubah. Nilai-nilai seperti muafakat kejiranan dan gotong-royong sudah lama terhakis dek pemodenan. Kalau dulu, kita boleh tahu apa yang jiran makan sewaktu berbuka dan begitu juga sebaliknya tetapi kini tiada lagi. Kini, ia sudah jadi urusan dan hal privasi masing-masing.
Dalam interaksi kumpulan WhatsApp, seorang teman memuatkan gambar lama kenangan suasana bulan Ramadan pada akhir 1960-an dan awal 1970-an.
Menurutnya, pada ketika itu, jarang orang memiliki peti ais. Jadi kalau mahu minum air berais kenalah beli ais ketul. Harganya cuma 10 sen. Yang menariknya, ramai beratur pada waktu petang untuk beli ais ketul, lambat pergi - habis.
Kemudian salah seorang teman lain dalam reaksinya menulis: "Aku masih ingat pengalaman dulu-dulu, beratur nak beli ais. Ais ketul ni penuh dengan serdak habuk kayu papan. Nostalgia betul ...Allah SWT telah permudahkan hidup ini. Alhamdulillah.''
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140706/re_04/BISIK-BISIK-AWANG-SELAMAT#ixzz36k6lSBOQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
1 comment:
Di-Ampang Point saja terdapat lebih dari dari 5 pusat judi haram. Saya difahamkan oleh mereka yang pernah bekerja dipusat judi haram - yang banyak main judi ialah bangsa Melayu, Indonesia dan Pegawai-Pegawai Penguaatkuasa Majlis Bandaran dan Polis - Malah mereka boleh signed IOU disitu.
Post a Comment