Thursday, May 16, 2019

4944) PPIM DEDAH PENGGUNAAN PELEKAT KHAS ELAK KERETA PIANG DIKESAN – BERITA HARIAN – 15/5/19



KUALA LUMPUR: Beberapa ejen pemilikan semula (EPS) atau lebih dikenali sebagai ejen tarik kereta dikesan menggunakan pelekat khas bagi melindungi kenderaan yang ditarik tetapi tidak diserahkan kepada bank.
Pelekat ‘kebal’ memaparkan logo kumpulan kongsi gelap dan logo Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu juga digunakan untuk menjalankan perniagaan kereta ‘piang’ (kereta lari bank) iaitu EPS menjual semula kenderaan yang ditarik kepada orang awam.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata jika kenderaan ditampal dengan pelekat berkenaan, ia tidak akan ditarik oleh EPS yang lain walaupun ia dijumpai.
“Kita percaya mereka yang terbabit ini bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap memandangkan ada logo kumpulan kongsi gelap selain menyalahgunakan logo KPDNHEP.
“Memandangkan pelekat ini wujud di setiap negeri, ia juga menyumbang kepada pergaduhan sesama pemilik pelekat kerana melanggar undang-undang pelekat dan kawasan ‘taklukan’ kumpulan ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nadzim berkata, setakat ini, PPIM menerima lebih 800 aduan mengenai kereta yang ditarik tetapi tidak diserahkan kepada bank.
Katanya, perkara itu sesuatu yang serius dan pihak berkuasa digesa bertindak kerana ia bukan sahaja menganiaya pemilik kenderaan yang ditarik malah mendatangkan kerugian kepada bank.
Sementara itu, seorang pemandu Grab, Wan Perang Wan Mat Noor, 37, berkata, dia pernah menjadi mangsa sindiket terbabit setahun lalu.
Dia berkata, tiga lelaki mengaku penarik kereta memaklumkan bayaran keretanya tertunggak sudah mencecah RM11,000.
“Walaupun saya rasa jumlah tunggakan tidak sebanyak itu, saya serahkan juga kereta saya namun seminggu kemudian bila saya datang untuk menuntut kereta bank memaklumkan kereta saya tiada dalam simpanan bank.
“Sebelum itu saya sudah menjelaskan bayaran tertunggak sebanyak RM4,000, saya tidak puas hati dan kerana curiga dengan tindakan pegawai bank berkenaan saya juga buat laporan polis tetapi sehingga hari ini saya tidak tahu status kereta saya,” katanya.

Artikel oleh : BERITA HARIAN
PPIM DEDAH PENGGUNAAN PELEKAT KHAS ELAK KERETA PIANG DIKESAN

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...