Wednesday, November 15, 2023

PUSAT BELI BELAH MALAKAT TERAJU USAHA PERKENAL PRODUK USAHAWAN MUSLIM - BERITA HARIAN - 11/11/2023

 

CYBERJAYA: Usaha memperkenalkan usahawan dan produk tempatan Muslim dan dari negara Islam lain terus diperkasakan dengan pelancaran Buy Muslim First (BMF) Global Movements.

Gerakan itu diterajui Pusat Beli Belah Malakat dan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

Pengasas Pusat Beli Belah Malakat, Mohd Fadzil Hashim, berkata pihaknya dan KoPPIM mengambil inisiatif menjadi peneraju utama BMF Global Movements dalam usaha memperluas sokongan usahawan tempatan dan dari negara Islam lain.

Katanya, gerakan itu bukan bersifat bangsa untuk memboikot produk bukan Muslim, tetapi lebih kepada untuk memperkuatkan ekonomi orang Islam.

Oleh itu, katanya, Malakat akan digunakan sebagai platform memperkenalkan jenama Muslim setiap minggu termasuk dari Turkiye dan Indonesia.

"Usaha ini turut memfokuskan kepada tiga tujuan utama iaitu Kempen Satukan Kuasa Beli yang mana kita menyarankan pembeli memfokus pilihan dalam perbelanjaan mereka.

"Bagi mempraktikkan idea itu, kami turut melancarkan Karnival Usahawan kepada usahawan iaitu pengeluar asal sesebuah produk yang berperanan penting dalam ekosistem ekonomi.

"BMF Global Movements adalah usaha menyedarkan masyarakat yang perjuangan memartabatkan produk Muslim bukan sekadar bertaraf lokal, malah ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran BMF Global Movements di Pusat Beli Belah Malakat di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi KoPPIM, Mustapa Kamal Mohd Razali.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim (empat dari kanan) dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (tiga dari kanan) pada majlis Pelancaran BMF Global Movements di Pusat Beli Belah Malakat di Cyberjaya, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Mohd Fadzil berkata, rakyat perlu mengutamakan produk tempatan.

"Sudah tiba masanya kita menggunakan kuasa sebagai pengguna untuk membina kekuatan sendiri untuk membantu melindungi rakyat terutama umat Islam," katanya.

Mengenai tindakan boikot produk pro-Israel ketika ini, beliau akui tindakan kali ini sangat luar biasa dan turut memberi kesan kerana banyak pihak.

"Orang kita sangat sensitif sehinggakan ramai yang terluka. Mereka berasakan tidak boleh berbuat apa-apa dan memboikot adalah tindakan kolektif mampu dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan memboikot akan lebih berkesan jika disusuli dengan usaha memperkenalkan produk alternatif bagi mengelak orang ramai kembali produk diboikot apabila keadaan kembali tenang.

"Kita maklum BMF hanya kuat di Malaysia namun di peringkat antarabangsa, ada gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), gerakan Palestin untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

"Apa yang kita lancarkan hari ini adalah langkah strategik melalui 12 protokol BMF Global membabitkan pengguna Islam, usahawan Islam, pengguna dan usahawan bukan Islam yang sealiran dengan perjuangan yang membebaskan Palestin," katanya.

Sementara itu, Mustapa Kamal berharap lebih ramai usahawan tempatan terutama Muslim mengeluarkan produk.

Katanya, tindakan memboikot produk pro-Israel membuatkan orang ramai mulai memilih produk tempatan.

Turut diadakan di pusat beli belah itu adalah acara March4Gaza dihadiri kira-kira 1,000 orang sebagai tanda solidariti susulan konflik Palestin-Israel.

Antara peserta acara March4Gaza di Malakat Mall, Cyberjaya. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim (lima dari kanan) pada majlis Pelancaran BMF Global Movements di Pusat Beli Belah Malakat di Cyberjaya, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Artikel oleh: Berita Harian

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...