PETALING JAYA: Golongan selebriti dan pempengaruh atau influencer diminta berhenti mempromosi produk ‘beracun’ termasuk jadi duta ubat-ubatan, kesihatan dan kecantikan yang diragui keselamatannya.
Hal itu bagi mengelakkan lebih banyak kes yang mendorong orang ramai membeli produk terutama ubat di platform tidak terjamin sekali gus membelakangkan khidmat dan nasihat daripada doktor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George mencadangkan supaya kerajaan melakukan pemantauan dengan lebih agresif dan efektif terhadap golongan berkenaan yang didapati menjalankan kegiatan penjualan produk kesihatan meragukan.
Tindakan tersebut kerana berlaku kegiatan sedemikian yang hanya mahu mengaut keuntungan dengan memanfaatkan penggunaan produk itu atas sandaran dapat merawat badan dan menambahkan kecantikan, tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Tidak menyebut nama selebriti tertentu, namun beliau menyifatkan, belum ada kesanggupan politik atau tindakan lebih tegas dikenakan terhadap golongan itu menyebabkan aktiviti penjualan masih berjalan khususnya di platform e-dagang yang mudah didapati.
“Kita mesti perkasa proses untuk ambil tindakan. Tetapi, ‘ketakutan’ masih ada dalam penguatkuasaan kita sebab selebriti ada pengaruh dan cara pemasaran produk tersendiri.
“Jika ada beberapa selebriti terlibat, siasat sahaja dan ambil tindakan untuk menggambarkan kerajaan tidak kompromi dengan mereka. Justeru, pengguna mestilah bijak dalam membuat sebarang keputusan dan dengar badan-badan bertauliah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sikap segelintir pengusaha menjual ubat-ubatan dan produk kesihatan lain sehingga sanggup menggunakan khidmat selebriti atau orang kenamaan untuk melariskan produk jualan mereka.
Semalam, akhbar ini yang memetik Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Norhaliza A. Halim mendedahkan, sebanyak 8,145 produk kesihatan dijual dalam platform e-dagang tidak mendapat kelulusan kerajaan sehingga dianggap berbahaya kerana tidak dijamin keselamatannya.
Antara produk yang dijual ialah pil gugur, ubat pelangsing badan, pil perangsang seks, suntikan vitamin C dan antibiotik yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengingatkan semua pengguna untuk terus memupuk kesedaran dengan merujuk kepada doktor berhubung preskripsi ubat sepatutnya diambil sebelum membeli ubat-ubatan di saluran lain termasuk e-dagang.
Menurutnya, membelakangi khidmat dan nasihat doktor bagi sebarang produk yang menuntut pada kesihatan tubuh badan dikhuatiri mengundang keadaan lebih teruk termasuk menghidap penyakit kritikal dalam jangka masa panjang.
“pengguna yang bijak sepatutnya mengambil bahan rawatan bersifat organik dan bukannya pil-pil yang tidak dapat diperakukan kandungan dan tahap keselamatannya.
“Segelintir pengguna tidak dilatih dan dididik untuk mencari produk tradisional yang lebih baik seperti memakan sayur dan buah. Mereka lebih gemar menggunakan jalan pintas, kalau mahu kuat makan pil sahaja. Inilah yang menjadi budaya kita sejak sekian lama.
“Bagi golongan wanita pula, mereka sinonim dengan produk-produk yang kononnya melangsungkan badan atau memberi kecantikan. Sedangkan, mereka lebih baik bersenam sahaja daripada mengambil produk yang dicurigai,” katanya. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
SELEBRITI PERLU HENTI PROMOSI PRODUK 'BERACUN'
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/selebriti-perlu-henti-promosi-produk-beracun/
No comments:
Post a Comment