Thursday, January 31, 2013

692) BERITA PPIM : BEKAS KERANI TANGGUNG HUTANG SYARIKAT RM80j







Headline: Bekas kerani tanggung hutang syarikat RM80 juta
Publication: HM
Date of publication: Jan 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 045


Kuala Lumpur: Gaji RM2,000, tetapi terpaksa menanggung hutang RM80 juta. Itu berlaku kepada seorang bekas kerani yang menanggung hutang syarikat selepas namanya digunakan sebagai pengarah.

Dia kini bukan saja buntu memikirkan masalah itu malah hidup tertekan mengenangkan beban yang ditanggung gara-gara membenarkan namanya disenaraikan dalam salah satu syarikat milik majikannya sejak 1986.

Raziah Hussein, 56, berkata, dia langsung tidak menyangka tawaran untuk menjadi pengarah syarikat dengan tambahan elaun serta sebuah kenderaan daripada majikannya selepas 30 tahun berkhidmat sebagai kerani di situ akan menjerat dirinya.

Menurutnya, perkara itu disedari selepas dia berhenti kerja bagi mengikut suaminya bertugas di China pada 2003.

Dia dimaklumkan mengenai satu saman atas namanya kerana gagal membayar pinjaman sebuah institusi kewangan berjumlah RM80 juta.

"Selepas pulang ke tanah air pada 2005, saya dipanggil ke Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) cawangan Johor dan terkejut sebaik diberitahu nama disenaraihitam kerana berhutang RM38,000 sedangkan saya terima surat saman RM80 juta.

"Rupanya ada kes hutang tertunggak lain menggunakan nama saya dan beberapa bekas rakan sekerja menyebabkan saya keliru dengan apa yang berlaku," katanya pada sidang media bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Unit Tindakan Khas Pengguna PPIM, Dr Izham Nayan.

Raziah berkata, dia diberitahu pegawai MdI bahawa tiada sebarang rekod mengenai saman RM80 juta itu, yang ada hanyalah kes kedua menyebabkan dia tertanya-tanya status sebenar kes pertama kerana bernilai puluhan juta ringgit.

"Kalau saya dan anak berjawatan tinggi sekalipun, mustahil saya dapat melangsaikan hutang sebanyak itu dengan umur yang semakin meningkat. Apa yang saya kesalkan ialah bekas majikan seolah-olah tidak peduli kesan yang saya tanggung ketika ini.

"Belum selesai masalah ini, saya terima surat saman lain kerana kegagalan syarikat membayar hutang kad kredit dengan jumlah keseluruhan RM6 juta. Saya benar-benar keliru, dalam keadaan tak mampu, timbul macam-macam masalah. Mujurlah suami dan anak faham situasi ini," katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya akan membawa kes berkenaan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengarah Mdl, Rohana Abdul Malek serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya, pihaknya sebelum ini menerima beberapa aduan sama termasuk membabitkan pakatan sindiket iaitu institusi kewangan bagi mendapatkan projek atau tender tertentu.

"PPIM memandang serius isu ini kerana ia berkaitan dengan integriti. Kita persoalkan bagaimana perkara ini boleh berlaku, dokumen yang sepatutnya disimpan boleh hilang dan ini meletakkan mangsa berisiko untuk dikenakan pengisytiharan muflis," katanya.



1 comment:

Unknown said...

dh baca berita ni kesiannyer dia.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...