PETALING JAYA – Sindiket along kini semakin mengganas apabila menjadikan jiran-jiran, rakan dan saudara-mara peminjam yang gagal atau lewat membayar hutang sebagai ‘kambing hitam’.
Peminjam along pula bagaikan melepaskan tangan apabila melarikan diri daripada sindiket terbabit tanpa menghiraukan keselamatan orang lain yang diugut ceti haram dengan pelbagai cara menakutkan.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, dalam tempoh 2021 sehingga 2023, lebih 6,000 kes diterima pihaknya berkaitan tindakan along mengugut jiran, rakan-rakan dan saudara mara peminjam.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sindiket along langsung tidak takut dengan undang-undang dan sentiasa memikirkan cara baharu dalam memastikan peminjam membayar hutang mereka.
Menurutnya, disebabkan ramai peminjam yang sering lewat atau gagal melunaskan hutang pinjaman, ia menyebabkan sindiket bertindak lebih agresif sehingga mengganggu orang sekeliling pula.
“Kadangkala sukar untuk pungut hutang, jadi mereka guna taktik atau cara yang menakutkan. Mereka bukan sahaja kejar peminjam, bahkan ugut jiran, sasar rakan sekerja, saudara-mara dan kawan-kawan peminjam.
“Sebab itu, ramai saudara-mara, jiran dan kawan baik peminjam kini diugut along serta diberikan amaran keras dengan harapan mangsa akan mendesak peminjam supaya bayar hutang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Nadzim memberitahu, sindiket juga mempunyai kepakaran dalam menggodam telefon bimbit peminjam untuk mencari segala butiran serta maklumat orang di sekeliling sejak zaman belajar sehingga bekerja selain jiran mereka.
Katanya, along kini dilihat berusaha keras dalam mengutip hutang mereka tanpa mengira cara, asalkan duit pinjaman bersama ‘bunga’ berjaya dikutip semula.
“Mereka akan cari siapa yang kenal dan tahu di mana peminjam berada sehingga peminjam sendiri tampil melunaskan hutang,” ujarnya.
Beliau berkata, antara tindakan berani yang dilakukan sindiket adalah dengan menyimbah cat merah, kuning atau biru ke rumah peminjam termasuk ke kawasan kediaman jiran-jiran dan rakan peminjam.
“Kalau kita tengok zaman dahulu, along ini hanya ugut, tetapi sekarang menyimbah cat.
“Kemudian mereka mula berani beri ugutan lebih serius seperti mahu bakar rumah dengan membaling molotov cocktail, edar poster dan menghebahkan identiti peminjam berhutang di media sosial.
“Sindiket along sentiasa cari jalan dan buat apa sahaja yang boleh menakut-nakutkan peminjam dan orang di sekeliling. Mereka tidak rugi apa pun, sebab mereka pasti akan dapat bayaran, lambat atau cepat sahaja,” ujarnya.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan, seorang mangsa yang tinggal di sebuah taman perumahan di Gombak, Selangor hidup ketakutan apabila rumahnya disimbah cat merah gara-gara jiran gagal membayar hutang along.
Artikel oleh: Kosmo
ALONG KEJAM, CARI JIRAN, RAKAN 6,000 PEMINJAM
https://www.kosmo.com.my/2024/01/29/along-kejam-cari-jiran-rakan-6000-peminjam/
No comments:
Post a Comment