Showing posts with label EDISI 9. Show all posts
Showing posts with label EDISI 9. Show all posts

Saturday, December 30, 2023

PPIM MINTA KKM KAJI SEMULA KEPERLUAN DOS VAKSIN PENGGALAK - EDISI 9 - 28/12/2023

 

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengkaji semula keperluan dos vaksin penggalak Covid-19 kepada rakyat susulan dakwaan wujudnya kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan penerima vaksin sedia ada.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya KKM bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan angka-angka sebenar dan fakta-fakta mereka yang mengalami gejala kesan sampingan ini.

Katanya, KKM juga perlu menetapkan dasar yang lebih konkrit dalam hal mencegah penyakit tanpa bergantung kepada vaksin semata-mata.

“Rakyat sudah lalui satu fasa, perintah kawalan pergerakan (PKP) dan lalui penyakit (Covid-19). Tapi akhirnya kita lihat ia sudah menjadi selsema biasa.

“Tetapi ramai sakit (pasca vaksin). Kenyataan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) yang mungkin KKM akan keluarkan arahan pengambilan dos penggalak, merisaukan kami.

“Adakah ini satu-satunya laluan yang kita perlu hadapi? Kenapa mesti galakkan? Adakah tidak ada rawatan yang lebih baik?,” katanya pada sidang media yang diadakan hari ini.

Sidang media berkenaan turut disertai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) paramedik yang menyuarakan kebimbangan sama dan menuntut penjelasan daripada KKM bagi menjamin keselamatan kesihatan masyarakat.

Nadzim berkata, KKM juga digesa agar mengkaji dan menggubal semula Kertas Putih Kesihatan yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Jun lalu.

“Kami mahu KKM mengkaji dan menggubal semula Kertas Putih berkenaan yang kurang menitikberatkan soal kawalan wabak rentas sempadan dan tidak membiarkan pihak lain mengambil kesempatan untuk menafikan cara kita dalam menanganinya,” katanya.

Dalam pada itu, pakar perubatan rehabilitasi kanser, Dr Kenny Yong Yean Sirn berkata, KKM perlu menjelaskan status semasa Covid-19 bagi negara ketika ini sama ada sudah berada pada fasa endemik.

Katanya, kajian KKM juga wajar melaksanakan ujian tahap antibodi penerima vaksin bagi menentukan status kesihatan mereka sebelum mengeluarkan arahan pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19.

“Persoalannya bolehkah KKM dapatkan laporan keselamatan dos vaksin ini atau adakah kita hanya ikut membuta tuli?

“Selepas empat tahun, sepatutnya perlu ada kajian dan maklum balas berkenaan dengan kesan sampingan dos vaksin ini, sama ada memberi kesan baik atau buruk,” katanya lagi. -Edisi 9

Artikel oleh: Edisi 9

PPIM MINTA KKM KAJI SEMULA KEPERLUAN DOS VAKSIN PENGGALAK

https://www.edisi9.com.my/2023/12/ppim-minta-kkm-kaji-semula-keperluan-dos-vaksin-penggalak/

Friday, July 29, 2022

PPIM DESAK KERAJAAN HAPUSKAN SUBSIDI BAHAN API - EDISI 9 - 28/07/2022

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan agar menghapuskan subsidi bahan api, petroleum dan diesel bagi mengurangkan bebanan kewangan kerajaan.

Sebaliknya, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan mencadangkan kerajaan memperluaskan skim subsidi bahan api tersebut dengan kaedah permohonan secara terus oleh pengguna.

Katanya, antara kaedah yang dilihat boleh menjadi medium permohonan adalah aplikasi MySejahtera atau dikembarkan bersama sistem cukai jalan negara di mana cukai jalan adalah mengikut keupayaan enjin dan subsidi boleh diberi dengan kaedah sama.

“Bayangkan golongan berpendapatan tinggi yang memiliki pelbagai jenis kenderaan boleh dapat subsidi minyak tidak kira berapa banyak pendapatan mereka.

“Jika golongan berpendapatan tinggi berasa tidak malu dan mahu mohon, silakanlah mohon tetapi pihak kerajaan harus bijak dalam menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nadzim, pada ketika ini, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM3 bilion setahun untuk subsidi petrol sahaja.

“Jumlah itu sangat tinggi sedangkan golongan berkemampuan tidak sepatutnya menerima subsidi,” katanya.-Edisi 9


Artikel oleh: Edisi 9

PPIM DESAK KERAJAAN HAPUSKAN SUBSIDI BAHAN API

https://www.edisi9.com.my/2022/07/ppim-desak-kerajaan-hapuskan-subsidi-bahan-api/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL