Showing posts with label MALAYSIA POST. Show all posts
Showing posts with label MALAYSIA POST. Show all posts

Thursday, October 31, 2024

KIBAR BENDERA ASING: PPIM GESA SIASATAN TELUS, TINDAKAN TEGAS SEBELUM HILANG KAWALAN - MALAYSIA POST - 31/10/2024

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa tegas menangani isu kibar bendera asing di tempat awam yang tular baru-baru ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya amat kesal perkara itu boleh berlaku di negara ini dan meminta tindakan tegas pihak berkuasa menanganinya sebelum perkara ini di luar kawalan.

“Belum reda isu bendera China dikibarkan di Perak, timbul pula kes baharu lagi bendera asing dikibarkan kali ini di Johor pula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 24 Oktober lalu, tular di media sosial perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera China.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, memaklumkan penganjur melanggar syarat permit yang diluluskan pada 2 Oktober lalu.

Terbaharu, media melaporkan Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Malaysia di Johor juga disertai delegasi dari China, Vietnam, Thailand, Filipina, Hong Kong, Singapura, dan Indonesia.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu.

Menurut Nadzim, penganjur dan peserta wajar disiasat di bawah Akta Hasutan kerana tindakan itu didakwa menghina negara serta menghasut orang lain untuk berbuat serupa.

Tegasnya, PPIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar kedaulatan Malaysia.  – Malaysiapost

Artikel oleh: Malaysia Post

KIBAR BENDERA ASING: PPIM GESA SIASATAN TELUS, TINDAKAN TEGAS SEBELUM HILANG KAWALAN

https://malaysiapost.com.my/2024/10/31/kibar-bendera-asing-ppim-gesa-siasatan-telus-tindakan-tegas-sebelum-hilang-kawalan/?fbclid=IwY2xjawGP8yFleHRuA2FlbQIxMQABHZWklunh-fc2x-54JG4pjWMThRuZssp_DLgLIbSJm8EG5H0B9S8QN1aioA_aem_5I7JDa7sL18iVOEbQw4RLw

Saturday, September 9, 2023

JANGAN CAMPURI URUSAN UMAT ISLAM, PPIM INGATKAN ARUN - MALAYSIA POST - 08/09/2023

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia agar jangan yang mencampuri urusan umat Islam di
negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata ia susulan kenyataan Pengerusi persatuan itu, Arun Dorasamy yang mempertikai dan membantah modul asal Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Arun yang juga peguam sebelum ini mendakwa, lima hadis yang dikeluarkan itu, termasuk hadis ke-8 daripada hadis 40
tersebut, dianggap tidak selari dengan aspirasi perpaduan.

Nadzim berkata perbuatan Arun itu sangat melampau dan sebagai peguam dia sepatutnya lebih cerdik mengeluarkan kenyataan.

“Adakah KPM terlalu dungu sehingga tunduk kepada orang bukan Islam yang cuba menentukan ajaran Islam mana yang boleh diterima oleh umat Islam negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nadzim berkata jika orang bukan Islam terus menekan dan membuat provokasi terhadap umat Islam, negara ini tidak akan aman dan rakyat tidak boleh hidup dalam harmoni.

“Tindakan Arun sama seperti jika umat Islam menyatakan ajaran agama Hindu itu salah dan tidak boleh diajar kepada orang beragama Hindu, apakah Arun akan terima?” tegas Nadzim.

Nadzim berkata pihaknya akan terus mempertahankan agama Islam di Malaysia walau apa jua sekalipun dan meminta semua umat Islam berbuat demikian.

“Kita berkorbanlah apa sahaja demi agama, apa lagi yang kita ada jika maruah Islam diinjak-injak seperti tiada nilai,” katanya. – Malaysiapost

Artikel oleh: Malaysia Post

JANGAN CAMPURI URUSAN UMAT ISLAM, PPIM INGATKAN ARUN

https://malaysiapost.com.my/2023/09/08/jangan-campuri-urusan-umat-islam-ppim-ingatkan-arun/

Wednesday, August 30, 2023

PENGENALAN MODUL HADIS 40 TEPAT PADA MASA - MALAYSIA POST - 24/08/2023

 

MODUL Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi tepat dengan keperluan semasa dan masa depan negara untuk memupuk kesederhanaan dalam kalangan generasi muda Muslim, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, maka pengenalan modul itu yang hanya untuk pelajar beragama Islam dan tidak harus dipolemikkan.

“Ini sekaligus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.

“Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, modul itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu dan bertujuan memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Laporan Bernama tentang pelancaran itu tidak menyatakan jika modul ini untuk pelajar Islam sahaja.

Susulan itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan hari ini menjelaskan ia akan diajar kepada pelajar Islam sahaja.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata tindakan MCCBCHST membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.

“Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu,” katanya.-Malaysiapost

Artikel oleh: Malaysia Post

PENGENALAN MODUL HADIS 40 TEPAT PADA MASA

https://malaysiapost.com.my/2023/08/24/pengenalan-modul-hadis-40-tepat-pada-masa/

Thursday, April 20, 2023

PPIM GESA KERAJAAN GUGUR SEMUA KES UNDANG-UNDANG BERKAIT VAKSIN, IVERMECTIN - MALAYSIA POST - 18/04/2023

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan melalui Peguam Negara untuk menggugurkan semua kes undang-undang di semua pihak berkaitan vaksin, mandat vaksin dan ubat Ivermectin.

Langkah itu dilihat penting kerana tindakan mahkamah yang sedia ada menjadi tidak relevan memandangkan situasi vaksin global telah berubah secara mendadak dalam tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ toqqi berkata apa yang lebih penting kini, hampir setiap negara di dunia telah pun menghapuskan fasa kecemasan kerana Covid-19.

