Wednesday, November 5, 2014

2214) BERNAMA TV 5/11/2014 - Berniaga, Kerja Sampingan Bantu Tambah Pendapatan Golongan Miskin Bandar

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Golongan miskin bandar iaitu mereka yang bekerja di bandar dengan pendapatan RM3,000 ke bawah digalakkan membuka perniagaan sendiri dan melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan keluarga dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata inisiatif itu dapat membantu golongan itu memperoleh wang tambahan selepas terjejas dengan kos sara hidup di bandar yang semakin meningkat.

"Golongan (miskin bandar) ini perlu lebih produktif dengan melakukan kerja 'part time' selepas tamat waktu kerja seperti berniaga di pasar malam, menghasilkan karya buku atau menjahit," katanya kepada Bernama selepas ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara di Bernama TV, Selasa malam.

Jelasnya golongan tersebut juga tidak seharusnya bergantung kepada gaji bulanan dan bantuan yang diberikan kerajaan sebaliknya perlu berusaha meningkatkan kemahiran yang boleh menambah pendapatan mereka.

"Kini, sudah tiba masanya orang ramai menukar pemikiran dengan tidak bergantung kepada 'makan gaji' sahaja. Mereka perlu ada kesungguhan untuk melakukan perubahan kepada diri sendiri," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani berkata usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu golongan miskin bandar juga perlu diambil kira.

Beliau berkata kerajaan terus komited untuk mengubah nasib golongan miskin bandar dengan menilai semula kemudahan dan bantuan yang diberikan supaya tidak ada satu pun kumpulan yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

"Untuk membantu pemilikan rumah dalam kalangan penduduk miskin bandar, kerajaan telah mengumumkan Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi membangunkan projek-projek perumahan dan pemilikan rumah PR1MA ditentukan dengan adil melalui undian terbuka.

"Difahamkan juga projek perumahan ini akan dibina di kawasan berhampiran stesen Aliran Transit Massa, Transit Aliran Ringan bagi memudahkan pergerakan mereka menggunakan pengangkutan awam dengan kos lebih rendah," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, individu yang dikategorikan miskin bandar itu sendiri harus bijak dalam menguruskan kewangan mereka dan terus berusaha menambah pendapatan sampingan.

-- BERNAMA

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1082145

2213) KINI TV 5/11/2014 - Gambar Berhala Di Botol Air: PPIM Buat Laporan Polis



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membuat laporan polis mendakwa tindakan sebuah syarikat yang memaparkan imej berhala pada label pembalut plastik botol air mineral menimbulkan kekeliruan dan menyentuh sensitiviti pengguna Islam.

Ketua Biro Pemantauan Perkhidmatan, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied pihak berkuasa perlu menyiasat keceluparan itu dan mahu mereka yang terbabit didakwa mengikut Akta Hasutan.

2212) BERNAMA TV 3/11/2014 - Seminar Bincang Garis Panduan Hiburan Di Institut Integriti Malaysia Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Penggiat industri hiburan disaran supaya menyertai Seminar Kebangsaan Hiburan dan Islam bagi membincangkan garis panduan hiburan dari perspektif Islam selama dua hari mulai Khamis ini.

Ia akan diadakan di Institut Integriti Malaysia di Persiaran Duta off Jalan Duta di sini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata seminar itu akan memberi ruang kepada para ulama dan pemain industri hiburan bagi melengkapkan kertas kerja dan memorandum untuk diserahkan kepada semua agensi terlibat termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kebanyakan media hari ini begitu melebihkan kepada hiburan tetapi tidak semuanya sesuai mengikut aliran Islam. Persoalannya apa bentuk hiburan yang boleh dan tidak boleh dalam Islam.

"Oleh itu seminar ini merupakan jalan tengah untuk mencari kebaikan bersama kerana industri hiburan memainkan peranan penting dalam mengubah masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera," katanya pada sidang media mengenai seminar tersebut di sini Isnin.

Antara penceramahnya ialah Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar, Pengarah Jabatan Agama Islam Kelantan Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan pengarah filem Aziz M. Osman.

Semua pemain industri hiburan seperti pengarah, penerbit, penulis skrip dan selebriti adalah dijemput untuk menyertai seminar yang dihadkan untuk 100 orang sahaja.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan PPIM di talian 019-9130000 atau menerusi laman Facebook dengan menaip 'Seminar Hiburan dan Islam'. -- BERNAMA

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1081608

2211) UTUSAN 3/11/2014 - Perlu Bentuk Saluran Sampaikan Maklumat



KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan perlu membentuk satu saluran khusus bagi memudahkan masyarakat menyampaikan maklumat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah kebanjiran warga asing di Cameron Highlands.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, satu saluran khusus seperti ‘Rakan Cop’ yang dibentuk untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah perlu dibentuk bagi memudahkan masyarakat berhubung dengan pihak berkuasa dalam mengatasi masalah kebanjiran warga asing.

“Masyarakat perlu bertindak menjadi mata dan telinga kerana pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen tidak mampu melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh jika masyarakat tidak memberikan kerjasama secara berterusan.

“Jadi, pembentukan satu saluran khusus itu perlu kerana Jabatan Imigresen juga masyarakat biasa dan mereka memerlukan kerjasama daripada orang ramai untuk membuat sesuatu tindakan,” kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini mendedahkan mengenai kebanjiran warga asing di Cameron Highlands yang bukan sahaja bekerja di kebun sayur tetapi juga bebas memiliki kebun, berniaga di pasar malam serta membuka kedai runcit.

Akhbar ini melaporkan jumlah warga asing khususnya Bangladesh yang menetap dan bekerja di pusat peranginan tersebut berada pada tahap cukup serius.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli masalah tersebut juga perlu diubah untuk memastikan setiap isu yang berlaku dapat diatasi dengan sepenuhnya.

“Saya tidak nampak kita boleh pergi jauh untuk menyelesaikan masalah ini selagi sikap dan budaya masyarakat masih pada takuk lama. Jadi, budaya masyarakat yang sentiasa mengambil berat dan bekerjasama perlu dibentuk agar mereka dapat bersama-sama membantu pihak berkuasa,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Syarifudin Musa berkata, kerajaan perlu melakukan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan berkala bagi menangani masalah kebanjiran warga asing di Cameron Highlands.

Beliau bimbang jika perkara itu tidak dibanteras, pusat peranginan tersebut akan terus dikuasai peniaga warga asing sama seperti yang berlaku di Chow Kit dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

“Kerajaan perlu tegas mengambil tindakan secara berterusan dan bukannya apabila ada kes baru bertindak. Malah, kerajaan juga perlu meluaskan tangkapan terhadap warga asing,” katanya.

2210) SINAR HARIAN 4/11/2014 - Imej Berhala: Sensitif, PPIM Gesa Ambil Tindakan

Dari kiri: Mustafa, Nazim dan Syeikh Abdul Kareem menunjukkan label botol air mineral yang mengandungi gambar berhala dan logo halal.

Tinjauan mendapati label botol mineral jenama berkenaan mengandungi pelbagai imej lokasi tarikan pelancong sempena kempen Visit Malaysia 2014.

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung imej berhala yang digunakan pada label pembalut plastik botol air mineral yang turut tertera logo halal.

Penggunaan gambar berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan kempen Visit Malaysia 2014.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah menyentuh sensitiviti pengguna Islam dan ia perlu diberi perhatian serius kerana produk tersebut dijual secara terbuka di pasaran.

“Perkara ini amat sensitif, kita gesa jualan produk ini digantung atau dibekukan serta-merta sehingga satu keputusan dibuat oleh pihak bertanggungjawab.

“Kami di PPIM menerima aduan daripada dua pengguna yang terkejut dengan penggunaan lambang agama lain di atas label botol mineral yang mempunyai logo halal.

“Kita tidak tahu apakah ini sengaja atau tidak. Namun ia melibatkan akidah umat Islam kerana penggunaan peralatan yang ada lambang-lambang agama lain ini adalah tidak dibenarkan dalam Islam,” katanya pada sidang media, semalam.

Ujarnya, penggunaan lambang agama lain ini juga dikhuatiri mengandungi unsur pemujaan.

“Jika mereka menjualnya tanpa menggunakan logo halal, ia tidak memberi sebarang masalah tetapi apabila ia turut menggunakan logo halal sudah tentu boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat Islam," tegasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Biro Pemantauan Perkhidmatan, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, sebagai sebuah syarikat pengeluar air, pihak berkenaan perlu sensitif dengan hal berkenaan.

Katanya, penggunaan imej berhala itu amat tidak wajar dan menunjukkan pihak berkenaan tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Sejauh mana mereka sensitif terhadap agama persekutuan dan menghormati nilai perlembagaan negara. Dengan penggunaan logo halal, ia juga seperti satu penghinaan kerana menyebabkan kekeliruan.

“Menerusi Akta Perihal Dagangan juga tidak membenarkan penggunaan simbol keagamaan yang menyentuh sensitiviti," katanya.

Bagi seorang lagi aktivis PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah, pengguna Islam juga perlu lebih berhati-hati dan berharap kerajaan memandang serius hal ini dengan tidak menggunakan perkhidmatan syarikat yang dimonopoli oleh mereka yang tidak sensitif dengan umat Islam di negara ini.

“Satu laporan polis akan dibuat esok (hari ini) berhubung perkara ini, dan kita mahu pihak polis siasat kerana ia melibatkan isu sensitif,” katanya.


Tidak menyalahi akta perdagangan

Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNKK, Akhtar Sahari berkata, hasil semakan pihaknya mendapati penggunaan label imej berkenaan tidak menyalahi perihal akta perdagangan.

“Dari penelitian saya, gambar berkenaan adalah salah satu promosi oleh Kementerian Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati ia dijual seperti biasa.

Daripada penilitian, terdapat sekurang-kurangnya tujuh gambar lokasi pelancongan menarik di Malaysia turut dijadikan label pada pembalut plastik botol air mineral yang dipasarkan.

Manakala, bahagian bawah gambar setiap label berkenaan turut tertera ringkasan maklumat berhubung lokasi pelancongan yang dipamer.

Bagaimanapun ia hanya tertera pada label di botol mineral bersaiz kecil sahaja.

Sementara itu, pengurus sebuah pasar raya yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyedari sejak bila label berkenaan digunakan untuk bekalan air mineral jenama berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sebelum ini tiada sebarang label berkaitan 'Visit Malaysia 2014'  tertera pada botol mineral itu.

“Biasanya dapat stok, kita akan terus susun di rak. Tidak pasti sejak bila ada gambar-gambar lokasi pelancongan ini,” katanya.



2209) SUARA TV 4/11/2014 - Air Mineral Halal Ada Logo Berhala Hindu



Kuala Lumpur – Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan penggunaan logo ‘Halal’ yang terdapat pada botol air mineral yang turut menggunakan gambar berhala masyarakat India beragama Hindu dalam kempen ‘Visit Malaysia 2014′.
Ketua Aktivis, Datuk Nadzim Johan berkata keadaan ini meragukan pengguna Islam dan hal ini merupakan suatu yang serius.
“Hal ini ada kena mengena dengan akidah umat Islam dan kami meminta supaya pasar raya yang menjual produk ini menggantungkan penjualannya secara serta merta,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, penggunaan logo berhala ini dikuatiri adanya unsur-unsur pemujaan melalui air.
“Kami pohon Jabatan Agama Islam (JAKIM) menyiasat secara serius dan ambil tindakan kerana ia melanggar Akta Perihal Dagangan yang melarang menggunakan logo-logo berbentuk keagamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan bagaimana cop ‘Halal’ yang dikeluarkan oleh JAKIM turut berada pada pembalut plastik yang turut tertera logo berhala.
“Kalau mereka menjualnya tanpa menggunakan logo ‘Halal’, ia tidak memberi sebarang masalah tetapi apabila ia turut menggunakan logo ‘Halal’ sudah tentu boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat Islam,” katanya.
Ketua Biro Pemantauan Perkhidmatan, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, produk yang tertera logo berhala itu dikilangkan oleh Chuan Sin Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh pengedar tunggal Yee Lee Trading Co. Sdn. Bhd yang turut menjual produk air mineral Spritzer.
“Syarikat ini merupakan pembekal air utama kepada stesen minyak Petronas dan kedai-kedai makan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang kebanyakannya dihadiri pengguna Islam.
“Sebagai sebuah syarikat pengeluar air mereka perlulah sensitif dengan hal ini dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan,” katanya.
Tambah pegawai kerjanya Mohd. Mustaffa Hamzah pula, PPIM berharap agar kerajaan memandang serius hal ini dan di masa akan datang tidak lagi menggunakan perkhidmatan syarikat yang dimonopoli oleh mereka yang tidak sensitif dengan umat Islam di negara ini.
“In Sha Allah esok kami akan membuat laporan polis,” katanya.

Tuesday, November 4, 2014

2208) TVPPIM & HARIAN METRO 4/11/2014 - Botol Mineral Gambar Berhala Ada Logo Halal


Logo patung serta halal meragukan


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat pengeluar yang mengeluarkan air mineral dengan logo patung bukan Islam bersama logo halal.

Ia tertera pada botol air berkenaan yang turut mempunyai logo halal sehingga mengelirukan pembeli mengenai statusnya.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima dua aduan baru-baru mengenai produk itu yag mengelirukan kerana lambang patung berkenaan diletak bersebelahan logo halal Malaysia.

"Isunya kenapa ada logo patung dan logo halal. Sebagai pengguna Islam tentunya ia sesuatu yang tidak kena kerana berkaitan akidah umat Islam," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Katanya, PPIM meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk keluarkan fatwa dan status yang berkaitan bagi merungkai persoalan khususnya umat Islam di negara ini.

Sunday, November 2, 2014

2207) Jemputan ke Seminar Kebangsaan Hiburan Dan Islam


2206) Lawatan ke Rumah Anak - Anak Yatim










Berikutan sebaran whatsapp yang diterima mengenai Rumah Anak Yatim di Gincing Sepang memerlukan bantuan, Biro Kebajikan PPIM telah melawat mereka pagi ini dan menyalurkan bantuan yang perlu. ( whatsapp yang diterima-Salam SM...U..Urgent minta bantuan sahabat sahabat . JKKK Kg Giching Baru Lepas melawat rumah anak2 yatim kat giching tadi. Bekalan makanan mereka tahap kritical , cuma boleh bertahan 2 hari saje lagi untuk menampung 120 org anak yatim. amat memerlukan bantuan beras, mee hoon, biskut dan barang2 kering yg lain.sesiapa yg nak menyumbang amat dialu alu kan. Boleh hantar sendiri atau nak JKKK ambik kat rumah pun ok. Alamat dijalan Hj Burhan, sebelah surau Giching Hilir dan dekat dgn rumah Abg Ujang.
 


Assalamualikum.
Saya baru hubungi Penjaga Rumah Anak2 Yatim Ust Jaafar. (29/10/2014)

Bekalan makanan anak2 yatim (80 orang) di Gincing Salak tinggi ini di tahap kritical. Bekalan makanan cuma boleh bertahan 2 hari saje lagi (29/10/14).

Amat memerlukan bantuan beras, mee hoon, biskut dan barang2 kering yg lain. Kepada sesiapa yg nak menyumbang amat dialu alu kan. Boleh hantar sendiri ke alamat di Jalan Hj Burhan, Salak Tinggi.

Penjaganya Ustazah Norlida 0105081997 atau Ustaz Jaafar 0186682732
Akaun Rumah Anak Anak Yatim:
Bank: Maybank
Nama Acc: Baitul Barokah Wal Mahabbah No Acc: 562834614558.

2205) 30/10/2014 - Seminar Penerangan Rasionalisasi Subsidi dan Apa Itu GST dan Kesannya Kepada Pengguna







Kuala Lumpur : Persatuan Pengguna Islam Malaysia dengan kerjasama Kolej Teknologi YPC-IT WEB telah mengadakan seminar yang diberi nama Seminar Penerangan Rasionalisasi Subsidi dan Apa Itu GST dan Kesannya Kepada Pengguna kali ke dua. Seminar ini dirasmikan oleh Y  Bhg Dato Seri Syed Ali Alhabshee, Pengurusi Yayasan Wilayah Persekutuan Merangkap Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras.

Para hadirin yang hadir kesemuanya terdiri daripada Penolong Kanan dan kakitangan dari Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan (JPNWP). Hampir 350 kakitangan dan pegawai JPN yang hadir ke seminar ini. Penceramah terdiri dari Puan Nurul Ain Mohd Ali dan Encik Shahrudin Hamzah, KPDNKK Putrajaya.

Matlamat program adalah sebagai medium kerjasama diantara kerajaan dan pihak NGO untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan pada 14/4/2015 dan resonalisasi GST serta medan pendekatan kearah pemerkasan PPIM/golongan professional tentang peranan serta aktivitinya kearah pemantapan budaya bangsa dan kepenggunaan.

Puan Nurul Ain Mohd Ali menyampaikan penerangan tentang GST dan kefahamannya, sementara Encik Shahrudin Hamzah menyampaikan perihal Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada hadirin. Ceramah ini untuk menyedarkan bahawa GST ini bukan untuk membebankan rakyat malah membantu rakyat serba sedikit.


PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL