Wednesday, August 28, 2019

5216) NAFI TERIMA DEPOSIT RM1.14J TANPA LESEN [METROTV] - HARIAN METRO - 27/08/2019



AHLI perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah daripada orang ramai berjumlah lebih RM1.14 juta antara Januari 2016 hingga Februari 2017.

Tertuduh, Rosman Jamal, 39, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima deposit daripada seorang individu sebanyak 10 kali transaksi berjumlah RM375,500 tanpa memiliki lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tadisma Business Park, Seksyen 13, Shah Alam, pada 17 Januari 2016 hingga 6 Februari 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima deposit daripada individu lain sebanyak enam kali transaksi berjumlah RM772,800 pada 9 November 2016 hingga 13 Januari 2017 di lokasi sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) Akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat menawarkan ikat jamin berjumlah RM160,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun peguam Jason Singh yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan.

Jason berkata, anak guamnya mempunyai isteri, empat orang anak serta perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Yang Zaimey kemudian menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM45,000 selain pasport antarabangsanya diserahkan pada mahkamah dan kes disebut pada 26 September depan.

April tahun lalu, media melaporkan sekumpulan 28 individu yang rata-ratanya terdiri daripada pesara membuat laporan polis mendakwa ditipu oleh individu yang menggunakan nama Yayasan Amanah Niaga Kebangsaan Malaysia membabitkan pelaburan wang dengan kerugian kira-kira RM4.7 juta.

Mereka yang mendapatkan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa mula melabur pada 2016 dengan pulangan yang dijanjikan antara 20 dan 35 peratus setiap bulan.

Artikel oleh: Harian Metro

NAFI TERIMA DEPOSIT RM1.14J TANPA LESEN [METROTV]




No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...