“Selain itu, peningkatan kes kematian yang tidak dapat dijelaskan punca di seluruh dunia khususnya negara-negara yang diberi vaksin berat, menimbulkan persoalan tentang keberkesanan vaksin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Nadzim, PPIM menggesa kerajaan untuk segera mengeluarkan statistik mengenai perkara itu dan menyiasat sebarang peningkatan kematian.

Katanya, peningkatan drastik di seluruh dunia jelas ditunjukkan oleh Josh Sterling, seorang ejen insurans terkemuka di Amerika Syarikat berdasarkan data kerajaan UK.

“Data yang dibentangkan menunjukkan bahawa berdasarkan ulasan analisis, terdapat lebih daripada dua 600,000 lebihan kematian di Amerika Syarikat pada tahun 2022,” katanya.

Nadzim berkata, PPIM berharap sidang akhbar ini akan mengetengahkan kepentingan menangani kesan negatif vaksin dan langkah berkaitan vaksin, serta menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam menangani isu tersebut.

Katanya lagi, darurat negara memberi kerajaan kebenaran untuk mengambil kuasa menyeluruh yang telah merosakkan seluruh dunia.

“Darurat yang dilaksanakan jelas tidak wajar berikutan ketika itu hanya 54 kematian merebak di seluruh dunia dan dilaksanakan atas dasar tekanan kuat daripada pejabat berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kesan kesihatan, ekonomi, politik, pendidikan serta sosial daripada darurat itu adalah jangka panjang dan berkemungkinan memberi kesan kepada kita untuk lebih dari satu generasi,” katanya.

Tambah Nadzim lagi, perkara itu luas dan mungkin akan dibahaskan oleh pakar selama beberapa dekad.

Untuk rekod, pada 10 April 2023, tindak balas Amerika Syarikat terhadap pandemik Covid-19 berakhir apabila Presiden Joe Biden menandatangani resolusi kongres dua parti untuk menutupnya selepas tiga tahun.

Jabatan kesihatan awam kecemasan negara itu menyatakan sokongan terhadap langkah menamatkan sekatan imigresen yang ketat di sempadan AS – Mexico yang ditetapkan untuk tamat pada 11 Mei.


Artikel oleh: Malaysia Post

PPIM GESA KERAJAAN GUGUR SEMUA KES UNDANG-UNDANG BERKAIT VAKSIN, IVERMECTIN

https://malaysiapost.com.my/2023/04/18/ppim-gesa-kerajaan-gugur-semua-kes-undang-undang-berkait-vaksin-ivermectin/

Wednesday, July 6, 2022

HATI-HATI BERI SUMBANGAN PEMBELIAN VAN JENAZAH - PPIM - MALAYSIA POST - 05/07/2022

 

ORANG ramai dinasihatkan berhati-hati dalam menghulurkan derma  dana van jenazah kepada mana-mana pihak tidak kira yang terkenal atau tidak bagi mengelakkan penyalahgunaan wang sumbangan tersebut.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun tidak salah orang bukan Islam membantu kutipan dana itu yang dikhususkan untuk kegunaan orang Islam, namun perlu tahu ke mana wang disalurkan.

“Usaha kita untuk bersedekah itu adalah amalan yang mulia dan tidak harus diteruskan jika ada perasaan ragu-ragu.

“Kita tidak mahu menidakkan kerja amal atau kebajikan yang telah dilakukan oleh individu tersebut, malah kerjasama sesama rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus dipuji.

“Namun, jika penderma ada perasaan ragu-ragu, banyak tindakan yang boleh diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu tular berkenaan kutipan derma oleh orang persendirian bukan Islam untuk sebuah van jenazah bagi kegunaan Institut Kanser Negara (IKN).

Menurutnya, penderma boleh rujuk kepada IKN untuk mendapatkan kepastian sama ada agensi kerajaan itu ada memohon sumbangan van jenazah dari orang awam.

Selain itu, Nadzim turut mengingatkan orang awam terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menyediakan perkhidmatan urus jenazah secara percuma.

“Jangan terpedaya, bukan sahaja bukan Islam, ramai juga orang Islam yang berselindung disebalik pangkat ustaz yang menyalahgunakan agama dan mengenakan cas tinggi dalam pengurusan jenazah yang sepatutnya menjadi satu fardhu kifayah dikalangan umat Islam,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila aktivis pengurusan jenazah mendedahkan seorang individu bukan beragama Islam membuat kutipan dana untuk van jenazah bagi kegunaan IKN.

Menurut Nadzim, antara persoalan dibangkitkan adalah akaun bank digunakan bagi kebanyakan kerja amal individu berkenaan adalah melalui akaun peribadi.

“Adakah individu berkenaan menyediakan penyata akaun yang telus serta sejauh mana kebenaran pihak IKN memohon sumbangan sebuah van jenazah dari orang awam memandangkan IKN merupakan agensi atau entiti kerajaan,” katanya. -Malaysiapost


Artikel oleh: Malaysia Post

HATI-HATI BERI SUMBANGAN PEMBELIAN VAN JENAZAH - PPIM

https://malaysiapost.com.my/2022/07/05/hati-hati-beri-sumbangan-pembelian-van-jenazah-ppim/

Wednesday, June 1, 2022

JAKIM MINTA PPIM BANTU KESAN 'ABDULLAH' - MALAYSIA POST - 17/05/2022

 

JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM) meminta bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengesan ‘Abdullah’ bagi membantu siasatan loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ini kerana lelaki dikenali sebagai ‘The Hood Man’ (Abdullah) yang memberi maklumat berkenaan kes tersebut sudah tidak dapat dikesan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, sebelum ini lelaki berkenaan memberi keterangan kepada Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia dan selepas itu dia tidak dapat dihubungi.

Katanya, keterangan dan bukti berkenaan kes ini sangat diperlukan bagi membantu JAKIM menjalankan siasatan menyeluruh.

“Setakat ini JAKIM masih belum menerima surat maklum balas Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan yangdiberi surat tunjuk sebab,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa) di Putrajaya, hari ini.

Idris berkata, selain TFI terdapat 15 lagi loji sembelihan di Australia dan pihaknya komited memastikan ia mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Katanya, semalam beliau bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menghubungi Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia secara Google Meet dan beliau menjelaskan mengenali ‘Abdullah’ yang bukan nama sebenar dan sudah memberi keterangan berkenaan kes itu.

Katanya, sehingga hari ini individu berkenaan masih gagal dihubungi dan JAKIM meminta bantuan PPIM bagi membantu menghubungi lelaki terbabit.

“JAKIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan individu berkenaan juga tidak perlu takut untuk membantu memberi keterangan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, PPIM bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mendedahkan pelanggaran SOP penyembelihan halal oleh Thomas Food International di Australia, yang mendapat kelulusan dari Badan Induk Halal JAKIM.

Presiden Pekemas, Faizan Mohd Nor berkata pendedahan berhubung isu pelanggaran SOP penyembelihan halal di Australia dilaporkan berdasarkan bukti video dan gambar serta diperkukuh saksi (Abdullah) yang dikatakan pekerja sembelihan di TFI.

Justeru pihaknya yakin bahawa terdapat unsur-unsur yang jelas melanggar protokol penyembelihan.

Setakat ini JAKIM sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI, Australia berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi. – Malaysiapost


Artikel oleh: Malaysia Post

JAKIM MINTA PPIM BANTU KESAN 'ABDULLAH'

https://malaysiapost.com.my/2022/05/17/jakim-minta-ppim-bantu-kesan-abdullah/

Monday, April 25, 2022

RAMAI TANYA KENAPA SAYA SERTAI POLITIK, INI JAWAPANNYA - HANS ISAAC - MALAYSIA POST - 24/04/2022

 

RAMAI bertanya kenapa saya sertai politik kerana mereka menganggap pelakon tak tahu selok belok dunia politik, demikian kata pelakon Datuk Hans Isaac.

Beliau bakal bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Ampang pada pemilihan parti itu Mei secara sinis berkata, ahli politik juga pandai berlakon di hadapan rakyat dan dalam kehidupan sebenar berbanding pelakon yang hanya berlakon untuk filem atau drama. 

“Saya ada NGO, cara-cara di dalam satu kementerian, gerakan dan strukturnya, saya faham semua ini. Saya tak kongsi benda ini dengan rakyat biasa.

“Saya rasa bukan semua pelakon adalah pelakon, bukan semua ahli politik adalah ahli politik. Ahli politik tu tengah berlakon juga, minta maaf ye.

“Sebenarnya penyertaan saya dalam politik kerana sudah penat dengan pelbagai ‘game’ orang yang tak berintegriti sebelum ini, saya mahu lihat perubahan dalam banyak sudut untuk kebaikan rakyat,” katanya sinis. 

Hans berkata demikian kepada media selepas mengagihkan 5,000 pek bubur lambuk sempena Ramadan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

Program berkenaan dianjurkan Angkatan Malaysia Cemerlang (AMC), Pertubuhan Kasih Setia Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan lain-lain pertubuhan.

Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Presiden AMC, Ayah Nata dan Ayah Amin Novo.

Sementara itu, Nadzim menegaskan sebagai NGO beliau tidak berpaksikan atau menjadi bayang-bayang kepada mana-mana parti politik.

“Saya kekal berkecuali dan berpihak kepada kebajikan rakyat.

“Apa-apa yang baik untuk rakyat dibawa ke hadapan untuk membawa perubahan  dan kebaikan, kepada kita semua.

“Kita lihat satu kebangkitan yang agak luar biasa kebelakangan ini. Apa yang penting, kita mudahkan hidup orang, bantu beri beri peluang pasti Tuhan mudahkan urusan kita,” katanya. – Malaysiapost


Artikel oleh: Malaysia Post

RAMAI TANYA KENAPA SAYA SERTAI POLITIK, INI JAWAPANNYA - HANS ISAAC

https://malaysiapost.com.my/2022/04/24/ramai-tanya-kenapa-saya-sertai-politik-ini-jawapannya-hans-isaac/


Friday, January 28, 2022

PURIM, PPIM SERAH SYOR CADANGAN ATASI BANJIR KEPADA PM - MALAYSIA POST - 27/01/2022

 

PERSATUAN Usahawan Rekacipta dan Inovasi Malaysia (PURIM) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menyerahkan Memorandum Syor Cadangan Bagi Mengatasi Banjir kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Memorandum tersebut akan diserahkan Pengerusi PURIM, Norshahrizal Nordin dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan serta wakil penduduk yang terkesan banjir baru baru ini.

Menerusi sidang media hari ini, kedua-dua persatuan menyatakan dalam memorandum syor itu, PURIM dan PPIM telah mengutarakan enam cadangan jangka masa pendek bertujuan mengelak kesan teruk akibat banjir dengan kos rendah.

Selain itu, empat cadangan jangka masa sederhana bertujuan menambah baik infrastruktur bagi menghadapi banjir pada masa akan datang.

Pada masa sama, tujuh cadangan jangka masa panjang bertujuan memastikan syor dan cadangan tersebut boleh diteruskan dan diselenggara dengan kaedah lestari tanpa membebankan kewangan kerajaan untuk masa panjang.

Antara cadangan jangka masa pendek ialah melakukan pembenihan awan pintasan di laluan angin ribut tropika dengan mengambil kira data cerapan satelit Jabatan Meteorologi Malaysia.

Selain itu, penggunaan sistem amaran aras air secara SMS berasaskan perubahan aras secara “Event Base” di kawasan perumahan yang berisiko untuk mengalami banjir; menambak dan meninggikan beberapa kawasan lapang bagi menyediakan ruang untuk memindahkan kenderaan ke tempat selamat melalui sistem makluman SMS yang efisien.


Artikel oleh: Malaysia Post

PURIM, PPIM SERAH SYOR CADANGAN ATASI BANJIR KEPADA PM

https://malaysiapost.com.my/2022/01/27/purim-ppim-serah-syor-cadangan-atasi-banjir-kepada-pm/

Monday, December 27, 2021

6139) PPIM KECEWA KEBENARAN RAPATKAN SAF MASIH BELUM DIPUTUSKAN - MALAYSIA POST - 26/12/2021

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa melengah-lengahkan keputusan untuk membenarkan saf secara rapat solat jemaah di masjid dan surau di seluruh negara.

Kekecewaan itu diluahkan Presidennya, Datuk Nadzim Johan susulan alasan diberikan KKM iaitu untuk menilai situasi varian Omicron, sedangkan beberapa jabatan agama negeri telah bersedia melaksanakan solat dengan kapasiti penuh serta merapatkan saf.

“Kami berharap agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin mempertimbangkan semula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan solat secara berjemaah yang diperintahkan Allah SWT ini dan menggariskan beberapa prosedur operasi standard (SOP) lebih berkesan.

“Kami difahamkan pihak jawatankuasa masjid di beberapa negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan apa jua SOP tambahan bagi mengembalikan semula syariat ibadat solat berjemaah yang sangat dituntut ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadzim turut menggesa agamawan supaya memberi kesedaran dan kewajaran dalam mengembalikan unsur pengimarahan masjid melalui kaedah solat berjemaah yang disarankan.

“Saya meminta agar para agamawan dan alim ulama supaya tampil untuk memberi kesedaran dan kewajaran bagi menimbang secara serius solat berjemaah menurut cara yang ditetapkan iaitu dengan saf yang rapat dan tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan semata-mata,” katanya.

Pada 16 Disember lalu, Khairy menjelaskan, KKM memerlukan tempoh masa beberapa minggu lagi sebelum mengeluarkan nasihat berhubung kebenaran merapatkan saf bagi jemaah di masjid.

Tempoh masa itu diperlukan untuk memantau kesan gelombang Omicron sebelum mengeluarkan nasihat berhubung isu saf di masjid.


Artikel oleh: Malaysia Post

PPIM KECEWA KEBENARAN RAPATKAN SAF MASIH BELUM DIPUTUSKAN

https://malaysiapost.com.my/2021/12/26/ppim-kecewa-kebenaran-rapatkan-saf-masih-belum-diputuskan/

Saturday, December 25, 2021

6134) TERIMA ADUAN MANGSA BANJIR PERLU BANTUAN, PPIM SEGERA KE TEMERLOH - MALAYSIA POST -24/12/2021

 

MALAYSIAPOST menyertai misi bantuan bencana untuk mangsa banjir di Temerloh Pahang bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

Misi kemanusiaan ini turut disertai Nasi Ayam Mat Rock dan Sumbangan.Com yang bertolak dari Kuala Lumpur ke lokasi bencana kira-kira jam 11 pagi tadi.

Misi yang diberi nama ‘Infaq Rezeki’ ini akan menghulurkan bantuan kepada 200 mangsa banjir yang terjejas di daerah berkenaan.

Ketua operasi, Siti Khadijah Hassan Berseri berkata, misi kemanusiaan ini disertai 20 sukarelawan dengan kekuatan lima kendaraan pacuan empat roda, dua lori tiga tan, tiga bot aluminium dan 14 jaket keselamtan.

“Misi ini adalah amanah orang ramai yang menyumbang untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di Temerloh dari segi barang asas, keperluan bayi seperti susu, dan makanan kering.

“Selain itu barangan keperluan untuk solat seperti telekung, sejadah, kain pelikat akan diberikan kepada mangsa banjir,” katanya.

Setakat ini, Siti Khadijah berkata, misi ini sedikit menghadapi kesukaran apabila Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Temerloh gagal dihubungi sejak semalam.

“Kita dapat maklumat, dihubungi orang ramai mengatakan ramai mangsa banjir belum mendapat bantuan sewajarnya.

“Jadi hari ini kita mengerahkan msisi ini ke Temerloh, walaupun PKOB tak dapat dihubungi sejak semalam, tak apa kita redah je dulu, Insyallah moga urusan kita dipermudahkan Allah hendaknya,” katanya.

Artikel oleh: Malaysia Post

TERIMA ADUAN MANGSA BANJIR PERLU BANTUAN, PPIM SEGERA KE TEMERLOH

https://malaysiapost.com.my/2021/12/24/terima-aduan-mangsa-banjir-perlu-bantuan-ppim-segera-ke-temerloh/

Friday, October 1, 2021

5975) NASIB PEMANDU TEKSI DIABAI, GTSM MAHU TANDING PRU15 - MALAYSIA POST - 30/09/2021

 

GABUNGAN Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) mahu meletakkan calon sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bagi memperjuangkan nasib mereka yang diabaikan.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain, berkata pihaknya bercadang untuk bertanding empat kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau bagaimanapun berkata senarai kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi mereka masih belum diputuskan, namun ia melibatkan kawasan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Yang di Pertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain dan Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan pada sidang media Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin & Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) berhubung kekecewaan kepada Kementerian Pengangkutan di Ali Café Tomyam Seafod Pantai Baharu hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada semua ketua parti politik bersama tuntutan dan menunggu maklum balas mereka untuk menangani isu melibatkan golongan pemandu teksi serta kereta sewa.

“Mana-mana parti yang memberi maklum balas terbaik untuk membantu kita, kita akan kerah kesemua ahli serta pemandu-pemandu di seluruh negara untuk menyokong parti terbabit,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Tambahnya, tujuan pihaknya memasuki dunia politik bukan untuk mengejar jawatan namun untuk menegakkan keadilan dan nasib mereka.

“Kami nak bertanding bukan kerana nak jawatan, kami nak perjuangkan nasib pemain industri,” katanya.

Yang di Pertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain dan Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan pada sidang media Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin & Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM).

Terdahulu, GTSM meluahkan rasa terkilan dan kecewa terhadap Kementerian Pengangkutan, kerana mengabaikan kebajikan dan permasalahan dihadapi mereka ketika berdepan pandemik Covid-19.

Kamarudin berkata, kira-kira 85 peratus pemain dalam industri perkhidmatan pengangkutan adalah daripada golongan B40, kini merasai keperitan hidup akibat terkesan dengan pandemik tersebut.

“Kami berasa sedih terhadap ketidaksungguhan ditunjuk semua Menteri Pengangkutan sama ada dari BN, PN, PH dan terkini Keluarga Malaysia bagi membela nasib kami.

“Mereka juga sering berdolak dalih dan enggan menyelesaikan masalah serta kebajikan kami sebagai pemain industri, selain tidak pernah diberi pembelaan sewajarnya oleh kementerian tersebut,” katanya.


Artikel oleh: Malaysia Post

NASIB PEMANDU TEKSI DIABAI, GTSM MAHU TANDING PRU15

https://malaysiapost.com.my/2021/09/30/nasib-pemandu-teksi-diabai-gtsm-mahu-tanding-pru15/

Saturday, July 3, 2021

5760) TAK BOLEH LARI DARI AH LONG ANTARA SEBAB BUNUH DIRI - MALAYSIA POST - 30/06/2021


 “DULU tak boleh bayar ah long boleh lari, sekarang masalah lagi bertambah sebab kena berkurung,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. 

Beliau mengakui situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara faktor menyebabkan ada yang mengambil keputusan membunuh diri kerana hilang punca untuk keluar daripada masalah hutang. 

Menurutnya, kes perceraian dan masalah rumah tangga juga meningkat sejak PKP dilaksanakan bagi memerangi Covid-19. 

“Masalah rakyat bertambah. Dulu mereka (yang berhutang dengan ceti haram) boleh lari kalau tak boleh bayar ah long. Sekarang kena berkurung sebab PKP. Kalau keluar rumah kena saman dengan polis. 

“Akhirnya ada antara mereka ambil keputusan bunuh diri. Kes perceraian juga semakin meningkat,” katanya kepada Malaysiapost. 

Nadzim berkata, kerajaan seharusnya menetapkan peraturan di mana semua pinjaman hanya melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

Katanya, bayaran bunga atau ‘interest’ pula perlu selaras dan rendah bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan untuk kelangsungan hidup. 

“Kerajaan perlu pandang serius hal ah long ini. Kena uruskan supaya ah long tidak sewenang-wenang buat tindakan sendiri. 

“Jangan bagi peluang kepada agensi untuk beri pinjaman. Kerajaan kena tetapkan pinjaman dari KPKT. Contoh Amanah Ikhtiar dan sebagainya,” katanya lagi. 

Pada masa sama, Nadzim memberitahu kadar peratusan peminjam ah long meningkat dalam kalangan masyarakat sejak PKP dilaksanakan. 

Beliau menjelaskan, PPIM banyak menerima laporan berkenaan masalah peminjam ah long dan kesulitan mereka untuk melunaskan bayaran pinjaman yang dibuat. 

“Peminjam ah long meningkat dalam 30 peratus sejak wabak Covid-19 melanda negara,” katanya lagi. 

Sebelum ini media melaporkan syarikat pinjaman berlesen dan ceti haram menjadi tumpuan terutama mereka yang terjejas ketika pandemik Covid-19 mendapatkan sumber kewangan. 

Walaupun kadar faedah dikenakan hingga mencecah 40 peratus, namun orang ramai sanggup memilih jalan singkat itu demi kelangsungan hidup


Artikel oleh: Malaysia Post

TAK BOLEH LARI DARI AH LONG ANTARA SEBAB BUNUH DIRI

https://malaysiapost.com.my/2021/06/30/tak-boleh-lari-dari-ah-long-antara-sebab-bunuh-diri-ppim/

Saturday, April 17, 2021

5567) KALAH JUDI, PINJAM ALONG, CERAI-BERAI - PPIM - MALAYSIA POST - 16/04/2021

 

“KALAH judi kemudian pinjam along, selepas itu mulalah bercerai-berai dan bergaduh (suami isteri),” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video kandungan iklan mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan dana sempena menyambut Aidilfitri yang tular di media sosial hari ini. 

Nadzim berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit. 

“Kita (PPIM) memang nak banteras judi tapi kita takut benda ni tak diambil secara serius. 

“Saya harap Datuk Saifuddin dapat melihat perkara ini secara serius.. kita nak SKMM ambil tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi. 

Terdahulu hari ini tular Klip video oleh syarikat judi GDBet333 memaparkan pelakon lelaki memakai baju Melayu dan perempuan muslim yang bertudung dengan lagu berkisar mengenai Aidilfitri. 

Video tersebut memaparkan seorang lelaki kelihatan sugul kerana tidak dapat pulang beraya ke kampung disebabkan tiada wang. 

Namun nasib pemuda itu berubah setelah mencuba nasib menerusi web syarikat perjudian itu. 

Antara lirik pada lagu dalam video klip berkenaan adalah: 

“Nak balik kampung duit tak ada, tapi ada cara untuk mencari, GDBet333 ada, apa ditunggu marilah cuba, untung nasib mu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya.”


Artikel oleh: Malaysia Post

KALAH JUDI, PINJAM ALONG, CERAI-BERAI - PPIM


5566) KES 'BODYGUARD': PPIM NAHU TINDAKAN TEGAS, TUBUH JAWATANKUASA - MALAYSIA POST - 16/04/2021

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak berkuasa memandang serius dan mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang dilaporkan mendera dua pengawal peribadi kerana berpuasa.

Sidang media PPIM mengenai kes dua bodyguard dibelasah oleh majikan disebabkan berpuasa di Pejabat PPIM Kuala Lumpur.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan dan perlu ditangani dengan betul bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti rusuhan kaum.

“Isu ini tidak masuk akal dan mencabar kedaulatan negara… tak boleh dibiarkan. Kita melihat situasi ini sangat membimbangkan malah kita juga hairan dengan sikap kurang ajar majikan tersebut mendera pekerja hanya kerana berpuasa.

“Isu ini tidak membawa kepada kebaikan. Jadi, kita harap ditangani sekeras-kerasnya supaya tidak berlaku lagi dan menjadi pengajaran kepada semua pihak… kalau tidak ditangani dengan betul akan jadi rusuhan kaum.

“Kita amat mengharapkan tindakan berkesan agar dapat memberi pengajaran paling keras sekali yang mana pelaksanaan undang-undang atau kaedah tertentu dapat meredakan isu ini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sidang media PPIM mengenai kes dua bodyguard dibelasah oleh majikan disebabkan berpuasa di Pejabat PPIM Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan untuk menerapkan kembali semangat patriotisme di dalam pendidikan.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menubuhkan jawatankuasa tertinggi bagi menangani isu berkenaan.

“Kerajaan perlu lihat kembali subjek patriotisme serta wujudkan jawatankuasa tertinggi untuk menangani isu ini.

“Selain itu, amalan hormat-menghormati perlu diterapkan semula antara semua kaum di negara ini bagi mengelakkan pergaduhan.

“Jadi, kita mohon kerajaan tubuh jawatankuasa ambil kes ini dan pandang serius tentang perkara ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan dua pengawal peribadi mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, pihaknya menerima laporan pada 4.16 petang berkaitan dua lelaki dipukul secara bergilir-gilir di bahagian belakang badan menggunakan rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa berada di rumah majikannya dan dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa.




5565) PEMINJAM ALONG MAKIN MENINGKAT MENJELANG RAMADHAN - PPIM - MALAYSIA POST - 13/04/2021

 


TREND meminjam dengan ceti haram atau along semakin meningkat menjelang Ramadan dan Syawal berikutan ramai hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata situasi sebenarnya adalah ramai yang terpaksa meminjam along sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jumlah peminjam yang gagal melunaskan hutang dengan along juga ramai, kena faham mereka nak bayar macam mana jika wang pun tiada,” katanya kepada Malaysiapost.

Nadzim berkata, masyarakat khususnya umat Islam perlu berbalik semula kepada sebuah hadis yang menyatakan ‘sembilan daripada 10 punca rezeki berasal daripada perniagaan’.

Justeru, katanya, umat Islam wajar gunakan peluang Ramadan ini untuk mengorak langkah menceburi bidang perniagaan demi menjana sumber pendapatan.

“Jadi gunakan peluang ini untuk berniaga. Jika kita yakin dengan rezeki kurniaan Allah maka sentiasa ada jalan untuk kita semua mengubah nasib.

“Orang yang berniaga pula, lakukan dengan terbaik. Berniaga dalam cara bersih, halal dan tidak menipu. Kita ikut ajaran Islam dalam berniaga, jangan cuba rugikan pihak lain,” ujarnya.

Menurut Nadzim, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan dengan memudahcara pemberian lesen perniagaan kepada orang ramai yang membuat permohonan.

Beliau memohon agar PBT memudahkan urusan peniaga kerana dijangka ramai yang akan mengambil kesempatan untuk berniaga sepanjang Ramadan ini.

“Dua itu sahaja cara. Kita buat dua itu Insya-Allah boleh bantu mereka yang tersepit sejak PKP lalu. Semua ambillah peluang pada bulan yang mulia ini, dan beri peluang juga pada mereka,” kata beliau.

Sebelum ini, media melaporkan ceti haram atau along menjadi jalan tumpuan orang ramai terutama yang terjejas sumber pendapatan ketika pandemik Covid-19.

Biarpun mengenakan faedah sehingga 40 peratus, orang ramai terpaksa memilih untuk menjerat diri sendiri meminjam dengan along demi kelangsungan hidup.

Berdasarkan beberapa pengakuan pemberi pinjaman itu, mereka mengakui tidak menang tangan memproses pinjaman orang ramai dengan purata 3,000 permohonan setiap minggu.

Ia menjadikan jumlah peminjam meningkat 15 kali ganda berbanding sebelum PKP dilaksanakan.


Artikel oleh: Malaysia Post

PEMINJAM ALONG MAKIN MENINGKAT MENJELANG RAMADHAN - PPIM


Monday, March 22, 2021

5494) PRODUK MINUMAN KOREA TAK HALAL: MUFTI MINTA KEDAI SERBANEKA PEKA, GESA PIHAK BERKUASA SIASAT - MALAYSIA POST - 15/03/2021

 


MUFTI Pahang, menggesa pemilik premis kedai serbaneka supaya lebih peka dengan status halal produk makanan dan minuman yang dijual premis masing-masing, bagi mengelak pembelian di kalangan umat Islam, terutama kanak-kanak.

Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata demikian mengulas isu produk minuman berasal dari korea yang dikatakan menjadi  ‘kegemaran’ kanak-kanak termasuk umat Islam kerana status halalnya tidak dinyatakan dengan jelas selain tidak diasing sebagai produk bukan untuk muslim.


Difahamkan, isu itu tular baru-baru ini, apabila seorang pengguna Facebook mendakwa beliau menerima maklumat bahawa produk minumanan yang dijual di kedai serbaneka 24 jam itu tidak halal, namun tidak disedari umum kerana ia bukan minuman beralkohol.

Malah, minuman itu juga dikatakan menjadi kegemaran kanak-kanak kerana pembungkusannya yang menarik menggunakan botol seperti beruang dan pelbagai karakter kartun lain yang comel.

Justeru, Abdul Rahman meminta pengusaha kedai serbaneka menghormati umat Islam di negara ini dengan mengasingkan produk yang tidak halal serta menyatakan secara jelas bahawa ia tidak boleh dijual kepada orang Islam.

“Pihak berwajib perlu pantau dan jalankan siasatan mengenai produk yang tular ini dengan segera. Jika benar ia tidak halal maka perlu diasingkan kerana kita tidak mahu umat Islam membelinya.

“Perlu diingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan pihak berkenaan perlu akur dan hormati institusi Islam di negara ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, umat Islam juga tidak boleh memandang remeh isu halal dan menjauhi makanan syubhah.

“Islam meletakkan garis panduan halal haram jelas dalam pengambilan makanan dan minuman. Ia sebahagian tuntutan ibadah.

“Jadi ibu bapa juga dituntut supaya mendidik anak-anak masing-masing peka dengan status halal dan ajar mereka supaya tidak membeli produk makanan yang diragui,” katanya,

Abdul Rahman juga menggesa pengguna Muslim supaya mengutamakan aspek pemilihan makanan halalan tayyiban dalam kehidupan.

“Tambahan pula ketika ini banyak produk dari luar negara yang dijual di pasaran tempatan, jadi umat Islam diminta berhati-hati.

“Selain itu, pengguna Islam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak halal diminta memaklumkan kepada umum. Ia bagi mengelak orang lain daripada membelinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata pihaknya akan turun padang dan menjalankan siasatan mengenai dakwaan berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan pemilik premis kedai serbaneka berkenaan dan mendapatkan pengesahan mengenainya. Sekiranya benar produk minuman itu tidak halal, kita akan minta mereka mengasingkan produk itu ditempat sepatutnya,” katanya.


Beliau berkata, pengguna muslim diminta supaya ‘berhenti’ sementara daripada membeli produk terbabit sebelum siasatan lanjut dijalankan.

“InsyaAllah kita akan jalankan sisatan mengenai isu ini dengan segera dan akan memberi maklum balas mengenainya,” katanya.


Artikel oleh: Malaysia Post

PRODUK MINUMAN KOREA TAK HALAL: MUFTI MINTA KEDAI SERBANEKA PEKA, GESA PIHAK BERKUASA SIASAT

https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/produk-minuman-korea-tak-halal-mufti-minta-kedai-serbaneka-peka-gesa-pihak-berkuasa-siasat/

Saturday, February 20, 2021

5428) I-SINAR: PPIM NASIHAT ORANG RAMAI HATI-HATI, ELAK JADI MANGSA SCAMMER - MALAYSIA POST - 20/02/2021

 

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan caruman menerusi i-Sinar dinasihatkan berhati-hati dan memastikan kewangan digunakan sebaik mungkin bagi mengelak menjadi mangsa ‘scammer’ dan skim cepat kaya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata dalam keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19, rakyat perlu merancang perbelanjaan terutama mereka yang kehilangan pekerjaan.

Katanya, jika ingin membuat pelaburan untuk mendapat wang tambahan, mereka perlu bijak dalam mencari syarikat yang sah serta diiktiraf, jangan sewenang-wenangnya percaya dengan panggilan telefon.

“Duit yang kita nak keluarkan, paling utama individu itu kena tentukan apa yang dia nak buat, kena tulis (buat senarai) sebab manusia ini bila berjalan di ‘mall’, nampak barang berkenan, beli.. tak ada perancangan.

“Duit itu makin lama makin sikit. Susah hati, mula fikir macam mana nak tambah, lagi-lagi dengan keadaan sekarang ini.

“Jadi, situasi ini akan menyebabkan orang yang tiada perancangan terjerat dengan ‘scammer’ atau skim cepat kaya.

“Justeru, apabila dapat panggilan dari seseorang yang kata boleh buat keuntungan banyak, (mereka jadi buta hati) dan buat pelaburan tanpa menyelidik dahulu sama ada syarikat itu sahih ataupun tidak… jadi kita kena merancang dan selidik supaya duit itu tidak terlepas (kepada penipu),” katanya kepada Malaysiapost.

Nadzim berkata, orang ramai juga diingatkan jangan sesekali terperangkap dan mudah percaya dengan propaganda keuntungan dari ‘scammer’ atau syarikat skim cepat kaya, kerana pengakhirannya diri sendiri akan merana dan papa kedana.

Beliau berkata, kini i-Sinar sudah boleh dikeluarkan tanpa syarat, maka ‘scammer’ dan syarikat skim cepat kaya akan memulakan strategi mereka.

atanya, ramai yang sudah terpedaya dengan penipuan itu, justeru jangan ambil mudah kerana kemungkinan diri sendiri menjadi mangsa seterusnya jika tidak waspada.

“Mereka (scammer dan syarikat skim cepat kaya) perhati saja ni (pencarum i-sinar), kita kena berhati-hati agar kita tidak mudah diperdaya dan digula-gulakan dengan keuntungan (wang yang mereka tawarkan).

“Kes-kes penipuan scammer terlalu banyak maka perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu transaksi. Orang sekarang dengar keuntungan, lupa diri… dan banyak sangat orang sebegitu, akhirnya terkena,” katanya.atanya, ramai yang sudah terpedaya dengan penipuan itu, justeru jangan ambil mudah kerana kemungkinan diri sendiri menjadi mangsa seterusnya jika tidak waspada.

“Mereka (scammer dan syarikat skim cepat kaya) perhati saja ni (pencarum i-sinar), kita kena berhati-hati agar kita tidak mudah diperdaya dan digula-gulakan dengan keuntungan (wang yang mereka tawarkan).

“Kes-kes penipuan scammer terlalu banyak maka perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu transaksi. Orang sekarang dengar keuntungan, lupa diri… dan banyak sangat orang sebegitu, akhirnya terkena,” katanya.


Artikel oleh: Malaysia Post

I-SINAR: PPIM NASIHAT ORANG RAMAI HATI-HATI, ELAK JADI MANGSA SCAMMER

https://malaysiapost.com.my/2021/02/20/i-sinar-ppim-nasihat-orang-ramai-hati-hati-elak-jadi-mangsa-scammer/

Tuesday, January 26, 2021

5326) LOCKDOWN 4 FEB?: RAKYAT BERHAK TAHU, KERAJAAN JANGAN SOROK - PPIM - MALAYSIA POST - 25/01/2021

 



RAKYAT berhak untuk tahu setiap maklumat dan tindakan kerajaan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 agar persediaan boleh dilakukan lebih awal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata beberapa perkara kini membelenggu rakyat semasa negara diserang Covid-19, antaranya dakwaan ‘lockdown’ sepenuhnya.

“Rakyat perlu dimaklumkan sebab rakyat sudah pandai menilai. Rakyat perlu diberi maklumat yang jelas supaya kita dapat buat sesuatu.

“Mungkin kita (rakyat) boleh membantu kerajaan juga. Sebagaimana kita tahu kerajaan juga rasa tertekan. Jadi bagaimana kaedah yang perlu kita buat.

“Apa juga yang kerajaan mahu buat perlu diteliti kerana jika sebaliknya kita akan kecundang. Kerajaan ditekan mungkin oleh kuasa-kuasa dunia, dan akhirnya yang akan menanggung akibat adalah rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Semalam, terdapat laporan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, iaitu dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi, akan dilaksanakan sekiranya kes jangkitan Covid-19 gagal dikawal menjelang 4 Februari.

Amaran itu diberikan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu surat kepada ahlinya.

Kandungan surat itu menyatakan perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali semasa mesyuarat bersama EuroCham.

Namun, sehingga kini tiada kenyataan dan maklum balas daripada pihak kerajaan berkenaan isu terbabit.

Mengulas lanjut, Johan berkata, tidak perlu ada stigma perbezaan antara kerajaan dan rakyat kerana semua keputusan yang membabitkan penglibatan rakyat harus diumumkan segera.

Beliau berpendapat jika ‘lockdown’ sepenuhnya dilakukan, perlu ada kelongggaran yang diberikan kerajaan dari segi komitmen yang perlu ditanggung rakyat.

“Contohnya pengecualian dari bayaran bank, bantuan makanan daripada kerajaan, supaya rakyat tidak perlu keluar untuk cari makanan.

“Ini kerana, walaupun ‘total lockdown’ rakyat perlu juga keluar untuk mencari makanan. Jadi untuk itu kerajaan perlu teliti, kerana akan jadi huru hara sebab rakyat ada komitmen dan keperluan,” ujarnya lagi.

Berikutan itu, katanya, semua pihak harus bekerjasama untuk menghadapi apa juga tindakan yang akan diambil kerajaan untuk menjaga keselamatan rakyat bagi mendepani virus Covid-19.

Katanya, kerajaan perlu memastikan jika semua sektor ditutup, bantuan perlu benar-benar sampai kepada semua rakyat dan tidak terjadi lagi keciciran.

“Kerajaan tak perlu malu dan sorokkan situasi lagi. Rakyat boleh terima yang sekarang negara sedang usaha untuk jaga keselamatan dan membendung Covid-19.

“Kalau lockdown dibuat, jangan sampai menyusahkan rakyat. Sebab mungkin nanti akan dibuat lagi kerana Covid-19 masih ada dan kita tidak tahu bila ia berakhir,” katanya.


Artikel oleh: Malaysia Post

LOCKDOWN 4 FEB?: RAKYAT BERHAK TAHU, KERAJAAN JANGAN SOROK

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL