Thursday, April 18, 2019

4895) TUNTUT BAYARAN MACAM MINTA SEDEKAH – UTUSAN MALAYSIA – 18/4/19



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan meneliti masalah dihadapi semua kontraktor di negara ini khususnya berhubung kelewatan pembayaran projek yang melibatkan agensi dan jabatan kerajaan.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap pelbagai aduan melibatkan penipuan dan salah laku itu termasuk kes yang menyebabkan kontraktor mengalami kerugian besar serta hampir bankrap setiap tahun.
Jelasnya, kerenah birokrasi dalam pengurusan serta sikap sengaja melewatkan pembayaran merupakan isu besar yang sering menghantui kontraktor terutama bumiputera.
“Saya nak bawa perkara ini kepada pengetahuan pihak yang bertanggungjawab supaya memantau pihak pengurusan. Kita selalu dengar bangsa lain cakap orang Melayu senang dapat kontrak kerajaan tapi sebenarnya kita banyak masalah.
“Banyak jabatan atau agensi ni suka ambil mudah, bayar lambat ikut suka hati mereka. Kontraktor orang yang buat kerja ni sampai kena meminta-minta macam minta sedekah pun ada,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan sebuah syarikat bumiputera yang didakwa dianiaya oleh anak syarikat Felda Global Ventures (FGV) di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melalui laporan khasnya mendedahkan kesengsaraan kontraktor bumiputera kelas G1 akibat campur tangan politik sehinggakan ada dalam kalangan mereka terpaksa menutup perniagaan dan menjual pisang goreng demi kelangsungan hidup ekoran tidak lagi menerima projek daripada kerajaan.
Lebih mendukacitakan, ahli politik terbabit turut didakwa menggunakan kuasa dimiliki dengan mengagihkan projek berlandaskan kepartian.
Selain itu, dominasi kontraktor haram terdiri dalam kalangan warga asing yang gemar ‘mencuri’ projek berskala kecil seperti pengubahsuaian rumah juga turut memberi kesan negatif kepada kelompok Gi berkenaan.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
TUNTUT BAYARAN MACAM MINTA SEDEKAH

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...