Thursday, June 13, 2024

PARALLEL PATHWAY: PPIM GESA KKM PERTIMBANG KETEPI PIHAK BERKEPENTINGAN - SINAR HARIAN - 12/06/2024

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan semula pengecualian pihak berkepentingan tertentu dan memastikan semua suara didengari dalam proses membuat keputusan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, keselamatan pesakit harus sentiasa menjadi keutamaan dalam mana-mana sistem penjagaan kesihatan dan penting bagi semua pihak berkepentingan bekerjasama untuk memastikan cadangan pindaan kepada Akta Perubatan akhirnya akan memberi manfaat kepada pesakit serta meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan di Malaysia.

Kami minta KKM untuk menangani isu ini dengan segera dan memasukkan semua pihak berkepentingan dalam perbincangan akan datang mengenai cadangan pindaan kepada Akta Perubatan.

"Kami kekal komited untuk memperjuangkan keselamatan pesakit dan kesejahteraan semua individu yang bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan di Malaysia. Justeru satu laporan polis akan dibuat mengenai perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan draf cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) sudah siap dan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tujuan semakan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui Parallel Pathway serta memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan.

Tambah Nadzim, pihaknya melahirkan kebimbangan terhadap tindakan KKM menyisihkan pendapat pakar perubatan menentang laluan selari Parallel Pathway dan pihak berkepentingan lain terhadap cadangan pindaan Akta Perubatan 1971.

Beliau berkata, walaupun kebimbangan KKM terhadap keselamatan pesakit dijadikan alasan, pihak berkepentingan tersebut telah diketepikan daripada perkara penting iaitu perbincangan berhubung cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perubatan.

"Perkara ini tidak boleh diterima dan KKM telah menimbulkan kebimbangan serius tentang program Parallel Pathway dan kesannya terhadap keselamatan pesakit diabaikan dalam proses membuat keputusan.

"Sesi penglibatan pihak berkepentingan dengan KKM ini merupakan peluang penting untuk semua suara didengari dan penting untuk semua perspektif diambil kira semasa membuat keputusan yang akan memberi kesan secara langsung kepada sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.

"Cadangan pindaan kepada Akta Perubatan 1971 adalah amat penting dan mustahak bagi semua pihak berkepentingan berkaitan termasuk pengkritik laluan selari yang diberi platform untuk menyatakan pandangan dan kebimbangan mereka," katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PARALLEL PATHWAY: PPIM GESA KKM PERTIMBANG KETEPI PIHAK BERKEPENTINGAN

https://www.sinarharian.com.my/article/669728/berita/nasional/parallel-pathway-ppim-gesa-kkm-pertimbang-ketepi-pihak-berkepentingan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...