Saturday, October 25, 2014

2178) ARKIB BERITA PPIM - 5/10/2014 SINAR HARIAN - Jangan Jadikan Alasan Naik Harga


MELAKA - Persatuan pengguna berpendapat pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 2 Oktober tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barang dengan mendadak.

Mereka mendakwa mana-mana peniaga yang menaikkan harga barang sebagai tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan daripada kenaikan harga petrol
RON9 (RM2.30 seliter) dan diesel (RM2.20 seliter) untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata, kenaikan harga minyak pasti akan meningkatkan kos pengangkutan tetapi impaknya terhadap harga barang amat kecil.

"Bila harga minyak naik sukar kita hendak pisahkan kenaikan harga barang terutama barang mentah seperti sayur, daging, ikan dan ayam tetapi kenaikan ini pada kadar yang amat minimum sekali, sen-sen sahaja," katanya kepada Bernama.

Jumaat lepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan harga minyak pada September tahun lepas menyebabkan harga ikan naik antara lapan hingga 13 peratus.

Beliau berkata, kementerian memantau keadaan itu bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Selvaraj berkata, adalah tidak munasabah untuk menaikkan harga teh tarik dan roti canai sebanyak 20 sen sedangkan harga minyak naik 20 sen untuk seliter.

Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna Malaysia Samsuddin Mohamad Fauzi berkata kenaikan harga barang yang minimum sepatutnya diserap oleh peniaga bagi membantu rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

"Peniaga tidak boleh terus menghumban kenaikan kos itu kepada pengguna setiap kali harga minyak naik, pengguna faham sekiranya peniaga terpaksa menaikan harga barang jika kesan kenaikan itu besar tetapi kesan kali ini amat kecil," katanya.

Samsuddin berkata, perbuatan peniaga yang senantiasa 'menghumban' kenaikan kos kepada pengguna akan menyebabkan tekanan inflasi kepada ekonomi negara.

"Peniaga perlu fikir kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada ekonomi negara bukan hendak kaut keuntungan sentiasa, jika inflasi meningkat, ekonomi negara pada masa hadapan mungkin runtuh dan menyusahkan kehidupan anak cucu kita nanti," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, realitinya terlalu sukar untuk mengekang kenaikan harga oleh peniaga disebabkan pasaran negara yang bebas, namun pengguna punyai kuasa untuk mengubahnya.   

"Peniaga boleh menaikkan harga sesuka hati mereka dengan pelbagai alasan. Jadi pengguna perlu bijak menggunakan kuasa mereka, jangan beli bila sudah tahu harga sesuatu barang itu sengaja dinaikkan mendadak. Pengguna cari barang pengganti untuk barang itu," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak tertipu dengan segala taktik peniaga yang mahu mengambil kesempatan termasuk menjual pada harga asal tetapi mengurangkan kuantitinya. - Bernama


Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-jadikan-alasan-naik-harga-1.322750

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL