Tuesday, June 4, 2024

PROJEK PEMBANGUNAN 2 BLOK PANGSAPURI DIDAKWA MENJANGKAU KEPADATAN DIBENARKAN - SINAR HARIAN - 02/06/2024

 

AMPANG - Projek pembangunan dua blok pangsapuri 35 tingkat melibatkan pembangunan 570 unit pangsapuri di antara Taman Perumahan Verge 32 dan Hevea, Kemensah Heights didakwa menjangkau kepadatan dibenarkan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penduduk Kemensah sehubungan itu menuntut kajian EIA, TIA dan SIA yang mesti dilakukan secara komprehensif terlebih dahulu oleh badan bebas.

Menurutnya, langkah itu demi menjamin kelestarian alam sekitar, keselamatan penduduk setempat, akses kepada infrastruktur termasuk jalan utama keluar masuk yang selamat, pembangunan berkualiti dan tidak menjejaskan kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk serta persekitaran hijau dan lestari.

"Penduduk mendesak supaya kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberhentikan serta-merta projek ini termasuk kerja-kerja tanah yang baharu dimulakan minggu lalu.

Mohamed Azmin (tengah) ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk.

"MPAJ mesti meneruskan libat urus dengan Persatuan Residen Kemensah supaya pandangan dan maklum balas orang awam diberikan perhatian serius oleh MPAJ sebelum kelulusan diberikan untuk projek-projek pembangunan khususnya di kawasan sensitif alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Residen Kemensah, wakil-wakil Kesatuan Gabungan Taman-taman dan Residen Kemensah.

Dua isu yang dibincangkan dalam perjumpaan tersebut adalah bantahan nilaian baharu cukai taksiran dan bantahan projek pembangunan dua blok pangsapuri 35 tingkat berkepadatan tinggi melibatkan pembangunan 570 unit pangsapuri di antara Taman Perumahan Verge 32 dan Hevea, Kemensah Heights.

Mohamed Azmin berkata, suara bantahan cukup kuat dan penduduk semakin lantang menyuarakan bantahan dengan mendakwa kerajaan negeri gagal mematuhi syarat-syarat pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar dan juga Rancangan Tempatan MPAJ.

"Saya telah mendengar dengan tekun keluhan dan bantahan penduduk. Saya mendapatkan semua dokumen yang berkaitan dan saya akan mengangkat bantahan ini kepada MPAJ dan juga di Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada 4 Julai ini," ujarnya.

Beliau dalam masa sama turut menggesa semua pihak tampil untuk memberikan pandangan yang profesional dan berfakta agar beliau dapat mempertahankan kepentingan rakyat dan orang awam khususnya di Taman Melawati dan Gombak.

"Ayuh, kita bangkit dan perbetulkan kerosakan yang berlaku demi masa depan Selangor yang makmur dan rakyat yang dijamin hak mereka di sisi undang-undang," ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PROJEK PEMBANGUNAN 2 BLOK PANGSAPURI DIDAKWA MENJANGKAU KEPADATAN DIBENARKAN

https://www.sinarharian.com.my/article/668003/edisi/selangor-kl/projek-pembangunan-2-blok-pangsapuri-didakwa-menjangkau-kepadatan-dibenarkan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...