Saturday, April 27, 2019

4907) BUKAN SATU KESALAHAN UNDANG-UNDANG – KOSMO – 24/4/19



KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menegaskan, pemilik premis makanan nasi kandar yang tidak mempunyai pensijilan halal tidak boleh diambil tindakan kerana ia bukan satu kesalahan mengikut undang-undang.
Presidennya, Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata ramai pemilik restoran makanan nasi kandar tidak memohon sijil pengesahan halal kerana ia bukan satu paksaan.
Menurutnya, Presma sudah berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu itu.
“Jika mahu menetapkan semua premis nasi kandar atau restoran mamak perlu mendapatkan pensijilan halal, ia perlulah dilakukan secara adil dengan semua kedai makanan di seluruh negara seperti warung dan restoran tomyam juga perlu memohon sijil berkenaan.
“Kami memang orang Islam yang berniaga makanan dan janganlah bangkitkan keraguan masyarakat Islam terhadap premis kami,” katanya ketika hubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang mendedahkan hanya satu daripada 150 premis makanan nasi kandar di negeri itu mempunyai status sijil Halal.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan memberitahu, premis makanan yang mempunyai sijil halal yang sah akan dapat meyakinkan pelanggan Islam untuk menikmati hidangan di premis mereka.
“Jika kita mengenali pemilik premis itu dan sah dia beragama Islam serta menitiberatkan kebersihan, tidak salah untuk kita makan di kedai berkenaan.
“Bagaimanapun, jika tidak mengenali pemilik premis makanan itu, sijil halal yang dipamerkan adalah bukti hidangan yang disediakan mengikut syarak.” ujarnya.

Artikel oleh : Kosmo
BUKAN SATU KESALAHAN UNDANG-UNDANG

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...