Showing posts with label MDEC. Show all posts
Showing posts with label MDEC. Show all posts

Wednesday, May 10, 2017

3699) Anugerah sebagai platform lonjakkan industri makanan halal - Utusan Online - 9/5/2017

KUALA LUMPUR 8 Mei – Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd. yang pertama kali menyertai majlis anugerah perniagaan sepanjang 12 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan menyifatkan Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam–Utusan 2017 sebagai satu platform bagi melonjakkan lagi industri makanan halal di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd., Dr. Mohamad Zainol Ahmad Haja berkata, sebagai sebuah syarikat yang membekalkan produk makanan halal bagi pasaran tempatan dan eksport, Anugerah Produk Pengguna Terbaik yang diraih membantu menguatkan lagi kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk yang dihasilkan.
“Ia bersesuaian dengan perniagaan kami yang memasarkan produk makanan halal ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd merangkul Anugerah Produk Pengguna Terbaik pada Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan anjuran Bank Islam Malaysia Bhd. dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya, Kumpulan Utusan, SME Corp. dan Visa Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada PKS patuh syariah dalam lapan kategori yang dipertandingkan.
Ia dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Tambah Mohamad Zainol, pihaknya menyertai anugerah berkenaan selepas tertarik dengan konsep yang diketengahkan anugerah ini yang menekankan elemen patuh syariah dalam kalangan PKS yang bertanding.
Katanya, kebanyakan anugerah perniagaan yang dianjurkan sebelum ini lebih kepada menghargai jenama dan perniagaan malah ia merupakan anugerah pertama seumpamanya yang disertai oleh Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd.
“Sebelum ini kami banyak menerima jemputan bagi pencalonan anugerah perniagaan, namun ini kali pertama kami bercadang menyertainya dan Alhamdulillah berjaya dinobatkan sebagai satu daripada pemenang kategori yang dipertandingkan,” katanya.

Tuesday, May 9, 2017

3696) Kepuasan pelanggan kunci kejayaan Batuta Travel & Tours - Utusan Online - 08/05/2017

KUALA LUMPUR 8 Mei – Kepuasan dan keselesaan pelanggan yang mengikuti lawatan adalah kunci utama kepada kejayaan Batuta Travel & Tours Sdn. Bhd. berjaya membawa pulang Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017.
Pengurus Jualan Tiket Batuta Travel & Tours, Dr. Mat Deris Mahmood berkata, syarikat yang mengelola pakej haji dan umrah tersebut amat mementingkan perkhidmatan semasa serta selepas jualan yang terbaik dalam melayani permintaan pelanggan.
Katanya, perkara berkenaan dapat dilihat apabila Batuta Travel & Tours dapat bertahan selama 30 tahun sehingga hari ini walaupun tidak memberi fokus kepada aktiviti pemasaran yang agresif.
“Kami yakin dengan perkhidmatan yang kami tawarkan sememangnya memenuhi kepuasan pelanggan sehingga mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja pelanggan dari Kota Bharu, malah dari negeri-negeri lain.
“Kami juga sungguh teruja diberi pengiktirafan dalam anugerah yang berprestij ini yang ternyata memberi semangat kepada kami untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Batuta Travel & Tours yang berpangkalan di Kota Bharu menerima Anugerah Pulangan Ekuiti Terbaik bagi kategori Perkhidmatan Hospitaliti Terbaik dalam Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang dianjurkan baru-baru ini.
Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan anjuran Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya, Kumpulan Utusan, SME Corp. dan Visa Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada PKS patuh shariah dalam lapan kategori yang dipertandingkan.
Ia dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Tambah Mat Deris, Batuta Travel & Tours sedang giat merencana strategi baharu mengembangkan perniagaan dan bakal memperkenalkan pakej pelancongan Muslim ke luar negara selain memperkukuhkan pakej haji dan umrah sedia ada.
Katanya, antara negara yang menjadi tumpuan bagi pakej pelancongan baharu Batuta Travel & Tours adalah ke China dan negara-negara ASEAN seperti Vietnam dan Kemboja.
“Permintaan bagi mengadakan pakej ke negara-negara berkenaan sangat tinggi dan kami merasakan peluang perniagaan ke sana sungguh luas.
“Kami juga sedang merancang untuk sebuah menambah cawangan baharu syarikat setelah mempunyai cawa­ngan di Kuala Lumpur dan Ipoh ketika ini serta wakil jualan di Perlis, Johor, Melaka dan Terengganu,” katanya.

3695) Print Expert mahu terajui pasaran percetakan - Utusan Online - 8/5/2017

KUALA LUMPUR 8 Mei – Syarikat percetakan, Print Expert Sdn. Bhd. mahu menjadikan kemenangan di Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 sebagai batu loncatan untuk terus berkembang dan mengungguli pasaran percetakan dalam serta luar negara.
Pengarah Urusan Print Expert, Ahmad Ruzaini Mohamed berkata, kejayaan dalam anugerah berkenaan merupakan pencapaian bermakna buat syarikatnya lebih-lebih lagi bulan ini menandakan genap lima tahun sejak Print Expert ditubuhkan pada 2012.
Katanya, konsistensi yang ditunjukkan oleh Print Expert adalah kunci kejayaan utama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkenaan berkembang dengan pesat.
“Print Expert sangat bertuah kerana mempunyai barisan pekerja berdedikasi yang menjadi tulang belakang sehingga berjaya merekodkan pertumbuhan 100 peratus setiap tahun sejak 2012.
“Anugerah yang diterima ini diharap dapat merealisasikan impian kami dalam merevolusikan industri percetakan sekali gus mendominasi pasaran dalam dan luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Print Expert berjaya meraih Anugerah Pertumbuhan Terbaik bagi kategori Produk Pengguna Terbaik dalam Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang diadakan baru-baru ini.
Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan anjuran Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya, Kumpulan Utusan, SME Corp. dan Visa Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada PKS patuh syariah dalam lapan kategori yang dipertandingkan.
Ia dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Mengulas lanjut, Ahmad Ruzaini berkata, usaha Bank Islam dan Utusan bersama rakan strategik lain menganjurkan anugerah berprestij bagi mengiktiraf pencapaian PKS sememangnya wajar dipuji dan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.
“Anugerah seperti ini lebih-lebih lagi yang dianjurkan oleh syarikat korporat besar seperti Bank Islam dan Kumpulan Utusan dapat mencetus semangat kepada kami sebagai PKS untuk berlumba-lumba bekerja dengan lebih keras.
“Penganjuran anugerah juga dapat menarik minat golongan belia untuk terlibat dalam bidang perniagaan terutamanya perniagaan dalam talian yang akan menjadi nadi penting kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Monday, May 8, 2017

3694) Malam Gala Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 - PPIM - 7/5/2017


PPIM-7 Mei 2017– Buat julung kalinya, Bank Islam Malaysia Bhd, mengadakan satu Majlis Anugerah PKS Patuh Shariah Bank Islam-Utusan bagi golongan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS).
Tujuan Majlis dijalankan ini adalah untuk memberi penghargaan kepada PKS yang mematuhi syariah dan menjadikan mereka sebagai contoh kepada pengusaha-pengusaha PKS yang lain. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan beberapa lagi pihak seperti SME Corp., Deloitte Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dipertanggungjawabkan untuk menjadi panel hakim dalam pemilihan dan penilaian peserta anugerah tersebut.
Majlis yang dijalankan di KLCC itu disambut baik oleh pengusaha-pengusaha terutamanya PKS. Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat mengatakan bahawa sepanjang tahun 2016, Bank Islam meluluskan pembiayaan berjumlah RM536 juta kepada PKS, manakala sejak Januari 2017 sehingga Mac 2017, sebanyak RM141 juta lagi telah diluluskan.
“Angka menggambarkan sokongan kami terhadap usaha kerajaan menjadikan PKS sebagai tunggak ekonomi Malaysia” katanya lagi. Ini menunjukkkan bahawa Bank Islam sememangnya sedang berusaha untuk membantu pengusaha-pengusaha Kecil dan sederhana (PKS) tanpa mengira kaum ataupun agama.
Terdapat 8 kategori yang dibahagikan kepada PKS iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital Terbaik, yang dimenangi oleh Syarikat Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd. Anugerah PKS Baharu Terbaik dimenangi oleh MM Matrix Integrity (M) Sdn Bhd. Anugerah Perkhidmatan Hospitaliti Terbaik dimenangi oleh Batuta Travel & Tours Sdn Bhd. Untuk Anugerah Produk Pengguna Terbaik pula mempunyai 2 pemenang iaitu Print Expert Sdn Bhd bagi pertumbuhan terbaik dan Mumtaz Meat & Marine Food Sdn Bhd, pula bagi pulangan ekuiti terbaik. Anugerah Produk Pertanian Terbaik dimenangi oleh Biovista Lifesciences Sdn. Bhd. dan Anugerah Pembangunan Komuniti dan Sosial Terbaik dimenangi oleh IX Telecom Sdn Bhd. Namun, bagi Anugerah Perkhidmatan Pengangkutan dan Lojistik Terbaik pula tiada pencalonan.
Turut hadir ke majlis ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd Hassan Mohd Noor, Pengerusi SME Corp., Tan Sri Ir. Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.
Program seperti ini adalah salah satu cara dan usaha yang bermanfaat untuk memberi semangat kepada PKS untuk terus maju dalam bidang yang diceburi. PPIM berharap agar program-program seperti ini dapat menjadi contoh kepada kepada syarikat-syarikat lain dalam memajukan ekonomi Malaysia.
WhatsApp Image 2017-05-08 at 10.49.24 AM WhatsApp Image 2017-05-08 at 10.49.25 AM

3694) Anugerah Bank Islam-Utusan jadi penanda aras - Utusan Online - 7/5/2017

KUALA LUMPUR 7 Mei - Anugerah Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS Patuh Syariah Bank Islam – Utusan yang julung-julung kalinya diadakan, menjadi penanda aras, inspirasi dan contoh amalan terbaik kepada semua PKS di negara ini.
Menurut Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat, anugerah itu yang pertama seumpamanya di negara ini, juga merupakan platform utama bagi PKS patuh syariah untuk menanda aras dan membangunkan jenama produk serta perkhidmatan mereka dalam menerokai bahagian pasaran yang lebih meluas.
Beliau berkata, menurut Laporan Tahunan PKS 2015/2016, industri berkenaan menyumbang sebanyak 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi tunggak pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara.
Malah katanya, di dalam Bajet 2017, kerajaan telah menyatakan kepentingan PKS dengan memberikan peruntukan berjumlah RM6.7 bilion untuk menjana pertumbuhannya.
“Melalui penekanan terhadap kepentingan dan sumbangan PKS kepada ekonomi negara, Bank Islam mengorak langkah dalam memperkenalkan anugerah khusus buat PKS dari sudut patuh syariah sebagai wadah untuk me­nyumbang kepada kemajuan sistem perbankan Islam dan menunaikan tanggungjawab untuk memacu pembangunan ekonomi negara.
“Bank Islam amat berbesar hati kerana dapat menzahirkan maj­lis penganugerahan patuh syariah ini, hasil kolaborasi simbiotik pihak bank dengan akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang ulung iaitu Utusan Malaysia, SME Corp. Malaysia, Agensi Penyelaras Pusat berhubung PKS dan Visa Malaysia.
“Pengenalan anugerah ini juga diharap akan dapat menjadi pemangkin untuk PKS supaya kekal berdaya saing dan berdaya tahan dalam menempuh keadaan ekonomi yang makin mencabar,” katanya semasa berucap pada Malam Gala Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pengerusi SME Corp., Tan Sri Ir. Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.
Sebanyak lapan ka­tegori anugerah telah di­sampaikan pada majlis tersebut. Anugerah berkenaan menerima 48 penyertaan dan dinilai oleh panel hakim terdiri daripada profesional dan peneraju industri sejak penyertaannya ditutup pada 10 April lalu.
Antara panel hakim ialah SME Corp., Deloitte Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malaysia Digital Eco­nomy Corporation (MDEC).
Menurut Zukri, sebagai institusi perbankan Islam perintis, Bank Islam sentiasa memperjuangkan perbankan patuh syariah untuk semua lapisan ma-syarakat, tidak kira bangsa atau agama selaras de­ngan misi utama­nya untuk terus membangun dan memperbaharui penyelesaian kewangan yang diterima sejagat sejajar dengan prinsip syariah.
“Dalam konteks ini, penyelesaian kewangan kami merangkumi aspek yang menyeluruh dalam memperluaskan jangkauan rangkuman kewangan, maka PKS tidak terkecuali. Ianya adalah langkah sokongan Bank Islam untuk membantu merealisasikan hasrat kerajaan agar PKS menyumbang lebih 40 peratus dalam KDNK, 62 peratus daripada guna tenaga dan 25 peratus daripada jumlah eks­port sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk PKS 2012-2020,” katanya.
20170507 - Utusan Online - Perbankkan - Anugerah Bank Islam-Utusan jadi penanda aras

3695) Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 - Utusan Online - 5/5/2017

KUALA LUMPUR 5 Mei – Malam Gala Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam – Utusan 2017 anjuran Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya, Kumpulan Utusan, SME Corp. dan Visa Malaysia bakal menyaksikan lapan kategori anugerah diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) patuh syariah.

Zukri Samat
Majlis penganugerahan patuh syariah berprestij buat kali pertama diadakan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok.
Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, penganugerahan adalah untuk memperluaskan rangkuman kewangan Bank Islam melalui produk dan perkhidmatannya untuk turut meliputi PKS dari seluruh negara, selain memberi pengiktirafan ke atas pencapaian cemerlang PKS tempatan.
Katanya, Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan yang pertama seumpamanya bagi mengiktiraf daya usaha PKS untuk menjadi yang terbaik dalam lapan kategori anugerah yang ditawarkan iaitu Anugerah Perdana; Anugerah PKS Baharu Terbaik; Anugerah Perkhidmatan Hospitaliti Terbaik; Anugerah Perkhidmatan Pengangkutan dan Lojistik Terbaik; Anugerah Produk Pengguna Terbaik; Anugerah Produk Pertanian Terbaik; Anugerah Pemasaran Digital Terbaik; dan Anugerah Pembangunan Komuniti dan Sosial Terbaik.
“Anugerah yang pertama seumpamanya di Malaysia ini adalah hasil kolaborasi simbiotik pihak bank dengan Utusan Malaysia, sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu terulung, SME Corp. sebagai agensi penyelaras pusat PKS dan Visa Malaysia.
“Ia juga akan bertindak sebagai platform utama buat PKS patuh syariah dalam usaha menanda aras dan membangunkan jenama produk serta perkhidmatan mereka dalam menerokai bahagian pasaran yang lebih meluas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam–Utusan 2017 dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Katanya, sebanyak 48 penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup penyertaan pada 10 April 2017 yang lalu.
“Daripada jumlah tersebut, pemenang dipilih untuk memenangi anugerah dalam lapan kategori yang dipertandingkan setelah dinilai dan dihalusi berdasarkan kriteria pemarkahan yang ketat.
Bank Islam merupakan anak syarikat kepada BIMB Holdings Bhd. dan ditubuhkan pada 1983 sebagai Bank Islam pertama di Malaysia.
Sehingga kini, bank tersebut mempunyai 145 cawangan dan lebih daripada 1200 terminal layan diri di seluruh negara serta menawarkan lebih daripada 70 produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan Syariah untuk memenuhi keperluan orang Islam dan bukan Islam.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL