Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan yang dalam perjalanan untuk menebus barang kemas yang digadai di pusat pajak gadai buntu selepas ia ‘lesap’ biarpun dimaklumkan masih boleh menebus aset itu beberapa jam sebelum itu.
Azrie Swardi, 34, berkata, dia menghubungi pusat pajak gadai di Tangkak, Johor awal bulan lalu dan pegawai di situ memaklumkan dia masih boleh menebus emas terbabit yang digadainya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, dia sepatutnya mengambil semula emasnya bulan lalu, namun disebabkan mempunyai masalah kewangan, dia meminta kebenaran untuk melanjutkan tempoh dan selepas beberapa kali memperbaharui perjanjian, dia hadir ke pusat berkenaan minggu lalu untuk menebus emasnya.
Katanya, sebelum itu dia mendapat notis bahawa barang miliknya tidak dapat ditebus sebelum berhubung dengan pegawai pusat berkenaan untuk meminta tarikh penangguhan menebus emas dan ia diluluskan.
“Saya meminta lanjutan tempoh lima hari untuk menebusnya. Minggu lalu, saya dimaklumkan boleh berbuat demikian kerana ia masih ada, tetapi terkejut sebaik pegawai di sana memberitahu barangan emas itu sudah dijual.
“Beberapa kali saya tanyakan kepada pegawai di situ, namun dia tidak memberi maklum balas sebaliknya memulangkan semula wang kerana emas saya tidak lagi disimpan di situ.
“Saya rasa seperti dianiaya kerana hanya beberapa jam sebelum itu saya diberitahu boleh ke sana untuk menebus barang,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya meminta penjelasan daripada pusat berkenaan bagaimana keadaan itu boleh berlaku memandangkan prosedur sedia ada menetapkan sebarang perubahan perlu dimaklumkan kepada penyimpan atau penggadai.
Katanya, pengadu mengikut prosedur seperti dipersetujui bersama, namun dia tidak dapat mengambil kembali barangan yang digadai di situ walaupun diminta hadir oleh pegawai berkaitan.
“Bagaimana ia boleh berlaku sedangkan pegawai di pusat pajak gadai itu yang meminta dia ke sana untuk menebus barangan.
“Namun dia dimaklumkan sebaliknya. Kita minta pihak berkuasa menyiasat lanjut kerana tidak mahu wujud unsur penganiayaan,” katanya.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/16375
No comments:
Post a Comment