KUALA LUMPUR, 28 APRIL:

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mengetatkan pengambilan pelajar warga asing khususnya dari Afrika yang mahu melanjutkan pengajian di negara ini.
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, lambakan pelajar warga asing itu boleh membawa ancaman kepada warga tempatan kerana kehadiran mereka bukanlah untuk belajar sebaliknya aktif dengan penipuan Internet dan ‘black money’.
“PPIM terima banyak aduan berkenaan warga Afrika sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ada yang ditipu, tak mahu bayar sewa rumah dan ada yang hilang dalam masyarakat selepas mendaftar di IPT.
“Malah ramai di antara mereka aktif dengan kes penipuan Internet dan yang bersedudukan dengan warga tempatan. Ini yang merisaukan kita,” katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai ancaman warga Afrika di Our Private Place, Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail.
Menurutnya, ramai pelajar warga Afrika ini masuk ke Malaysia menggunakan visa pelajar tetapi selepas tamat semester pertama, mereka hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan.
Dalam pada itu, pihak institut pengajian juga perlu melaporkan kepada pihak Imigresen supaya lokasi mereka dapat dikenal pasti pihak berkuasa.
“PPIM menggesa supaya institut pengajian awam dan swasta melaporkan kehilangan mereka kepada Kementerian Pendidikan supaya hal ini dapat dibendung. Kemasukan mereka perlu dikaji semula dan kami berharap agar kelulusan pengambilan pelajar warga Afrika juga diteliti semula dan syarat-syaratnya diperketatkan.
“Kami juga menyarankan agar pemilik rumah juga jangan berurusan dengan mereka. Jangan menyewakan rumah kepada mereka kerana mereka beroperasi di rumah untuk menjalankan kerja-kerja penipuan Internet dan ada yang tak bayar sewa rumah,” katanya.
Nadzim berkata, pihaknya juga menerima aduan bahawa ada warga Afrika yang didapati menggunakan akaun bank milik warga tempatan dan pemilik akaun itu pula ditangkap polis.
“Orang itu pun dah lari ke luar negara selepas pemilik akaun itu ditangkap dan dia juga meninggalkan dua orang anak. Selain itu, kami juga menerima aduan bahawa seorang ustaz dan tok imam juga ditipu hampir RM800,000. Mereka sangat bijak.
“Saya sendiri pernah dihubungi mereka dan ditawarkan emas, harta yang tersangkut di lapangan terbang dan sejumlah wang. Bila saya bertemu dengan mereka, kemudiannya dia beritahu nak jumpa abang tetapi lari setelah mengetahui yang kami sedang mengawasi mereka dari jauh,” katanya.