Monday, July 7, 2014

2038) NEW STRAITS TIMES 7/7/2014 - ‘Train traders on food hygiene’




‘Train traders on food hygiene’

KUALA LUMPUR: SEVERAL consumer associations have called on local authorities to introduce a mandatory course on food handling for Ramadan bazaar traders, following the outbreak of food poisoning cases.
Federation of Malaysian Consumers Associations (Fomca) deputy president Muhammad Shaani Abdullah said traders should be trained in food handling, and local enforcement officials should ensure workers practised good hygiene as well.
He said consumers should only patronise food stall operators who practise good hygiene.
“If consumers are not bothered by the way food is handled, especially if traders use their bare hands or dirty utensils, then these traders will not change their attitude.”
He said food purchased from the stalls should be properly stored and not be kept for long, as some food could be made out of leftovers, such as Roti John.
“In several cases, it is not the owners who run the stall, but local or immigrant workers, who have no knowledge of food hygiene.”
Shaani said consumers should report to the ministry and share their complaints on social media platforms to prompt authorities to step up enforcement measures.
Malaysian Muslim Consumers Association chief activist Datuk Nadzim Johan said most Ramadan bazaar traders were unaware of proper food handling as they were likely involved in such businesses once a year in order to get additional income for Hari Raya Aidilfitri.
“Most of them are not exactly business savvy, nor do they have knowledge of food production.
“Some of the stalls are just like in the 1960s, where they use old plastics and worn-out containers.
“They have to move away from old and unhealthy practices. The authorities should come up with a comprehensive module for food businesses operating temporarily.”
On Sunday, 36 people fell ill after eating Roti John (meat sandwiches) from a Ramadan bazaar stall in Taman Seri Muda, Shah Alam. Tests revealed the presence of Salmonella bacteria.

2037) UTUSAN MALAYSIA 6/7/2014 - BISIK-BISIK AWANG SELAMAT



BISIK-BISIK AWANG SELAMAT


KPI judi haram
Apabila Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia mendedahkan secara mendalam isu mesin judi haram, ada beberapa pihak yang tidak senang, malah menuduh media ada agenda tertentu. Awang sekadar senyum. Memang banyak cabaran dalam melawan kemungkaran dan menegakkan kebenaran. Seperti biasa, media mudah dipersalahkan.

Agenda Utusan hanyalah menjaga kepentingan agama, awam dan negara. Kegiatan judi haram yang kebanyakannya berselindung di sebalik perniagaan kafe siber bukan sahaja menjadi ancaman sosial malah ancaman keselamatan.

Ia bukan sekadar soal kakitangan awam, pelajar dan pelbagai kategori lagi terjebak dengan judi malah sudah menjadi putaran ganas yang meruntuhkan sistem kehidupan. Ramai yang terperangkap dalam hutang sehingga ada yang menjual anak, isteri; merancakkan kegiatan kongsi gelap dan ah long; rasuah pelbagai agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT); serta rangkaian sindiket dan kartel yang makin berpengaruh.

Disebabkan kegagalan pihak berkuasa menangani isu tersebut yang sudah lama berlarutan sehingga mewujudkan ribuan premis mesin judi, tercetus rasa marah dan tidak puas hati terutama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Islam.

Malah sudah ada kebimbangan ahli militan dan ekstrem dikhuatiti menggunakan keganasan dengan menjadikan premis mesin judi haram yang melambak sebagai sasaran sebagaimana pernah dilakukan oleh Kumpulan Al Maunah ke atas pusat perjudian suatu ketika dahulu.

Lebih-lebih lagi berlegar sentimen bahawa kegiatan tersebut hanya mengkayakan lagi bilionair dan taikun yang mengaut keuntungan besar. Dalam 'industri' tersebut, sebahagian sudah tahu siapa jerung-jerung besar ini, begitu juga maklumat tentang senarai panjang mereka yang disogok. Rumusan yang boleh dibuat, gejala rasuah berkaitan kegiatan mesin judi haram begitu dahsyat sehingga ramai yang sinikal, ia tidak mungkin dapat dibanteras.

Sebab itu, Awang bersyukur apabila kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) responsif dengan menubuhkan pasukan petugas khas sebagaimana diumumkan oleh menterinya, Ahmad Zahid Hamidi. Ia bertujuan memerangi kegiatan mesin judi haram secara habis-habisan dengan melibatkan semua pihak berkenaan terutama PBT.

Dalam hal ini Awang hargai Zahid yang komited untuk melawan gejala tersebut. Keterbukaan beliau untuk menerima pandangan dan maklum balas semua pihak, turut menarik perhatian. Diakui pihak polis telah banyak menyerbu dan merampas tetapi itu belum memadai kerana banyak lagi yang perlu dilakukan. Apa pun, beban memerangi ancaman itu tidak harus terletak kepada pihak polis semata-mata seperti ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar. Awang setuju PBT juga perlu lebih efisien dan tegas. Janganlah hanya kelihatan berani merampas gerai penjaja tetapi tidak bertindak tegas ke atas premis mesin judi haram.

Sehingga malam semalam, masih banyak premis tersebut beroperasi tanpa gentar. Awang juga tidak ingat sama ada tauke-tauke judi haram ini didakwa di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Maka menjadi harapan orang ramai selepas ini untuk melihat tindakan dan hasil. Sistem petunjuk prestasi utama (KPI) perlu ditetapkan kepada Datuk Bandar, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran dan Ketua Polis Daerah. Jika mereka gagal mencapai KPI memerangi mesin judi haram, mereka harus dipertanggungjawabkan. Wakil-wakil rakyat juga perlu menjadi pendesak agar kawasan mereka bersih daripada gejala tersebut.

Dalam pada itu, beberapa aktivis NGO telah membentuk gerakan pemantauan sebagai tambahan apa yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Perlindungan Pengguna Islam Malaysia (PPPIM).

Mereka akan terus melakukan penyelidikan dan pemantauan bagi menilai sejauh mana usaha membanteras kegiatan mesin judi haram. Sama ada ia sekadar bermusim atau kosmetik semata-mata. Atau memang ia menampakkan impak bermulanya era baharu - persekitaran lebih selamat daripada aktiviti judi haram.

Denggi dan kempen
Antara hal yang menggangu fikiran Awang kebelakangan ini ialah kes demam denggi yang naik mendadak. Makin ramai pesakit dimasukkan ke hospital. Khabarnya di Klang sahaja, terdapat 250 kes sehari sehingga tidak cukup katil. Di beberapa hospital swasta, mereka yang disahkan menghidap denggi, terpaksa pulang untuk datang kemudian kerana tidak cukup bilik dan katil.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, bagi tempoh Januari hingga 28 Jun lalu, sebanyak 44, 518 kes denggi telah dilaporkan iaitu peningkatan lebih 200 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. Menakutkan. Apa pun Awang berharap penubuhan pasukan petugas khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak, dapat memberi impak dalam menangani kes denggi. Dalam pada itu, beberapa tinjauan orang ramai mendapati masyarakat masih tidak endah ancaman denggi. Agak menghairankan tahap kesedaran penduduk Malaysia masih rendah di sebalik pelbagai kempen membanteras nyamuk Aedes. Di mana silapnya? Mungkinkah kaedah kempen kurang berkesan dan masih cara lama selain isu kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan. Entahlah...

Bahasa ketiga?
Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan semakin diabaikan. Hari demi hari, boleh disaksikan pelbagai pihak tidak menghormatinya. Terbaharu, melibatkan majlis pecah tanah sebuah universiti, baru-baru ini.

Pada batu tanda majlis pecah tanah itu, tiada sepatah pun Bahasa Kebangsaan. Yang cuma ada Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Nampaknya pihak universiti berkenaan dan penganjur majlis tidak sensitif. Kalau tiada penggunaan bahasa Melayu dalam kurikulumnya, Awang boleh faham kerana ia universiti luar bertaraf antarabangsa. 

Persoalannya, tiada nilaikah Bahasa Kebangsaan pada acara seperti itu di tanah air ini. Kalau di banyak negara yang 
menjaga kedaulatan Bahasa Kebangsaan mereka terutama di China, Jepun, Korea, Perancis, Rusia, Jerman, Thailand, Indonesia dan Vietnam, keadaan tersebut tidak akan berlaku.

Apa yang Awang sebutkan ini hanya satu kes, banyak lagi insiden yang kita diamkan sahaja. Masalahnya, tiada pihak yang tampil menegur hal-hal pengabaian terhadap bahasa kita. Sayangnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak agresif, lebih berorientasikan administratif. Alasan yang selalu diberi, tiada cukup kuasa. Alangkah baiknya, jika DBP sekurang-kurangnya memantau dan mendedahkan kepada media secara berkala mana-mana pihak yang tidak menghormati Bahasa Kebangsaan. Jika tidak, kita semua mempermudahkan sahaja bahasa Melayu menjadi bahasa kedua dan mungkin ketiga di negara ini, sebagaimana yang diidamkan oleh pihak-pihak tertentu, yang kita semua tahu.

Senyumkan mereka
Ketika makin ramai bukan Melayu ghairah menulis dalam laman sosial mempersenda orang Islam dan Melayu kerana terikut rentak tentera siber pro DAP, Red Bean Army, ada segelintir mengambil pendekatan murni.

Seorang lelaki, Kuan Chee Heng menerusi laman facebook memulakan inisiatif membantu sekumpulan anak-anak miskin kalangan orang Islam membeli pakaian baharu bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Usaha beliau itu mendapat respons positif daripada kenalan orang Melayu mahupun Cina.
Awang menarik sedikit nafas lega. Di sebalik isu-isu kecurigaan antara kaum dan agama kebelakangan ini, masih ada harapan untuk menyuburkan lagi keharmonian dalam masyarakat majmuk melalui keprihatinan individu seperti beliau.

"Marilah kita membuatkan mereka tersenyum pada Hari Raya. Marilah kita menjadikan Hari Raya ini lebih bermakna buat mereka (anak-anak miskin) dan juga anda," antara ungkapan Chee Heng yang terasa damai di hati membacanya.

Dulu, sekarang...
Ketika mengunjungi bazar Ramadan di ibu negara baru-baru ini, orang ramai berpusu-pusu membeli juadah. Maklumlah, minggu pertama berpuasa. Lalu Awang dalam senyum terimbas suasana bulan Ramadan ketika kanak-kanak dan remaja.

Antara yang menarik ialah berbuka dengan pelbagai juadah dan makanan tanpa perlu ke bazar atau membeli makanan di luar. Rahsianya - jiran-jiran tetangga di tempat Awang membesar di Kampung Baru, bertukar-tukar juadah yang mereka masak dan sediakan sendiri pada setiap hari.

Suasana sudah jauh berubah. Nilai-nilai seperti muafakat kejiranan dan gotong-royong sudah lama terhakis dek pemodenan. Kalau dulu, kita boleh tahu apa yang jiran makan sewaktu berbuka dan begitu juga sebaliknya tetapi kini tiada lagi. Kini, ia sudah jadi urusan dan hal privasi masing-masing.

Dalam interaksi kumpulan WhatsApp, seorang teman memuatkan gambar lama kenangan suasana bulan Ramadan pada akhir 1960-an dan awal 1970-an.

Menurutnya, pada ketika itu, jarang orang memiliki peti ais. Jadi kalau mahu minum air berais kenalah beli ais ketul. Harganya cuma 10 sen. Yang menariknya, ramai beratur pada waktu petang untuk beli ais ketul, lambat pergi - habis.

Kemudian salah seorang teman lain dalam reaksinya menulis: "Aku masih ingat pengalaman dulu-dulu, beratur nak beli ais. Ais ketul ni penuh dengan serdak habuk kayu papan. Nostalgia betul ...Allah SWT telah permudahkan hidup ini. Alhamdulillah.''


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140706/re_04/BISIK-BISIK-AWANG-SELAMAT#ixzz36k6lSBOQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, July 4, 2014

2036)BERITA HARIAN 4/7/2014 - Tindakan tegas bufet Ramadan tanpa sijil halal



Headline: Tindakan tegas bufet Ramadan tanpa sijil halal
Publication: BH
Date of publication: Jul 4, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 039
Byline / Author: Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Setiap kali menjelang bulan Ramadan antara isu utama yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan umat Islam negara ini ialah harga bufet Ramadan yang terlalu mahal dan kedegilan beberapa hotel yang terus menawarkan bufet Ramadan walaupun tidak mempunyai sijil halal. Tahun ini harga bufet Ramadan dilihat kekal seperti tahun lalu iaitu antara RM80 hingga RM140 bagi orang dewasa dan RM30 hingga RM49 untuk kanak-kanak.

Secara logiknya harga seumpama ini langsung tidak masuk akal. Sikap sesetengah pengusaha hotel yang mengambil kesempatan pada bulan Ramadan untuk mengaut keuntungan melampau cukup dikesali. Seperti kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, pihak hotel tidak memahami falsafah Ramadan iaitu bulan berjimat-cermat.

Apa salahnya menawarkan harga munasabah? Keuntungan yang sama tetap boleh diraih, meningkatkan jumlah pelanggan yang datang. Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa mengeluarkan garis panduan bagi menetapkan harga siling bufet Ramadan agar pihak hotel tidak mengambil kesempatan dan meletakkan harga bufet sesuka hati.

Selaras harga bufet Ramadan

Biarlah harga bufet Ramadan diselaraskan hotel yang berhasrat untuk menawarkannya. Dengan ini pengguna boleh pilih hotel yang mereka gemari tanpa perlu memikirkan kadar harga.

Begitu juga halnya dengan isu hotel yang menawarkan bufet tetapi tidak memiliki sijil halal. Ini juga bukanlah isu baharu di negara kita. Pendedahan demi pendedahan oleh pihak berkuasa membuktikan masih ramai pengusaha dan pengeluar makanan menyalahgunakan logo halal mahupun tidak memiliki sijil halal. Akibatnya pengguna terutama umat Islam terus menjadi mangsa penipuan pengusaha yang tamak, degil dan tidak bertanggungjawab.

Dalam hal penawaran bufet Ramadan ini pengusaha hotel perlu lebih bertanggungjawab dan memahami sensitiviti umat Islam. Hakikatnya, walau apapun agama pengusaha hotel seperti ini apakah mereka tidak tahu dan sukar untuk memahami sensitiviti, perasaan dan kehendak umat Islam negara kita? Kita tidak perlu menjadi penganut agama Islam untuk menghormati agama tersebut tetapi cukuplah jika tahu untuk menghormatinya. Kenapa mereka melakukan hal seperti ini yang jelas salah dan tidak beretika? Perbuatan seperti ini juga wajar dilabel sebagai mencemarkan imej dan menjejaskan nama baik agama Islam. Isu halal dan haram terutama dalam aspek pemakanan tidak boleh dipandang enteng dan tidak dipedulikan kerana ia membabitkan soal pembentukan darah daging kita terutama umat Islam.

Justeru, kita merayu kepada pihak kerajaan mengetatkan lagi aspek pemantauan dan penguatkuasaan supaya pengusaha hotel yang masih degil diambil tindakan setimpal dan paling tegas sebagai proses pengajaran kepada pengusaha lain yang masih degil.

Boleh dikenakan tindakan

Mengikut peraturan, premis makanan yang tiada sijil halal tetapi menawarkan bufet Ramadan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan. Mengikut Akta perihal Dagangan, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2001, pemilik perniagaan itu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta bagi pertubuhan perbadanan dan denda maksimum RM1 juta bagi individu. Pesalah juga boleh disabitkan kesalahan mengikut Perakuan dan Penandaan Halal akta yang sama, denda maksimum RM200,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala denda maksimum RM100,000 bagi individu.

Jika perlu undang-undang dan akta dipinda supaya hukuman yang sedia ada dapat dipinda dan ditambah jika perlu agar memberi pengajaran kepada pihak yang masih memandang rendah kepada soal seperti ini. Malah, jika perlu sebagai langkah serta-merta kita harap kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi kuasa kepada JAKIM atau pihak lain yang bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menarik balik atau membatalkan lesen operasi mereka. Kita perlu tunjuk keseriusan dan ketegasan agar pihak yang tidak bertanggungjawab tidak mengulangi kesilapan.

Sebagai pengguna buatlah pilihan yang bijak dan rasional. Jangan terlalu mengikut nafsu hingga lalai dan leka dengan soal halal dan haram dalam aspek pemakanan kita. Kesimpulannya, pengguna perlu bijak membuat pilihan di samping mengharapkan peranan pihak berkuasa terutama dari aspek pemantauan dan pemeriksaan yang kerap dan mengejut di samping hukuman berat dilihat antara cara terbaik untuk menangani isu ini. Semua pihak juga perlu berganding bahu dan bertindak segera demi menyelamatkan umat Islam negara ini daripada terus ditipu oleh premis yang memaparkan logo halal tetapi sebaliknya tidak atau meragukan. Makanan adalah keperluan asas dan kebiasaannya sudah menjadi amalan umat Islam negara ini untuk berbuka puasa dan menjamu selera di hotel sepanjang bulan Ramadan seperti ini.

* Penulis ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.


2035) UTUSAN MALAYSIA 4/7/2014 - PBT jangan lepas tangan - PPIM




PBT jangan lepas tangan - PPIM

KUALA LUMPUR 3 Julai - Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana premis yang menjalankan perniagaan mesin judi haram agar kegiatan itu dapat diperangi secara menyeluruh.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai contoh, jika PBT mempunyai undang-undang bagi kesalahan seperti mengubah suai kediaman, mereka juga boleh mengambil tindakan ke atas peniaga yang menjalankan kegiatan haram.

"Kesemua pengusaha ini mempunyai lesen perniagaan, jika tidak bagaimana mereka boleh beroperasi. Jadi, mengapa tiada sebarang tindakan undang-undang daripada PBT. Jangan lepaskan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka begitu sahaja. Ambil tindakan sewajarnya jika premis-premis ini menjalankan kegiatan haram yang dilihat semakin merosakkan masyarakat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan kegiatan judi haram yang semakin berleluasa dengan hampir semua daerah mempunyai premis mesin judi dan setiap satu premis mempunyai tidak kurang 30 buah mesin.

Bagaimanapun, pendedahan yang dilakukan sejak Ahad lalu mengenai ancaman mesin judi haram itu seperti tidak mendatangkan sebarang kesan apabila pengusaha kegiatan haram itu didapati terus beroperasi seperti biasa seolah-olah kebal dan tidak mampu dihalang lagi.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, tanggungjawab membanteras gejala mesin judi haram yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini perlu melibatkan kerjasama semua pihak agar kegiatan itu dapat diperangi secara menyeluruh.

Katanya, PPIM mengakui adalah menjadi tanggungjawab agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan tersebut, tetapi masyarakat juga perlu melihat isu ini secara individu.

"Masyarakat seperti ibu bapa dan persatuan penduduk perlu memainkan peranan dalam memastikan gejala ketagih bermain mesin judi yang semakin menular dalam kalangan masyarakat dapat dibendung.

"Sudah tiba masanya masyarakat menjalankan tanggungjawab bersama dengan agensi penguat kuasa dan kita percaya dengan kerjasama ini dapat membantu menyelesaikan kegiatan ini," katanya.

Thursday, July 3, 2014

2034) METRO 1/07/2014- SSM mahu temui graduan mangsa tipu




SSM mahu temui graduan mangsa tipu

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengadakan pertemuan dengan mangsa penipuan licik sebuah syarikat berselindung di sebalik urus niaga mata wang asing (forex) yang memperdaya graduan tempatan dalam masa terdekat.
Ia susulan pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai wujud syarikat yang menawarkan jawatan eksekutif kepada lepasan universiti, namun ‘membelit’ mereka dengan menawarkan skim pelaburan sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, beliau mengarahkan pegawainya menyiasat dengan lebih lanjut kemungkinan syarikat berkenaan melakukan kesalahan di bawah SSM dan akan mengambil tindakan susulan.
Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima aduan rasmi berhubung perkara itu, namun memberi jaminan membantu sekiranya ada perkara membabitkan bidang kuasa SSM.

“Kami akan lihat perkara ini. Jika ada yang boleh dibantu, kami akan bantu. Bagaimanapun, kami nasihatkan orang ramai berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana syarikat bagi mengelakkan masalah,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan di pejabatnya, semalam.

Muka depan akhbar ini 20 Mei lalu melaporkan lapan graduan kerugian RM1 juta selepas menyertai skim pelaburan ditawarkan syarikat tempat mereka bekerja, di ibu negara.
Mereka melapor diri sebagai pekerja dikejutkan dengan skop tugas mencari pelanggan yang mahu menyertai satu skim pelaburan dijanjikan tawaran jutaan ringgit.

Akibatnya, mereka kini menanggung hutang daripada saudara-mara yang melabur serta pada masa sama terpaksa mencari kerja lain untuk memulakan hidup baru.
Sementara itu, Nadzim berkata, selain SSM, setakat ini aduan berkenaan dirujuk kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Bank Negara untuk siasatan lanjut.

“Kami juga merujuk kes itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk siasatan lanjut dan menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dengan tawaran meragukan. Harapan PPIM agar ia menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

2033)BERITA HARIAN 3/07/2014 - Ole-ole Ramadan citarasa tempatan di De Palma Hotel



Headline: Ole-ole Ramadan citarasa tempatan di De Palma Hotel
Publication: BH
Date of publication: Jul 3, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 027

Ketibaan Ramadan menjadi masa terbaik untuk meningkatkan amal ibadat di samping mengeratkan hubungan bersama keluarga, saudara mara dan sahabat handai.

Pada bulan ini juga, kita berpeluang menikmati pelbagai hidangan dan ada antaranya tidak ditemui pada hari biasa.

Bagi yang ingin menikmati hidangan berbuka puasa di luar, Hotel De Palma Ampang menyediakan pelbagai sajian enak yang pastiselera pengunjungnya.

Bertemakan "Ole Ole Ramadan -Citrarasa Malaysia" hidangan istimewa ini dibawa khas oleh dua chef hotel ini iaitu Chef Azri Abdul Manaf dan Chef Hamzani Che Husain.

Masakan selera kampung

De Palma yang sangat terkenal sebagai penyedia sajian halal menyediakan masakan selera kampung seperti siput sedut masak lemak cili api, nasi beriani De Palma bersama kismis dan gajus, kuzi daging tetel berkentang, kari kepala ikan bersama bendi dan terung, sambal udang galah petai, masak lemak jantung pisang, ulam kampung bersama sambal belacan, tempoyak, serta tidak dilupakan ayam goreng Pak Zani dan pengunjung mesti mencuba ayam barbekue.

Sudut Citrarasa sup kawah berempah menyediakan pelbagai pilihan sup daripada daging lembu, kambing, perut, isi ayam, hati ayam, kaki ayam, tulang tunjang dan banyak lagi.

Jangan lepaskan peluang menikmati hidangan laksa di sudut citrarasa anika laksa. Nikmatilah asam laksa, laksa Johor, nyonya kari laksa yang turut disediakan bersama ulam.

Turut disediakan chinese lok-lok, yong tau fu, bun ayam barbekue, char kuey teow, rojak mamak, roti canai bersama kuah kari.

Tidak ketinggalan kambing panggang dan gerai gorengan Kak Yah.

De Palma Hotel Ampang menawarkan bufet untuk berbuka puasa ini pada kadar berpatutan iaitu RM89 untuk dewasa dan RM45 bagi kanak kanak.

Sajian bufet Ramadan disediakan di semua rangkaian De Palma iaitu Hotel De Palma Ampang, Hotel De Palma Shah Alam, Hotel De Palma Kuala Selangor dam Palma Café SACC, Shah Alam.

Hotel De Palma Ampang menyediakan pakej istimewa bagi kepada pelanggan yang ingin menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim di hotel itu.

Sepanjang Ramadan, hotel ini menyediakan kadar bilik pada harga istimewa termasuk pada 10 hari terakhir Ramadan bagi mereka yang ingin melakukan Qiamullail.

Bubur lambuk juga disediakan dan sekiranya anda ingin membuat tempahan bubur lambuk untuk disedekahkan kepada masjid atau rumah kebajikan.

Anugerah PPIM surau terbaik

Sebagai kemudahan untuk beribadat, hotel ini menyediakan surau dikenali sebagai "Surau Jumaat Nurul Hikmah", yang dianugerahkan sebagai surau Terbaik Industri Perhotelan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dengan imam tetap yang akan mengimamkan solat fardu dan solat tarawih bersama imam jemputan dari Asia Barat.

Surau ini juga mengendalikan solat Jumaat dan menjadi hotel pertama menyediakan kemudahan itu.

Kumpulan Hotel De Palma adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan diuruskan oleh Biztel Sdn Bhd.

Maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dengan menghubungi talian 03-42707070 sambungan 1515/1516 untuk tempahan.

INFO

Harga bufet Ramadan / seorang . RM89.00 untuk dewasa . RM45.00 untuk kanak-kanak


Tuesday, July 1, 2014

2032) RAKYATNEWS - Elak Buka Puasa di Premis Tiada Sijil Halal - PPIM

Elak Buka Puasa di Premis Tiada Sijil Halal - PPIM

KUALA LUMPUR 27 Jun - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini meminta supaya semua pengguna khususnya dari jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan juga badan-badan swasta agar tidak mengadakan majlis berbuka puasa di hotel-hotel yang tidak dapat dipastikan status pensijilan halalnya.

Menurut Ketua Biro Penyiasatan dan Pembangunan Insan PPIM Sheikh Abd Kareem S. Khadaied, jika ada pengguna yang ingkar dengan saranan yang telah diberikan itu maka ia menunjukkan seolah-olah golongan tersebut setuju dengan tindakan pihak pengurusan hotel yang gagal mendapatkan sijil halal dari Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

"Jika mereka pergi ke hotel-hotel yang tiada pensijilan halal, ini bermakna mereka menyokong perbuatan tersebut yang mengatakan bahawa status halal itu adalah tidak penting.

"Malah, para pengusaha hotel dan restoran yang tidak mempunyai sijil halal ini juga menjadi semakin tidak menghormati para pengguna Islam, khususnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PPIM, Villa Puteri, Jalan Tun Ismail di sini hari ini.

Jelas Abd Kareem, PPIM turut meminta agar agensi-agensi yang terlibat untuk mengenakan tindakan terhadap pengusaha hotel dan restoran yang gagal medapatkan pensijilan halal dari JAKIM namun masih tegar membuat promosi buffet menjelang Ramadhan ini.

"Dari sudut pengguna, kita ingin melihat tindakan kuatkuasa oleh agensi-agensi berkaitan kerana perkara ini telah melanggar undang-undang secara terang-terangan.

"Mereka (pengusaha hotel dan restoran) telahpun membuat pelbagai iklan dan promosi, sedangkan mereka tidak mempunyai pensijilan halal yang sah," ujarnya.

Tambah beliau, pengusaha hotel dan restoran yang menawarkan perkhidmatan buffet sempena Ramadhan sepatutnya bersikap lebih menghormati pengguna Islam dan perkara tersebut haruslah ditangani tanpa menyentuh sensitiviti perkauman dan juga keagamaan.  

2031) UTUSAN MALAYSIA 25/06/2014 - Guna produk elektrik jimat tenaga



Guna produk elektrik jimat tenaga

KUALA LUMPUR 25 Jun - Masyarakat disaran menggunakan produk elektrik jimat tenaga di samping mengubah gaya hidup bagi mengelakkan peningkatan penggunaan tenaga itu secara mendadak berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, selain mengamalkan budaya penjimatan, mereka juga perlu mengambil kira konsep kecekapan penggunaan tenaga elektrik.

"Penjimatan tenaga boleh dilakukan dengan mematikan peralatan elektrik apabila tidak menggunakannya. Aspek kecekapan tenaga pula ialah menggunakan produk yang tidak memerlukan tenaga tenaga elektrik yang banyak dalam operasinya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Omar Sidek memberitahu, suhu atmosfera yang tinggi akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik terutama penggunaan pendingin hawa dan kipas secara ekstrem di kilang-kilang, premis perniagaan serta kawasan kediaman.

Sementara itu, Nadzim mengingatkan para pengguna agar menggantikan pendingin hawa yang berusia lebih 10 tahun kerana penggunaan elektrik oleh unit-unit tersebut tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.

2030) UTUSAN MALAYSIA 27/06/2014 - Status halal: Bufet Ramadan hotel, restoran diragui


Status halal: Bufet Ramadan hotel, restoran diragui

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pelbagai pakej bufet ditawarkan oleh hotel-hotel dan restoran di seluruh negara menjelang Ramadan mencetuskan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai status halal makanan disediakan di premis-premis berkenaan.

Ketua Biro Penyiasatan dan Pembangunan Insan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied berkata, pihaknya mendapat banyak aduan penggunaan mengenai status halal pakej berbuka yang ditawarkan.

Katanya, walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun lalu menggariskan peraturan bahawa premis atau restoran yang tidak mempunyai sijil halal tidak dibenar menawarkan pakej bufet Ramadan serta menggunakan perkataan halal dalam promosi mereka.

"Siasatan PPIM mendapati ada antara hotel dan pengusaha restoran tidak mempunyai sijil halal yang diperakui tetapi masih menawarkan pakej bufet Ramadan.

"Kami memandang serius isu ini dan menggesa agensi terlibat seperti Jakim dan KPDNKK segera bertindak menerusi pemantauan dan penguatkuasaan lebih tegas," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pelbagai pakej dan tawaran berbuka puasa ditawarkan oleh hotel dan restoran seluruh negara menjelang Ramadan ini dengan status halal premis berkenaan dipersoalkan pengguna kerana terdapat antara mereka tidak mempunyai sijil halal.

Sementara itu, Sheikh Abd. Kareem berkata, PPIM menasihatkan pengguna terutama jabatan kerajaan, syarikat korporat dan lain-lain untuk tidak mengunjungi hotel dan restoran yang tidak mempunyai sijil halal yang diperakui.
"Tindakan mengadakan majlis berbuka puasa di hotel atau restoran yang tidak mempunyai persijilan halal seolah-olah menggalakkan mereka dari terus mempersendakan agama serta tidak menghormati hak pengguna." katanya.

2029) UTUSAN MALAYSIA 27/06/2014 - Bertindak segera kawal penjualan arak


KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan digesa mengambil tindakan segera mengawal penjualan minuman keras yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya percaya penjualan minuman keras tanpa kawalan merupakan penyumbang utama kepada kejadian jenayah terutama membabitkan generasi muda.

"Pihak kami menerima banyak aduan berhubung perkara ini. Penjualan minuman keras di negara ini berada pada tahap membimbangkan dan dijual tanpa kawalan serta pemantauan oleh pihak berwajib.

"Perkara ini perlu dibendung segera kerana mengundang kepada kegiatan jenayah seperti rogol, pecah rumah dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Apa yang lebih membimbangkan kata Nadzim, minuman keras kini amat mudah diperoleh kerana turut dijual di kedai serbaneka, kedai runcit dan sebagainya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu melakukan pemantauan secara serius berikutan tiada had umur ditetapkan kepada pembeli.

"Jika rokok mempunyai had umur penjualannya, minuman keras pula sebaliknya.

"Kanak-kanak bebas untuk membeli minuman keras di kedai serbaneka atau kedai runcit kerana tiada peraturan larangan pembelian dikuatkuasakan. Hal ini akan memberi kesan buruk kepada generasi muda negara kita," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140628/dn_26/Bertindak-segera-kawal-penjualan-arak#ixzz36BCJfnwc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL