Saturday, June 6, 2020

6010) PEMANDU MABUK: KELUARGA MANGSA TERIMA WAKALAH PERKESO - ISMAWEB - 05/06/2020


KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – “Alhamdulillah syukur, banyak pihak datang membantu saya dan anak-anak untuk meneruskan kehidupan,” kata Zahlawati Zahlan, 47.

Dia adalah balu kepada Mohamed Zaili Mohamed yang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, Isnin lepas.

Zahlawati dan keluarga menerima sumbangan wakalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Skim Pekerjaan Sendiri, Datuk Nadzim Johan di kediamannya di Bukit Antarabangsa hari ini.

Hasil semakan Skuad Prihatin Perkeso, arwah yang bekerja sebagai penghantar makanan tidak mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) atau skim Perkeso yang lain, namun atas belas ihsan Perkeso turut memberikan sumbangan wakalah daripada anggota Perkeso.

“Arwah tidak mencarum (Perkeso). Alhamdulillah sumbangan ini simpanan untuk anak-anak dan saya akan membantu keluarga arwah. Dengan modal ini, boleh sara anak-anak, jaminan untuk mereka.

“Kami tidak mempunyai pendapatan tetap selain meniaga sendiri dan arwah dulu pun menjadi penghantar makanan untuk makanan yang saya jual sendiri. Alhamdulillah, ini dapat serba sedikit membantu untuk menyara anak yang masih kecil dan hendak bersekolah,” kata Zahlawati.

Sementara itu, Ketua Cawangan Dasar dan Strategi Bahagian Sumber Manusia Mohd Razmi Khalid berkata selain membantu keluarga arwah, wakalah ini juga satu usaha memupuk kesedaran akan kepentingan mencarum Perkeso bagi individu yang bertugas dalam ekonomi gig seperti e-hailing.

“Pada masa ini, ramai yang bekerja sendiri dan difahamkan, ekonomi gig serta trend bekerja sendiri dijangka meningkat dan kita bimbang pekerja-pekerja tidak dilindungi,” katanya.

SKSPS adalah skim keselamatan sosial yang memberi perlindungan kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Mohamed Zaili meninggalkan seorang balu dan empat orang anak, Arif Iskandar, 22, Putri Balqis, 21, Aril Iskandar, 10, dan Aleesya Zailiza, 6 tahun.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi Isnin lepas, Mohamed Zaili, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala. – Bernama


Artikel oleh: ISMAWEB

PEMANDU MABUK: KELUARGA MANGSA TERIMA WAKALAH PERKESO

https://ismaweb.net/2020/06/05/pemandu-mabuk-keluarga-mangsa-terima-wakalah-perkeso/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...