Friday, April 12, 2019

4887) SUAMI ISTERI BUNTU SEDIAKAN YURAN PENGAJIAN ANAK – SINAR HARIAN – 12/4/19




KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri buntu mengumpulkan wang sebanyak RM45,000 sebelum 20 April ini bagi menjelaskan yuran pendidikan dua anaknya yang belajar dalam bidang perubatan di Moscow, Rusia.
Pasangan terbabit, Azmi Abd Aziz, 54 dan isteri, Rahayu Kasmani, 51, bimbang kegagalan menjelaskan yuran tertunggak itu menyebabkan anaknya, Ain Azmira Azmi, 24 dan Abdul Azhan Azmi, 21, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.
Azmi yang menjalankan perniagaan sendiri itu berkata, dia terpaksa menggunakan saluran media bagi mendapatkan bantuan selepas pelbagai ikhtiar dilakukan sepanjang setahun ini tidak berhasil.
“Sebelum ini saya dah menghabiskan kira-kira RM400,000 dengan menjual dua rumah dan aset lain bagi pembiayaan pendidikan itu.
“Saya juga dalam usaha menjual sebidang tanah di Negeri Sembilan sejak tahun lepas tapi sehingga kini belum ada pembelinya walaupun telah diiklankan,” katanya.
 Dia berkata demkian pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang menyalurkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Menurutnya, anak-anaknya yang menuntut di tahun akhir dan tahun dua itu tidak mendapat mana-mana tajaan mahupun pinjaman pendidikan walaupun memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.
“Kami pernah buat permohonan biasiswa daripada agensi kerajaan setahun selepas Azmira melanjutkan pengajian namun ditolak kerana pembekuan tajaan selain terlalu ramai pelajar yang turut memperoleh keputusan cemerlang.
“Ketika itu kami masih mampu membiayai pendidikan dengan menjual aset namun kini kami tidak lagi berkemampuan disebabkan keadaan perniagaan kami juga turut terjejas kesan kemerosotan ekonomi negara,” katanya.
Azmi bekata, dia berharap ada pihak yang tampil menyalurkan bantuan sekurang-kurangnya kepada anak perempuannya di tahun akhir.
“Saya tak mahu anak yang sudah di tahun akhir terpaksa berhenti belajar. Mereka tak tahu situasi kami dan sebolehnya tak mahu mereka tahu kerana bimbang menjejaskan prestasi pembelajarannya.
“Sehingga semalam saya sudah membuat permohonan zakat, saya turut berharap ada manamana syarikat yang sudi menyalurkan biasiswa terutama kepada anak saya yang berada di tahun akhir, anak yang masih di tahun dua saya akan ikhtiarkan kemudian,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, beliau membuka tabung kepada orang awam dan syarikat korporat untuk turut sama membantu mengumpul dana pembiayaan yuran itu.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan sektor pendidikan tenaga mahir yang bakal memberikan perkhidmatan kedoktoran dalam negara.
“Saya berharap syarikat korporat terutama kalangan bumiputera memainkan peranan penting dari segi penyaluran biasiswa ini bagi membolehkan lebih banyak pelajar cemerlang dibantu dan disokong,” katanya.
Menurutnya, sumbangan boleh dilakukan dengan menghubungi talian 0193591000.

Artikel oleh : Sinar Harian
SUAMI ISTERI BUNTU SEDIAKAN YURAN PENGAJIAN ANAK

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL