Showing posts with label MAJORITI. Show all posts
Showing posts with label MAJORITI. Show all posts

Thursday, January 19, 2023

JADIKAN KANAK-KANAK SEBAGAI MODEL IKLAN VAPE SUATU EKSPLOITASI - PAKAR - MAJORITI - 17/01/2023

 

PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape dilihat semakin membimbangkan apabila penjualannya tumbuh ibarat cendawan dan semakin laris.

Tambahan pula, penjualannya dalam talian tanpa kawalan memudahkan masyarakat tanpa mengira peringkat umur membeli rokok elektronik.

Lebih merisaukan, budaya menghisap vape atau vaping sudah menjadi kelaziman dan norma baharu kepada perokok dan bekas perokok yang sudah meninggalkan rokok tembakau.

Baru-baru ini, iklan kanak-kanak dan remaja bawah umur giat mempromosikan vape di media sosial menjadi tular dan mendapat kecaman orang ramai.

Lebih teruk, ada di kalangan remaja terbabit dilihat memakai tudung, sekali gus seolah-olah mencemarkan agama Islam.

Antara yang meluahkan rasa kecewa adalah seorang pengamal perubatan tempatan, Dr. Arisman Wenge Abd Rahman menerusi laman Facebook peribadinya, Dr. Arisman, MD.

Beliau berkata, perbuatan itu bukanlah satu jenaka, sebaliknya merupakan satu jenayah.

Lantaran itu, beliau meminta menteri dan pemimpin di negara ini supaya memandang perkara tersebut sebagai serius kerana boleh memudaratkan kesihatan mental dan fizikal.

1885377

Fauziah

Turut tampil mengulas tentang perkara itu adalah adalah Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad.

Dr Fauziah menganggap, tindakan menjadikan kanak-kanak atau remaja bawah umur sebagai model vape merupakan perkara tidak wajar dan suatu eksploitasi.

Beliau berkata, ia bukan sahaja memberi imej tidak baik, malah turut memberi kesan kepada ekosistem hidup kanak-kanak tersebut termasuk ibu bapa, sekolah dan sebagainya.

"Kalau di Malaysia, hisap rokok dan vape dalam kalangan kanak-kanak memang salah.

"Tapi kalau kanak-kanak atau remaja itu boleh uruskan segalanya dan tak beri kesan kepada kesihatan mental maka ia akan menjadi okey.

"Namun, memang salah kalau keluarga yang mengeksploitasi kanak-kanak tersebut untuk memberi kebaikan kepada mereka," katanya kepada Majoriti.

file7ngfwqowx7p1bzh2f7f0

Nadzim

Sementara itu, Datuk Nadzim Johan berkata, siaran iklan yang sepatutnya diurus tadbir oleh pemilik media ketika ini dilihat seolah-olah tiada kawalan.

Lantaran itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Malaysia (PPIM) tersebut berharap agar wujudnya garis panduan yang jelas buat peniaga di mana-mana platform, termasuk di media sosial dan media cetak bagi menyiarkan sebarang iklan.

"Ini penting untuk membantu masyarakat mengurus tadbir apa-apa iklan.

"Kita juga berharap agar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menguruskan garis panduan yang jelas tentang iklan yang disiarkan," tambahnya. — Majoriti


Artikel oleh: Majoriti

JADIKAN KANAK-KANAK SEBAGAI MODEL IKLAN VAPE SUATU EKSPLOITASI - PAKAR

https://majoriti.com.my/berita/2023/01/17/jadikan-kanak-kanak-sebagai-model-iklan-vape-suatu-eksploitasi---pakar

Wednesday, January 11, 2023

ADA PEMINJAM AH LONG TERTEKAN SAMPAI MENINGGAL DUNIA, DEDAH PPIM - MAJORITI - 10/01/2023

 

KEPERLUAN asas bagi meneruskan kehidupan adakalanya mendesak seseorang melakukan sesuatu di luar jangkaan, termasuk meminjam wang daripada pihak tertentu.

Wang hasil pinjaman itu semestinya bersifat sementara kerana lambat laun, si peminjam itu harus melangsaikan hutang tersebut.

Sekiranya wang itu dipinjam daripada ahli keluarga atau teman rapat yang boleh dipercayai, mungkin mereka boleh bertolak ansur tentang tempoh bayaran semula hutang itu selain tiada sebarang riba dikenakan.

Namun, bagaimana pula nasib si peminjam jika wang yang dipinjam itu melalui sumber daripada pihak tidak boleh dipercayai, khususnya sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long?

Untuk sesiapa yang masih belum mengetahui, ah long merupakan pihak yang meminjamkan wang kepada orang ramai dengan cara kotor, yang mana mereka akan mengenakan riba yang tinggi jika si peminjam membayar hutang secara lewat.

Jika hutang tidak dapat diselesaikan dengan kadar segera, sindiket haram itu akan memberi tekanan kepada peminjam termasuk mengugut, membelasah, membakar rumah dan melacurkan individu terbabit.

Toqqi

Perkara itu seperti dikongsikan Persatuan Pengguna Islam (PPIM), yang mendapat aduan daripada orang ramai tentang sisi gelap ah long.

Salah seorang daripada mangsa adalah kenalan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang meninggal dunia akibat tertekan dengan permainan kotor ah long ketika memaksanya membayar hutang.

Nadzim berkata, kenalannya yang dikenali sebagai Zahid (bukan nama sebenar) memulakan perniagaan sejak dari kecil hingga besar.

Meskipun tidak memperolehi pendidikan tinggi, usaha keras Zahid dalam perniagaan membuahkan hasil apabila dia dikenali sebagai individu berpengaruh, manakala kediamannya juga dirasmikan oleh salah seorang Sultan Perak.

Zahid terkena serangan jantung akibat tertekan diburu ah long. — Gambar hiasan

Namun, katanya, ahli perniagaan tidak lari daripada menanggung risiko untung rugi sehingga memaksa Zahid meminjam wang daripada ah long.

"Saya ada bantu dia lunaskan hutang sebanyak RM20,000 hingga RM30,000, tapi masalah dia membabitkan ratusan ribu ringgit.

"Dia orang hebat tapi tertekan sebab dikejar dek ah long," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PPIM dekat ibu negara pada Khamis.

Nadzim berkata, keadaan hidup Zahid semakin huru-hara apabila sindiket haram itu menampal salinan kad pengenalan miliknya di dinding pejabatnya.

Beliau berkata, keadaan itu berterusan sekiranya mangsa gagal melunaskan ansuran hutang tepat pada masanya.

"Tekanan perasaannya sampai ke tahap sakit jantung dan meninggal dunia.

"Walaupun sudah meninggal dunia dan hutang sudah habis bayar, ah long masih menuntut kereta Mercedes miliknya," katanya sambil menambah bahawa perkara itu berlaku lebih 20 tahun lepas.

Dihalau penduduk setempat

Dalam kes lain, seorang wanita dan suaminya pada mulanya menetap di sebuah rumah hasil pemberian ibu mereka di ibu negara.

Nadzim berkata, lelaki berkenaan merupakan seorang peniaga dan bertindak meminjam wang daripada ah long bagi meneruskan hidup.

Katanya, ahli sindiket itu akan membuat rondaan dan membuat kacau di kawasan kediamannya jika hutang ansuran gagal dilunaskan.

"Ini menyebabkan penduduk di situ marah dan meminta suami isteri tersebut berpindah kerana risau diganggu ah long.

"Ia menunjukkan masyarakat kita tiada ketahanan untuk melawan mahupun menentang penindasan," katanya.

Solusi tanggungjawab semua

Masjid antara institusi yang boleh membantu seseorang ketika mengalami kewangan.— Gambar hiasan

Ketika ditanya tentang solusi permasalahan ini, Nadzim berkata, pihak berwajib perlu lebih tegas manakala ia juga merupakan tanggungjawab semua pihak.

Sebagai contoh, katanya, masjid dan surau juga antara institusi kecil yang boleh menyelesaikan masalah kewangan seseorang.

Katanya, ini bagi mengelakkan riba lebih besar dikenakan kepada si penghutang.

"Kalau tak tolong nanti dikhuathiri individu terbabit pada mulanya hanya hutang ah long sebanyak RM300 sahaja, tapi jumlahnya digandakan hampir mencecah ratusan ribu ringgit. Yang penting jangan banyak birokrasi.

"Jangan lupa tanggungjawab masyarakat bukan dari satu sudut sahaja. Ini bagi mengelakkan masalah lebih besar berlaku kepada si peminjam.

"Perubahan mindset perlu dibuat semua agensi, organisasi dan rakyat dalam menangani masalah ini. Anggap masalah (ah long) ini sebagai wabak," katanya. 


Artikel oleh: Majoriti

ADA PEMINJAM AH LONG TERTEKAN SAMPAI MENINGGAL DUNIA, DEDAH PPIM

https://majoriti.com.my/berita/2023/01/10/ada-peminjam-ah-long-tertekan-sampai-meninggal-dunia-dedah-ppim

PERNAH DISERANG, PPIM KONGSI PENGALAMAN BERDEPAN AH LONG BIADAB - MAJORITI - 09/01/2023

 

ISU sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long bukanlah perkara baharu yang wujud di negara ini.

Tahun demi tahun, ada sahaja individu dilapor yang menjadi mangsa keganasan ah long, termasuk dilacurkan, dibunuh, diugut, dibelasah dan sebagainya.

Ini kerana, peminjam tersebut tidak mampu membayar semula jumlah yang dipinjam dan riba yang dikenakan.

Toqqi

Menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selalunya ah long akan mengenakan riba atau bunga sebanyak 10 peratus kepada peminjam yang lewat membuat bayaran, yang mana ia bercanggah dengan 18 peratus bunga seperti dibenarkan kerajaan.

Berkongsi salah satu pengalaman mencabar ketika berdepan dengan ah long, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyifatkan kebanyakan ahli ah long sebagai biadab.

Hal ini kerana, Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, ada di antara mereka yang berani mencabar persatuan itu untuk memanggil pihak polis, meskipun PPIM cuba menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik.

Dalam sebuah kejadian, katanya, ada ahli sindiket itu yang bertindak kasar ketika persatuan tersebut cuba membantu mangsa yang diugut secara dahsyat.

Beliau berkata, layanan tersebut menyebabkan sukarelawan persatuan itu terpaksa membalas secara kasar, sebelum mereka memanggil majikan ah long untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

"Bos ah long sengaja menangguhkan perjumpaan bersama kami dan akhirnya memutuskan untuk serang pejabat kami di Keramat (Kuala Lumpur).

"Kami sudah bersedia dengan pertolongan anggota polis, namun mereka juga datang ke tempat kami dengan membawa anggota polis.

"Akhirnya perkara itu selesai dengan bantuan pihak polis," katanya kepada Majoriti.

Senarai hitam penguatkuasaan cukai

template - 2023-01-09T222734.138

Poster tawaran pinjaman wang diyaki oleh ah long dilihat di Sungai Buloh, Selangor.

Dalam kes berasingan, Nadzim berkata, PPIM juga terpaksa mengugut ah long berkaitan untuk menyenaraihitam penguatkuasaan cukai, yang mana mereka boleh dikenakan denda 10 kali dari jumlah wang yang diminta daripada mangsa.

Namun sebelum itu, beliau berkata, PPIM akan bertanya ah long terbabit sama ada mahu menyelesaikan kes bersama mangsa secara baik mahupun tidak baik.

"Kami ada senarai akaun mereka. Kalau tak mahu selesaikan secara baik, kami akan memasukkan senarai tersebut dengan pihak berwajib.

"Itulah antara perkara yang mereka takuti," jelasnya.

Tambah Nadzim, ah long akan menjadi gentar sekiranya mangsa bersifat berani, namun sindiket tersebut bijak membaca keadaan.

"Apabila mereka berdepan dengan wanita atau pegawai kerajaan yang menunjukkan rasa takut, maka mereka akan mengambil kesempatan dan menaikkan cas riba (bunga) secara suka hati.

"Hari ini mereka cas bunga harga lain, esok harga lain," katanya.


Artikel oleh: Majoriti

PERNAH DISERANG, PPIM KONGSI PENGALAMAN BERDEPAN AH LONG BIADAB

https://majoriti.com.my/berita/2023/01/09/pernah-diserang-ppim-kongsi-pengalaman-berdepan-ah-long-biadab

Friday, June 24, 2022

HATI-HATI, JANGAN TERTIPU PAKEJ IBADAH KORBAN PALSU - MAJORITI - 16/06/2022

 

IKLAN menawarkan pakej korban yang berpatutan nampaknya akan muncul tidak lama lagi memandangkan hari raya Aidiladha semakin hampir.

Pada Selasa, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, pengguna perlu menyemak sama ada syarikat yang menawarkan pakej tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Pengguna juga perlu menyemak maklumat perbankan atau nombor telefon syarikat berkenaan di laman web semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat transaksi secara dalam talian.

"Jika tanda amaran muncul, laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya iklan itu dapat disekat bagi mengelak orang lain ditipu," katanya kepada Bernama.

Yang Dipertua Ikram Health Malaysia, Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, orang ramai perlu memastikan institusi yang menyediakan atau menganjurkan program korban Aidiladha adalah sah dan bebas daripada penipuan.

"Pengguna perlu membuat tinjauan harga pasaran dalam talian, harga pakej yang terlalu murah kebiasaannya merupakan satu skim penipuan," tambahnya.

Duta Yayasan Maghfirah, Mohammad Hafiz Hamidun berkata, pembeli perlu memastikan nama badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat yang menjalankan ibadah korban boleh dipercayai.

Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan iklan di media sosial yang menawarkan pakej perkhidmatan ibadah korban Aidiladha di dalam dan luar negara.

“Bagi mengelak daripada menjadi mangsa, sebaiknya pilih pakej korban dari pihak NGO terkemuka yang mempunyai maklumat lengkap mengenai pakejnya, seperti harga, nama NGO, nombor akaun bank yang tepat dan nombor telefon,” katanya.

Beliau turut menyatakan keperluan pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menawarkan pakej palsu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, orang ramai yang ingin menempah pakej korban Aidiladha perlu menyemak latar belakang syarikat penganjur dan harga yang ditawarkan bagi mengelak ditipu. — The Star


Artikel oleh: Majoriti

HATI-HATI, JANGAN TERTIPU PAKEJ IBADAH KORBAN PALSU

https://majoriti.com.my/berita/2022/06/16/hati-hati-jangan-tertipu-pakej-ibadah-korban-palsu

Wednesday, June 1, 2022

ALASAN TIADA BEKALAN AYAM TIDAK MASUK AKAL - PPIM - MAJORITI - 22/05/2022

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan beberapa pihak yang mendakwa tiada bekalan ayam di ladang ternakan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna di Malaysia sering menjadi alat oleh mereka untuk menaikkan harga atau mendapatkan keuntungan lebih dalam jual beli.

Justeru beliau mengingatkan kepada pihak tidak bertanggungjawab agar tidak mencetuskan panik dalam kalangan pengguna.

"Dalam isu ketiadaan ayam di pasar terbuka, peniaga runcit boleh dan harus membuat laporan kepada pihak berkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) atau membawa perkara itu ke mahkamah jika dirasakan perlu.

"Pengusaha ladang ayam mempunyai kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong.

"Apa guna mereka bela ayam jika tiada pembeli, mereka akan berusaha mendapatkan kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong secara pukal sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau setahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Nadzim menegaskan kerajaan tidak harus tunduk kepada tuntutan pihak yang tamak dan sering memperbodohkan pengguna untuk kepentingan diri.

"Jangan bebankan pengguna dengan masalah yang tidak masuk akal. Pengguna harus bijak dalam menilai situasi semasa dan kembali mengawal keadaan pasaran negara.

"Kalau dah ladang tu tak boleh membekalkan ayam, maka kita sebagai pengguna boleh pilih untuk membeli produk dari pihak lain yang lebih bertanggungjawab dan tidak memperbodohkan pengguna," katanya. — Majoriti


Artikel oleh: Majoriti

ALASAN TIADA BEKALAN AYAM TIDAK MASUK AKAL - PPIM

https://majoriti.com.my/berita/2022/05/22/alasan-tiada-bekalan-ayam-tidak-masuk-akal---ppim

Saturday, December 18, 2021

6116) PENDEKATAN ZALIM KKM BAKAL UNDANG PADAH - PPIM - MAJORITI - 16/12/2021

 

TINDAKAN kerajaan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) disifatkan sebagai keterlaluan, tegas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, PPIM berkata, cadangan pindaan itu akan memberi peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menaikkan denda salah laku.

Di bawah akta yang bakal dipinda ini, katanya, denda terhadap mana-mana kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka atau tidak mengamalkan penjarakan sosial, pelanggaran perintah kuarantin serta terlibat dalam acara-acara yang dilarang, yang melibatkan perkumpulan orang ramai dan sesak.

"Di bawah pindaan ini, KKM meminda agar bagi individu yang melanggar perintah di bawah akta ini, dendanya akan dinaikkan dari RM1,000 kepada RM100,000 manakala bagi syarikat korporat sehingga RM2 juta," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa memberitahu, cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam RUU Akta 342 bakal memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.

Katanya, apabila diluluskan Dewan Rakyat kelak, ia antara lain menyaksikan penurunan kuasa untuk pelaksanaan penguatkuasaan, peruntukan mengenakan tindakan terhadap pertubuhan perbadanan serta penalti am terhadap individu dan pertubuhan perbadanan.

Mengambil serius perkara itu, PPIM berkata, pindaan akta berkenaan bakal memberi impak besar kepada rakyat yang baru sahaja mampu menghela nafas lega setelah hampir semua aktiviti dibuka.

Katanya, kegiatan ekonomi yang membolehkan sebahagian besar rakyat menyesuaikan norma baharu ini akan menghimpit kembali keadaaan mereka.

"Sebagai manusia biasa, dalam keadaan tertentu, pelanggaran undang-undang itu akan berlaku juga, sama ada sengaja atau tidak disengajakan, atau berada dalam keadaan terpaksa.

"Jika pihak penguat kuasa gagal menggunakan pertimbangan yang wajar dan bersikap mencari-cari kesalahan orang, maka ramai yang bakal berdepan masalah bila ianya dilaksanakan," katanya.

Justeru, PPIM menyeru kerajaan supaya tidak mengambil pendekatan yang disifatkan berbaur 'draconian' itu yang sekali gus bakal mengundang padah.

"Sebaliknya mereka perlu lebih mengambil langkah mendidik rakyat dengan bijaksana," jelasnya.


Artikel oleh: Majoriti

PENDEKATAN ZALIM KKM BAKAL UNDANG PADAH - PPIM

https://majoriti.com.my/berita/2021/12/16/pendekatan-zalim-kkm-bakal-undang-padah--ppim

Monday, December 13, 2021

6097) PPIM DAKWA BAHAN DALAM UJIAN SARINGAN COVID-19 BOLEH AKIBATKAN KANSER - MAJORITI - 11/12/2021

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius dan membantah penggunaan ujian saringan atau swab test Covid-19 yang mengandungi Ethylene Oxide.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, PPIM menjelaskan bahawa Ethylene Oxide adalah sejenis gas beracun yang dibuktikan boleh menyebabkan penyakit kanser seperti leukimia dan limfoma.

PPIM mendakwa, banyak kajian telah dilakukan dan terbukti bahawa bahan berkenaan sering mengancam nyawa dan amat membahayakan para pekerja dalam industri kimia.

"Bahan ini digunakan sebagai pensteril untuk swab test Covid-19. Menurut beberapa kajian, Ethylene Oxide adalah satu bahan yang paling mudah menyebabkan kanser dan mampu merosakkan DNA," katanya.

Justeru, PPIM menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mendedahkan tatacara atau protokol penggunaan bahan terbabit dalam ujian saringan Covid-19, selain memberi jaminan ia selamat kepada pengguna.

Pada masa sama, katanya, para pengguna juga terdedah kepada bahan itu, sekiranya prosedur berkenaan dilakukan dengan kecuaian dan ketidakmahiran kakitangan perubatan.

"Sekiranya KKM gagal untuk berbuat demikian, maka kami menganggap KKM sedang menyembunyikan fakta penting dalam kaedah ujian Covid-19 ini.

"... dan berharap KKM mencari kaedah lain yang lebih selamat serta lebih berkesan untuk rakyat Malaysia," tegasnya.


Artikel oleh: Majoriti

PPIM DAKWA BAHAN DALAM UJIAN SARINGAN COVID-19 BOLEH AKIBATKAN KANSER

https://majoriti.com.my/berita/2021/12/11/ppim-dakwa-bahan-dalam-ujian-saringan-covid-19-boleh-akibatkan-kanser

Thursday, December 9, 2021

6081) 'KENAPA SAF MASJID MASIH 1 METER, VIRUS TAK MINAT DEKAT PREMIS LAIN KE? - MAJORITI - 08/12/2021

 

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa supaya mengkaji semula penguatkuasaan standard operasi prosedur (SOP) di semua premis dalam apa jua keadaan supaya ia tidak kelihatan seperti sebuah jenaka.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membangkitkan perkara itu, apabila membandingkan penjarakan fizikal yang tidak sama ketika orang ramai berada di beberapa premis dengan para jemaah yang menunaikan solat di masjid.

PPIM mendakwa, terdapat pelanggaran SOP di pasaraya, pasar malam serta tempat tumpuan orang ramai yang lain selepas beberapa kelonggaran pergerakan diumumkan.

Katanya, perkara sama berlaku di lapangan terbang, yang mana para penumpang dikehendaki mematuhi SOP sebelum menaiki pesawat, namun mereka duduk bersebelahan di kabin.

"Perlawanan bola sepak antara pasukan JDT dengan pasukan KL City telah membuatkan pengguna dan rakyat tertanya-tanya apakah sudah ada kelonggaran SOP ketika kita masih bergelut dengan wabak Covid-19?" soalnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Namun, katanya, keadaan berbeza apabila jawatankuasa di masjid-masjid bertegas untuk menguatkuasakan SOP dan masih selesa dengan saf-saf yang berjarak antara 1 hingga 1.5 metet antara jemaah.

"Ia umpama virus ini hanya akan berkunjung ke masjid-masjid dan surau-surau dan tidak berminat untuk menghadirkan diri di tempat-tempat awam lain," katanya kesal.

Mengulas lanjut, PPIM berkata, rakyat kini bosan dengan keadaan itu manakala kerajaan disifatkan seolah-olah tidak begitu teliti dan peka terhadap perbezaan dari sudut layanan terhadap beberapa keadaan, terutama yang melibatkan aktiviti merangsang ekonomi.

"Masjid dan tempat ibadat mungkin disifatkan sebagai tempat yang tidak memberikan apa- apa manfaat ekonomi maka SOPnya perlu ketat kerana ramai atau sedikitnya jemaah tidak memberikan kesan yang ketara.

"Jikalau inilah sikap kerajaan, maka ia adalah amat menyedihkan dan boleh dianggap bahawa pihak berkuasa terus memperkecilkan institusi kerohanian sebagai satu sumber penyelesaian yang paling ampuh untuk wabak ini. Lakonan sandiwara Covid-19 ini perlu dihentikan segera," tegasnya.


Artikel oleh: Majoriti

'KENAPA SAF MASJID MASIH 1 METER, VIRUS TAK MINAT DEKAT PREMIS LAIN KE?

https://majoriti.com.my/berita/2021/12/08/039kenapa-saf-masjid-masih-1-meter-virus-tak-minat-dekat-premis-lain-ke039

Thursday, November 25, 2021

6046) 'SUDAHLAH KITA RAGU KEBERKESANAN VAKSIN, SEKARANG NAK LANJUT JANGKA HAYAT PULA?' - MAJORITI - 24/11/2021

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melanjutkan jangka hayat vaksin Covid-19 yang bakal tamat tempoh tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan mempersoalkan sekiranya keputusan untuk melanjutkan jangka hayat bagi vaksin jenis Pfizer dan Sinovac itu tidak mendedahkan sebarang risiko kepada para pengguna.

“Sudahlah kita meragui status vaksin terhadap keberkesanannya dalam menjamin kesihatan manusia dan kini, kita tiba-tiba dibebankan dengan vaksin-vaksin yang tamat jangka hayatnya.

“Para pembekal vaksin sepatutnya memikul tanggungjawab termasuk menyerap kos berkaitan sekiranya ada vaksin yang telah luput tarikh.

"Kalau dalam peraturan makanan pun kita amat peka dengan tarikh luput, apatah lagi dengan bekalan vaksin yang kita tidak maklum akan tindak balasnya kerana kita tidak mempunyai apa-apa rujukan lagi tentang kesan-kesannya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, KKM meluluskan permohonan variasi daripada syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. dan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd untuk melanjutkan jangka hayat bagi vaksin Covid-19 mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia masing-masing bagi Coronavac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dan Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.

Katanya, pelanjutan tempoh jangka hayat produk berkenaan telah diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.

Tambahnya, pengilang diberi masa enam bulan dari tarikh kelulusan permohonan variasi untuk mengemas kini tarikh luput yang dicetak pada label vial untuk produk vaksin yang akan dikilangkan.

Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan bahawa, tiada seorang pengguna pun yang berhak menerima bekalan vaksin yang telah tamat tempoh.

Beliau berkata, sudah menjadi amalan dalam dunia perniagaan bahawa ubat-ubatan yang telah tamat tarikh luput dilarang keras untuk dijual kepada orang ramai.

Justeru, katanya, vaksin yang telah tamat tempoh merupakan satu kesilapan Dasar dan Perancangan KKM.

"Apabila melibatkan keselamatan dan kesihatan ianya perlu dikaji sepenuhnya dengan bukti dan tidak dengan mudah memberi kebenaran berdasarkan kelulusan oleh “Badan Berkuasa Antarabangsa” yang dilaporkan ada menyebabkan kecacatan dan kecederaan.

“Ini merupakan satu kerugian yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan itu sendiri dan kerugian akibat vaksin tidak digunakan tidak boleh diserap melalui penambahan atau pelanjutan tempoh hayat sesuatu vaksin,” katanya.


Artikel oleh: Majoriti

'SUDAHLAH KITA RAGU KEBERKESANAN VAKSIN, SEKARANG NAK LANJUT JANGKA HAYAT PULA?'

https://majoriti.com.my/berita/2021/11/24/039sudahlah-kita-ragu-keberkesanan-vaksin-sekarang-nak-lanjut-jangka-hayat-pula039

Friday, October 29, 2021

6008) JANGAN SEKADAR RETORIK, PASTIKAN NAMA ARAK TIMAH DITUKAR - PPIM - MAJORITI - 29/10/2021

 

KERAJAAN perlu bertegas dengan memastikan syarikat pengeluar arak jenama Timah benar-benar serius untuk menukar label jenama dan imej pada arak keluaran mereka, dan bukannya hanya cakap-cakap retorik sekadar menenangkan keadaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana status Malaysia sebagai negara Islam akan terus diperlekeh jika tiada penegasan dalam isu terbabit.

"Isu nak tukar nama ni perlu serius dan dibuat betul-betul. Kena ada satu bentuk penegasan daripada pihak kementerian dan agensi penguatkuasaan.

“Kalau negara mahu terus dihormati, kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini supaya yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita apabila berada di negara ini," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pertukaran nama arak jenama Timah selepas wakil syarikat berkenaan bersetuju berbuat demikian dalam pertemuan mereka dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan pada Khamis berkata, syarikat berkenaan memohon tempoh selama satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mengenai penukaran nama dan imej pada label produk berkenaan.

Sementara itu, dalam nada kecewa, Nadzim berkata, dari sudut pandang yang lebih luas, kerajaan perlu lebih peka dan responsif dalam isu-isu sedemikian demi menjaga sensitiviti umat Islam.

"Mungkin ada beberapa lagi jenama-jenama produk haram menggunakan nama bercirikan kemelayuan di pasaran, yang kita terlepas pandang, jadi kena sensitif.

"Kalau bukan nama produk pun, ada lagi banyak benda lain yang kerajaan perlu peka contohnya amalan riba dan sebagainya. Ini pun umat Islam janganlah tutup sebelah mata," katanya.

Kontroversi arak berjenama Timah tercetus sejak minggu lalu selepas pemilihan nama itu hebat diperdebatkan di media cetak dan elektronik, malah ia turut menjadi topik hangat dibahaskan di Dewan Rakyat.


Artikel oleh: Majoriti

JANGAN SEKADAR RETORIK, PASTIKAN NAMA ARAK TIMAH DITUKAR - PPIM

https://majoriti.com.my/berita/2021/10/29/jangan-sekadar-retorik-pastikan-nama-arak-timah-ditukar--ppim?fbclid=IwAR39vCPONfNIvUJ3qLRoL5SYPV2TcoHRAg3csanqG6mW1vcuFvY68qmVLVw

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL