Showing posts with label KR1M. Show all posts
Showing posts with label KR1M. Show all posts

Wednesday, February 7, 2018

4350) KR1M 2.0 NAFAS BAHARU BANTU RAKYAT MALAYSIA – KOSMO – 7/2/18


KOSMO ( KR1M 2.0 nafas baharu bantu rakyat malaysia ) 7.2.18

Hanya beberapa barangan seperti beras, roti, sabun pencuci pakaian, sayur serta sedikit barang keperluan lain dibeli penulis ketika mengunjungi sebuah pasar raya besar hujung minggu lalu tetapi jumlah yang perlu dibayar sudah mencecah lebih RM100.
Itu merupakan realiti yang ditempuhi penulis dan begitu juga kebanyakan rakyat di negara ini ketika ini. Justeru pelancaran semula Kedai Rakyat Malaysia (KRIM) 2.0 baru-baru ini sememangnya berita baik yang sangat dinanti-nantikan.
Adalah menjadi harapan rakyat, dengan adanya KRIM 2.0, masalah kos sara hidup dapat dikurangkan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengilhamkan penubuhan KRIM pada tahun 2011.
Kerajaan terpaksa menamatkan kontrak syarikat yang mengendalikan KRIM sebelum ini ekoran beberapa masalah selain didakwa menjual produk pada harga lebih tinggi daripada pasaran. Ia sekali gus gagal mencapai matlamat untuk membantu mengurangkan beban rakyat.
KRIM 2.0 menggunakan pendekatan berbeza apabila ia melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar.
Menerusi kerjasama tersebut, operasi perniagaan dikendalikan pemilik dan penjenamaan bersama.
Setakat ini ia dikendalikan oleh dua buah syarikat peruncitan iaitu Tunas Manja Group (TMG) dan KK Mart dengan menawarkan 50 barang berjenama dengan harga lebih murah daripada pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pada masa ini sebanyak 50 barangan termasuk empat barang kawalan iaitu gula, beras, tepung dan minyak masak diletakkan dalam senarai itu.
Beberapa barangan keperluan harian lain seperti serbuk minuman Milo, lampin pakai buang dan mi segera turut tersenarai.
“Jumlah barangan yang dijual dengan harga murah itu akan ditambah dari semasa ke semasa dan kita sasarkan lebih 100 barangan dapat dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding kedai biasa di rangkaian kedai KRIM 2.0 ini.
“Yang penting, semua barangan ini adalah yang berjenama dan bukannya barangan yang dibungkus semula dan dijenamakan dengan KRIM,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran KRIM 2.0 di pasar raya TMG di Temerloh, Pahang, Ahad lalu.
Menurut Hamzah, KRIM 2.0 menghapuskan peranan orang tengah kerana pengusaha akan menerima bekalan barangan terus daripada pembekal yang berdaftar dengan kementeriannya serta tidak lagi diusahakan secara francais.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bagi memastikan KRIM 2.0 mencapai matlamatnya, pihak yang berkenaan perlu memastikan beberapa perkara sentiasa dipatuhi antaranya kedai yang terlibat wajib memastikan barangan yang tersenarai sentiasa ada di rak.
“Barangan asas seperti gula, minyak, tepung, beras dan sebagainya perlu dipastikan ada sepanjang masa supaya tidak menyebabkan pembelian panik daripada pengguna.
“Selain itu, harga barangan yang dijual seharusnya berpatutan selain mempunyai jaminan baik dari segi kualiti produk serta jaminan kualiti kesihatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, perlu juga ada sistem yang mengawal selia seperti meletakkan amaun terhad pembelian supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti menyeludup barangan tersebut ke negara jiran.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd. Yusof Abdul Rahman berharap rakyat dapat memanfaatkan dan menyokong program KRIM 2.0 supaya syarikat yang mengendalikannya turut mendapat tempias baik daripada program yang dilaksanakan itu.
“Sebelum ini wujud stigma produk KRIM berkualiti rendah tetapi sekarang ia merupakan barangan berjenama dan berkualiti, justeru rakyat tidak perlu was-was untuk membelinya,” ujarnya.
Beliau tidak menafikan kejayaan program KRIM 2,0 memerlukan komitmen tinggi semua pihak termasuk sokongan daripada pengguna.

