Artikel oleh: Sinar Harian
PENIAGA SENGAJA MUFLIS ELAK BAYAR HUTANG
SHAH ALAM - Segelintir peniaga didakwa sengaja menjadikan diri mereka muflis kerana enggan membayar hutang dan memilih jalan mudah untuk melepaskan diri.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma’amor Osman berkata, secara umumnya strategi itu biasanya digunakan bagi mereka yang mengambil insurans yang tinggi.
"Mereka ambil insurans yang tinggi. Kemudian, katakan mereka ini peniaga, jadi mereka pun bakar kedai mereka.
"Dengan itu mereka boleh tampung dengan insurans. Kedua, mereka mengambil pendekatan berhutang dengan lebih tinggi lagi, kemudian abscond (melarikan diri), itu biasa kita dengar.
"Biasa yang berhutang tinggi ini, mereka sudah ada hutang tidak berbayar (NPL) lama. Kemudian mereka buat proposal (cadangan) ambil hutang lagi besar, apabila mereka diketahui, mereka lari ke luar negara (sebelum diisytihar muflis)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujar Ma'amor, apabila mereka diisytihar muflis, mereka sudah tidak risau kerana telah mempunyai duit dan berada di luar negara.
"Negara luar senang menerima orang yang ada duit, dan tidak peduli apa kisah masa lampau mereka, misalnya Australia.
"Kalau kita pergi Australia dan bawa minimum wang tunai 1 juta dolar Australia, kita melabur, membelanjakan wang dan sebagainya. Lima tahun kemudian kita boleh dapat warganegara.
"Bagi orang seperti mereka, risiko-risiko senarai hitam memang tidak dipedulikan langsung," ujarnya.
Tambahnya, berhutang sehingga tahap diisytihar muflis memberi kesan kepada mereka yang bekerja di negara ini.
"Kalau penjawat awam atau bekerja swasta, mereka boleh dibuang kerja. Ini ke-ana undang-undang di Malaysia menyatakan majikan tidak boleh menggajikan orang muflis.
"Kemudian risiko lain bagi mereka yang berhutang keliling pinggang ini, secara psikologinya mereka hidup dalam keadaan stres.
"Apabila orang lain tahu kita berhutang, kita pun rasa lemah semangat dan malu nak berjumpa," ulasnya.
Artikel oleh: Sinar Harian
PENIAGA SENGAJA JADI MUFLIS
https://www.sinarharian.com.my/article/649232/berita/nasional/peniaga-sengaja-jadi-muflis
Masalah tiada wang kecil tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang pelanggan mempertikai tindakan sebuah kedai kopi yang tidak dapat memulangkan baki pembeliannya sebanyak 5sen.
Namun isu ini bukanlah masalah baru, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama.
Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), bukan nilai 5sen yang menjadi pertikaiannya, tetapi soal prinsip dan integriti penjual.
Ketua aktivisnya Nadzim Johan berkata integriti seharusnya dijadikan teras oleh penjual.
“Kita nak meniaga ini nak benda yang betul, yang mengikut prinsip.

“Menipu tak boleh.
“Jadi benda seperti melibatkan penipuan ini tak boleh diamalkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Baru-baru ini tular perkongsian seorang pengguna berkaitan Zus Coffee yang tidak dapat memulangkan baki 5sen padanya.
Katanya, dia diberikan baki 20sen - kurang 5sen - ketika membayar RM12 untuk air kopi bernilai RM11.75, atas alasan tiada duit kecil.
Pengguna itu sebaliknya berhujah, kedai sepatutnya memulangkan 30sen, kerana mereka yang gagal menyediakan bakinya.
“Kenapa pulak aku kena absorb (serap), hilang 5sen sebab kau yang tak ada baki?” kata pengguna itu.
Luahan itu dikongsi meluas dan mencetuskan perbincangan awam berkaitan kegagalan syarikat yang gagal memulangkan cukup baki jualan akibat tiada duit kecil.
Zus Coffee memohon maaf dan berjanji akan mengambil langkah-langkah memperbaiki perkhidmatan mereka.
Mereka juga memperkenalkan baucar percuma 75sen sebagai tanda penghargaan buat pelanggan.

Sementara itu, Nadzim berkata walaupun 5sen itu nampak sedikit tetapi jumlah sebenarnya banyak jika melibatkan pelanggan yang ramai.
Lebih-lebih, katanya, apabila melibatkan kedai yang mempunyai banyak cawangan, sehingga mencecah angka ribuan.
“Kalau 2,000 kedai kali 10 orang (pengguna jadi mangsa), banyak juga,” katanya lagi.
Sementara itu, Nadzim menyarankan pengguna melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa jika situasi sama melanda mereka.
“Maknanya kalau benda itu tak betul, kena sebut tak betul dan perlu diambil tindakan supaya boleh mengajar masyarakat,” jelasnya.
Artikel oleh: MalaysiaKini
BUKAN SOAL 5SEN, TAPI PRINSIP - PPIM
INI kisah Kak Siti Ayam Penyet. Ia jadi tular beberapa hari lalu. Dalam tular itu, ia menyebut – Nama kedai Melayu. Owner Cina. Ramai org Melayu tak tau main order je. Bukan mualaf… itulah antara isi kandungan screenshot yang menjadi tular tersebut. Teksnya mudah. Ringkas. Tapi padat dengan mesej. Ini satu lagi pendedahan perlakuan peniaga yang tidak jujur dan tidak harmoni dalam urusan perniagaannya. Niatnya jelas. Dia opportunis dan memanipulasi nama Melayu untuk mempengaruhi pelanggan Melayu.

Sungguh! Impak perbuatan peniaga ini sangat serius. Ini bukan perkara main-main. Ini bukan hal biasa-biasa. Ini tidak dilihat lagi sebagai strategi berniaga. Ini satu perbuatan untuk mengelirukan pelanggan. Kalau hendak dikatakan sebagai strategi dan pelan niaga, banyak lagi cara boleh dilakukan tetapi tetapi bukan dengan cara yang mengelirukan. Apatah lagi, pelanggan tidak melihat premis perniagaan itu kerana urusan tempahan melalui aplikasi pesanan dalam talian.
Persoalan di sini, kenapa terus ada peniaga yang ‘menipu’ pelanggan? Khususnya, Melayu dan Muslim apabila mereka menamakan produk dengan nama Melayu atau nampak Islamik. Di mana moral mereka? Tahap mana etika mereka. Sejauh mana kefahaman dan melazimkan rukun negara termasuk bab Kesopanan dan Kesusilaan? Sikap kiasu dan pentingkan diri sendiri menjadi asas mengaut untung. Kenapa harus ada niat ‘helah dan muslihat’ dari sisi yang negatif untuk memperdaya dan mengelirukan pelanggan?
Malah kiasu, helah, muslihat, perdaya dan mengelirukan itu digabungkan untuk mewujudkan keyakinan bahawa produk mereka adalah sebagaimana tanggapan pelanggan iaitu produk Muslim, atau produk yang halal, mahupun produk yang serba-serbi tiada keraguan atau penipuan?
Seperti mana kisah ayam penyet, ada beratus lagi produk di pasaran yang menggunakan taktik sama. Anda pasti ingat kisah tular serbuan pihak berkuasa ke atas premis yang membuat kicap, cuka, tauchu dan sos yang menggunakan logo Halal palsu. Premis terbabit juga kotor. Tidak ada standard dalam pengilangannya. Masih ramai pengusaha produk makanan tidak mahu tahu pengguna Muslim tidak boleh disekutukan dengan produk yang tidak halal atau haram khususnya berkaitan dengan babi.
Sifat kiasu dan negatif ini turut ada dalam diri peniaga Muslim tertentu. Bagi mereka ialah mengaut untung. Mereka menggunakan jenama Melayu atau yang Islamik untuk produk mereka. Walaupun produk itu sebenarnya barang yang dibeli secara pukal dari pengilang kiasu dan kemudian mereka beri jenama baharu dan bungkus semula.

Pelanggan juga mudah terperdaya bila tertera nama syarikat atau enterpris Bumiputera yang membungkusnya. Janji nama Melayu, itu sudah cukup meyakinkan produk itu halal. Pelanggan tiada hal atau tiada masalah walaupun mereka hanya membungkusnya semula sahaja tanpa mahu ambil tahu apa benda yang dibungkusnya!
Jadi, tidak salah kata pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menasihatkan supaya pengguna meneliti dan memilih perniagaan yang benar-benar diyakini bersih, mempunyai sijil penarafan kebersihan dari pihak PBT, memiliki lesen perniagaan yang sah serta mempunyai sijil taraf halal terutamanya bagi pengguna yang beragama Islam.
Mengulas kejadian itu, Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan, kesal dengan tindakan peniaga yang hanya mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat majmuk dan ini perkara ini perlu dikenakan tindakan tegas.
“Mengguna pakai nama kedai makanan Melayu tetapi disediakan oleh orang bukan Islam adalah perkara serius yang perlu diberi perhatian kerana ini mengelirukan.
“Sesuatu perniagaan perlu melalui prosedur ditetapkan dan tidak menggelirukan pembeli sehingga akhirnya menjadi isu sensitif dalam masyarakat majmuk sehingga sukar dikawal. Sama-sama kita menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang telah kita bina bersama selama ini,” katanya.
Mengulas kejadian yang sama, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihati pengguna untuk lebih peka dalam memilih barangan khususnya makanan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna harus utamakan keselamatan diri dan lebih bijak dalam urusan harian.

“Nak salahkan bangsa beragama lain, mereka tak faham soal halal haram. Mereka hanya kejar keuntungan baik penjual atau penyedia perkhidmatan itu,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.
Tambah Nadzim, pengguna perlu menhapuskan kepercayaan terhadap penyedia perkhidmatan yang tidak ada sijil halal.
“Mereka sekadar menghantar pesanan. Jadi, syarikat mereka tidak perlu sijil halal. Kita sebagai pengguna sudah banyak kali diingatkan jenama seakan nama Muslim tidak menjamin keselamatan dan tahap halal produk makanan itu,” katanya.
Nadzim turut mengingatkan pengguna tentang beberapa kes sebelum ini yang tular seperti syarikat yang menjual produk kuih pau, bihun, mee kuning dan banyak lagi yang menggunakan nama orang Islam tetapi dimiliki syarikat bukan Muslim.
“Bukan nak kata bukan Islam ini secara automatik tidak halal. Tetapi kita yang nak makan, nak masuk perut kita, kenalaha kita jaga. Jangan harapkan peniaga nak jaga kita, mereka peniaga keutamaan mereka ialah keuntungan sedangkan umat Islam dituntut supaya mencari yang halal. Mencari yang halal itu adalah wajib,” katanya.
Untuk merubah senario dan dilema ini, ia memerlukan keazaman politik pihak kerajaan. Untuk merealiasikan usaha ini, ia turut komitmen umat Islam sendiri. Kemudian, kalangan pemodal Muslim wajar menyatukan usaha, kepakaran dan kewangan untuk menggerakkan perusahaan mengeluarkan produk untuk keperluan, khususnya pengguna Islam.
Gerakan mempromosi membeli produk Muslim wajar dipertingkatkan. Biarpun berdepan dengan ‘serangan balas’ pihak yang merasakan kiasu mereka terjejas, in adalah fardu kifayah kerana mencari yang halal itu wajib. Kuasa pengguna Islam mesti digembeleng dan diterjemahkan sebagai faktor penentu dan pendesak di pasaran.
Selagi usahawan Islam tidak ada kesedaran dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan pengguna Islam sendiri, selagi itu isu dan kiasu seperti kes Kak Siti Ayam Penyet; tiada kesudahan. Selagi ada pengusaha dan peniaga yang tidak memikirkan soal harmoni, masyarakat majmuk dan sensitiviti kaum maka yang rugi, diperbodoh dan terus diperdaya ialah umat Islam sendiri. Kesudahannya, ketidakjujuran mereka telah menjadi darah daging kita!
Artikel oleh: Wacana
ANALISIS: BILA KIASU MENGATASI HARMONI, KEJUJURAN DALAM BERNIAGA
https://wacana.my/analisis-bila-kiasu-mengatasi-harmoni-kejujuran-dalam-berniaga/