Thursday, May 16, 2019

4932) PELEKAT KEBAL PENARIK KERETA – METRO – 15/5/19



BERSELINDUNG di sebalik logo tertentu, sindiket penarik kereta di seluruh negara dikesan menggunakan pelekat kebal bagi melindungi kereta daripada diserahkan kepada bank untuk mengaut keuntungan peribadi, termasuk menjualnya di pasaran gelap.
Berharga RM3,000 setiap satu, pelekat berkenaan dipercayai mewakili kawasan tertentu, turut menggunakan lambang jata negara serta logo kementerian bagi mengaburi mata kumpulan penarik kereta lain daripada menarik kenderaan yang dikatakan mempunyai tunggakan bayaran.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu dikesan sejak beberapa tahun lalu dan pihaknya menerima 800 aduan pelbagai kes membabitkan penarik kereta, isu tuntutan insurans, saman serta kehilangan kenderaan selepas diserahkan kepada Ejen Pemilikan Sementara (EPS) untuk dihantar ke bank.
“Kita dapati, sindiket ini juga menjalankan perniagaan kereta piang dengan menjual kereta yang ditarik kepada orang awam. Mana-mana pemilik kenderaan yang mempunyai pelekat tertentu ini akan mendapat perlindungan dengan kereta yang digunakan tidak akan ditarik.
“Mereka juga mengutip yuran bulanan daripada pemilik asal kereta. Pelekat itu juga diguna pakai untuk menjalankan perniagaan cagar dan gadai kenderaan yang masih menjadi milik bank dengan kadar faedah 20 peratus.
“Dengan menggunakan pelekat kebal ini, bayaran ansuran sebuah kenderaan mewah berharga RM2,500 tidak perlu dibayar, sebaliknya hanya perlu bayar RM500 kepada pemilik pelekat. Ini sudah tentu merugikan bank,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.
Nadzim berkata, satu lagi elemen yang ada pada sindiket ini ialah mereka bersekongkol dengan kongsi gelap berdasarkan logo yang digunakan pada pelekat terbabit, selain pembabitan orang dalam agensi berwajib bagi membolehkan sesebuah kereta digunakan tanpa rasa takut.
Katanya, pemilik akan menjadi mangsa dan berdepan saman serta risiko kenderaan digunakan untuk melakukan jenayah, malah siasatan PPIM mendapati, kereta yang ditarik tidak disimpan di stor bank sebaliknya dilarikan untuk tujuan lain atau dijual.
Sementara itu, seorang mangsa, Wan Perang Wan Mat Noor, 37, berkata, kereta miliknya ditarik lebih setahun lalu ketika membawa keluarga berhampiran Kompleks Kementerian Dalam Negeri 2 di Jalan Duta.
Berselang seminggu, dia yang membuat laporan polis terkejut selepas mendapati kereta itu tiada di dalam stor simpanan dan pihak bank juga tidak mengetahui kumpulan penarik mana yang membawa kenderaan itu pada hari kejadian.
“Memang kereta saya ada tunggakan enam bulan. Selepas ditarik, saya jelaskan RM4,000 kepada bank dan dimaklumkan kereta tiada.
“Tidak lama kemudian, kereta itu dikesan berada di Johor dan Terengganu. saya bimbang ia digunakan secara salah dan saya yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Artikel oleh : Metro
PELEKAT KEBAL PENARIK KERETA

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...