Friday, June 28, 2024

PPIM GESA PINDA AKTA, BELA NASIB PENDUDUK KAMPUNG SUNGAI BARU - KOSMO - 28/06/2024

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya meminda Seksyen 3, Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mendapatkan keadilan kepada pemilik-pemilik tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.

Peguam yang mewakili Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Shahrin Satheer, berkata, ia perlu lebih jelas supaya perkara yang menimpa penduduk terbabit, tidak berulang.

Katanya, pampasan yang diterima oleh penduduk terlibat, perlu dinilai semula segera dengan jumlah munasabah.

“Paling munasabah bagi saya adalah RM1,500 satu kaki persegi dan ke atas. Kerajaan perlu bertindak segera agar penduduk tidak terus tertekan, membazir masa dan duit bayar peguam.

“Penduduk terkesan juga perlu diberikan kediaman baharu dengan segera kerana mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk warga emas,” katanya ketika sidang akhbar bersama penduduk, di sini, hari ini.

Sebagai pemilik tanah berdaftar jelasnya, penduduk boleh menggunakan kaedah undang-undang bagi menghalang sebarang tindakan pengusiran dilakukan sewenang-wenangnya.

“Nak halau, mereka kena dapatkan perintah mahkamah. Tambahan, penduduk memiliki tanah sah dan pemilik berdaftar Kampung Sungai Baru.

“Pemaju perlu dapatkan perintah mahkamah dulu sebelum boleh potong bekalan air dan elektrik atau sebagainya. Sekarang perintah pun tak ada tau-tau dah potong, itu tak adil,” tambahnya.

Katanya, pemaju ‘berani’ bertindak ke atas penduduk terbabit yang didakwa tidak mempunyai fahaman mengenai undang-undang.

“Andai kata nilai yang diberikan pemaju tidak munasabah, perkara ini adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, penduduk ada hak untuk cabar dan menyatakan bahawa pengambilan tanah ini melanggar Perlembagaan Persekutan maka ia perlu diketepikan,” jelasnya.

Terdahulu, Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masa tindakan untuk gerakkan rakyat diambil supaya kerajaan bertindak sewajarnya.

“Sebarang tindakan perlu dilakukan mengikut undang-undang jika ada kelompongan dan mahkamah juga pelru dirujuk.

“Apabila dapat aduan, kami turun padang beberapa kali menerusi siasatan ‘task force’ kami, didapati ia tidak menepati Akta Pengambilan Tanah 1960,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru diminta menyerahkan kembali projek tersebut kepada kerajaan untuk dibangunkan oleh pihak lain kerana sudah tertangguh sejak enam tahun lalu.

Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembangunan di Kampung Sungai Baru boleh dilakukan oleh syarikat lain yang lebih berwibawa serta berkemampuan atau oleh agensi kerajaan berkaitan.

“Pemaju sudah pindahkan hampir 200 penduduk dan sehingga hari ini, sudah enam tahun pindah tetapi tidak dapat balik unit (kediaman) mereka.

“Jadi saya nak pemaju yang sudah tak boleh buat kerana tiada kewangan, (sedangkan) kerajaan sudah beri sokongan, kalau tidak boleh teruskan termasuk bawa balik orang yang telah dipindahkan, maka saya cadangkan ‘surrender’ tanah ini kepada syarikat-syarikat atau agensi kerajaan yang lebih berwibawa untuk siapkan. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

PPIM GESA PINDA AKTA, BELA NASIB PENDUDUK KAMPUNG SUNGAI BARU

https://www.kosmo.com.my/2024/06/28/ppim-gesa-pinda-akta-bela-nasib-penduduk-kampung-sungai-baru/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...