Artikel Oleh : KOSMO
KR1M 2.0 NAFAS BAHARU BANTU RAKYAT MALAYSIA

Tuesday, February 6, 2018

4346) PASTIKAN BEKALAN KR1M 2.0 TIDAK PUTUS – UTUSAN MALAYSIA – 6/2/18



KUALA LUMPUR 5 Feb. – Kerajaan perlu memastikan bekalan asas di Kedai Rakyat Malaysia (KRIM) 2.0 sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna dan tidak terputus terutama pada musim perayaan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana KRIM diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana membeli barangan keperluan asas pada harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran.
“Kita mahu KRIM menjadi satu tempat untuk pengguna mendapatkan barangan keperluan harian setiap masa tanpa perlu ada pembelian secara panik terutama pada musim perayaan.
“KRIM juga perlu sentiasa memantau harga sesuatu produk di pasar raya tersebut agar tidak membebankan pengguna. Ini membolehkan pengguna lebih yakin untuk membeli barangan keperluan harian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan KRIM 2.0 yang menjual sebanyak 50 barang keperluan harian berjenama pada harga lebih rendah berbanding pasaran di 51 buah kedai berkenaan di seluruh negara bermula bulan ini.
Nadzim menambah, barangan keperluan terlibat seperti gula, minyak masak, tepung dan beras perlu ada jaminan dan berkualiti serta dijual pada harga berpatutan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kerajaan perlu mewujudkan pasukan petugas untuk memantau harga barangan di KRIM agar imej baharu dapat ditingkatkan.
“Perlu ada sebuah jawatankuasa petugas di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepeng
gunaan (KPDNKK) supaya harga dan jaminan kualiti barangan keperluan dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Selain itu, KRIM bukan sahaja menawarkan harga yang lebih rendah, tetapi juga memastikan produk yang dijual menepati citarasa rakyat dan memberi kemudahan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PASTIKAN BEKALAN KR1M 2.0 TIDAK PUTUS

Wednesday, September 16, 2015

2842) #PPIM: PEMBINAAN KR1M & KLINIK 1MALAYSIA PERLU DIPERHEBAT UNTUK TANGANI KOS SARA HIDUP


Inisiatif kerajaan menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia merupakan langkah sesuai dalam menangani kos sara hidup yang tinggi.

Langkah menambah bilangan KR1M, yang menjual barangan keperluan pada harga murah, dan Klinik 1Malaysia, yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah membolehkan semakin ramai rakyat berpeluang mendapat barangan dan perkhidmatan pada harga yang murah tetapi berkualiti.

Bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, langkah baik kerajaan itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat bahawa masih terhadap barangan keperluan dan perkhidmatan perubatan yang boleh didapati pada harga murah.

Nadzim berkata bagi KR1M, kedai seperti itu perlu dibina di kawasan tumpuan orang ramai atau mudah diakses misalnya di stesen-stesen perhentian pengangkutan awam sekali gus dapat menarik pengguna membeli barangan di KR1M.

"Saya juga cadangkan agar setiap pembelian barangan (selain rokok) di KR1M diberi kupon atau baucar bagi menggalakkan pembeli berbelanja di KR1M, selain mewujudkan satu pusat cadangan di setiap cawangan dalam menambah baik perkhidmatannya dari masa ke masa," katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Marimuthu Nadason berkata usaha murni kerajaan itu wajar disokong dalam membantu mengurangkan beban rakyat.

"Kami alu-alukan usaha itu dan berharap agar penambahan KR1M bukan sahaja dibangunkan di kawasan bandar, malah juga kawasan luar bandar supaya kemudahan ini dapat dinikmati segenap golongan masyarakat," katanya.

Bagi pelajar jurusan perundangan universiti tempatan, Nur Masyitah Che Roslan, 23, KR1M perlu lebih banyak diwujudkan di kawasan bandar yang mempunyai ramai golongan berpendapatan rendah.

"Disebabkan ramai warga kota yang dikategorikan sebagai 'miskin bandar' pada masa kini, penambahan KR1M adalah sangat digalakkan," katanya.

Sementara itu, pegawai perubatan hospital kerajaan di ibu negara, Dr Azeanty Ahmad berkata usaha kerajaan menambah bilangan Klinik 1Malaysia amat bertepatan kerana ia membantu meringankan beban rakyat disebabkan ia melibatkan kos pembiayaan yang murah.

Beliau berharap agar klinik ini banyak dibangunkan di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi sekali gus memudahkan mereka untuk dapatkan rawatan dengan cepat.

"Dengan penambahan Klinik 1Malaysia ini, kerajaan diharap dapat menyediakan kakitangan yang secukupnya supaya proses rawatan dan perkhidmatan di klinik ini mampu menampung keperluan perubatan rakyat," katanya.

Kakitangan awam Nor Naimah Said pula berkata langkah yang diambil oleh kerajaan ini sangat membantu penduduk setempat terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

"Dengan adanya Klinik 1Malaysia, kami tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi seperti yang dikenakan di klinik swasta dan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk dapatkan rawatan seperti di klinik kesihatan daerah," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada masa ini, terdapat 169 buah KR1M di seluruh negara dan akan ditambah sebanyak 25 buah pada tahun ini dan 12 lagi tahun hadapan.

Bagi Klinik 1Malaysia pula setakat ini kerajaan telah menyediakan 326 buah Klinik 1Malaysia dan sedang menyiapkan 16 buah Klinik 1Malaysia pada 2015, manakala 33 buah lagi pada 2016. - BERNAMA

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL