Showing posts with label KENYATAAN AKHBAR. Show all posts
Showing posts with label KENYATAAN AKHBAR. Show all posts

Wednesday, August 18, 2021

5866) SAMBUT BAIK KENYATAAN TIMBALAN YANG DIPERTUA MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG (MUIP) - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 17/08/2021

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut pendirian dan keterbukaan kenyataan YAM. Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al’Mustafa Billah Shah, SSAP, SIMP, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang mengenai keputusan hukum pengambilan vaksin Covid-19 di Negeri Pahang sebagai Harus (dibenarkan, bukan diwajibkan).

PPIM amat bersetuju dengan pendirian YAM Tengku Panglima berhubung perkara bakal wujud gejala Medical Apartheid di kalangan masyarakat Islam akibat terpengaruh dengan kecenderungan diskriminasi perubatan.

PPIM amat bimbang umat Islam kini sudah mula berpecah dan tiada persefahaman akibat kelemahan dan ketidakstabilan politik negara ditambah dengan keadaan negara yang masih tidak dapat melandaikan lengkungan wabak Covid-19 yang ternyata semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Kami menggesa agar pihak-pihak penguasa lain bersama-sama memikirkan jalan terbaik bagi menyelesaikan dilema ini dengan segera dan mengelakkan gejala ini dari terus menular dan memburukkan lagi hubungan antara umat Islam di seluruh negara. 


Tuesday, February 16, 2021

5406) HENTIKAN PERPECAHAN KAUM SENDIRI - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 16/02/2021

Kuala Lumpur, 16 Feb -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kaum Melayu di negara ini mengabaikan cubaan memecahbelahkan mereka. Ia amat menyedihkan apabila perpecahan yang berlaku adalah di kalangan kaum Melayu sendiri.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan merasa amat kesal dengan situasi yang berlaku sekarang khususnya dalam arena politik negara.

“Perkara ini amat memalukan kerana yang mahu memecahbelahkan kaum Melayu adalah orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Adakah orang Melayu sudah hilang rasa malu dan selesa bergaduh secara terbuka di hadapan orang lain?

Nadzim berpendapat masyarakat Melayu di negara ini amat mementingkan diri tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada perbuatan mereka sendiri.

“Adakah kita mahu orang Melayu di sini menerima nasib yang sama seperti kaum Melayu Champa atau kaum Rohingya yang kini mengemis di negara sendiri?

Melihat perkembangan terkini terutama dalam dunia politik negara, saya bimbang dan mahu rakyat lebih bijak menilai apakah keutamaan kaum Melayu masa kini,” katanya.

Tambah Nadzim lagi, ahli politik Melayu sepatutnya belajar dari parti DAP dan MCA yang tidak memecahbelahkan kaum Cina negara ini walaupun mereka tidak sependapat dalam arena politik.

“Kita pilih nak lemah atau nak kuat dan dihormati. Jika kita bersatu, kita dihormati dan jika kita berpecah kita akan lemah dan akan dihina.

Buatlah pilihan bijak dan perlu buang kesombongan dan sanggup berkorban seperti bangsa-bangsa yang berjaya,” katanya.

Nadzim menyeru rakyat Malaysia khususnya orang Melayu di negara ini untuk bertindak dan menguatkan perpaduan di kalangan kaum Melayu dan mengabaikan pihak yang cuba memecahbelahkan orang Melayu.

“Kesan perpecahan kaum ini amat bahaya, jika bukan sekarang, saya khuatir kita akan kehilangan ketuanan Melayu dan nasib kita semua akan berakhir dengan tragedi,” katanya.

Friday, November 27, 2020

6101) PEMBANGUNAN VAKSIN TEMPATAN PERLU DISEGERAKAN - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 27/11/2020


Penularan COVID-19 seharusnya menjadi satu pengajaran buat negara ini tentang betapa kritikalnya kita mengorak langkah membangun dan menghasilkan vaksin sendiri yang pasti menitikberatkan aspek halal.

Umat Islam khususnya, juga terpaksa berhadapan dengan keadaan darurat apabila terpaksa divaksinasi dengan vaksin yang mempunyai unsur-unsur haram setiap kali menunaikan haji dan umrah. Walaupun diharuskan pengambilannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kita perlu peka dan bertanya sampai bila kita harus bergantung kepada keputusan fatwa ini sedangkan kita mempunyai kemampuan dari segi kepakaran dan kewangan yang cukup untuk membangunkan vaksin, khususnya vaksin halal.

Setakat ini, Malaysia mengimport sepenuhnya keperluan vaksin negara yang sudah tentunya menelan belanja berbilion-bilion ringgit. Dengan penularan wabak COVID-19 ini negara terpaksa menyediakan dana yang lebih untuk mengvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus atau lebih 20 juta rakyat Malaysia untuk mencapai tahap ‘herd immunity’.

Sehingga kini, negara masih lagi belum mempunyai pusat atau mana-mana agensi yang menjurus ke arah penghasilan vaksin berikutan ketiadaan infrastruktur yang diperlukan, walaupun negara mempunyai sejumlah pakar vaksin yang berkelayakan.

Kami menggesa kerajaan agar mewujudkan satu agensi khusus untuk pembangunan vaksin memandangkan ancaman wabak kini semakin membimbangkan. Kita telah berhadapan dengan gejala virus Nipah, SARS, MERS-CoV dan lain-lain tetapi kita juga harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan penularan semula wabak-wabak ini seperti penularan semula wabak Tuberculosis, Kusta, Polio dan sebagainya.

Negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand sudah pun memperkasakan kepakaran, kemudahan dan keupayaan mereka untuk menghasilkan vaksin sendiri, dan kita yakin Malaysia mempunyai beberapa kelebihan dari segi kemudahan infrastruktur, pakar-pakar dan kewangan yang kukuh.

Sampai bila negara perlu menagih ikhsan dari negara pengeluar untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi berikutan penularan pantas seperti COVID-19 ini? Negara pengeluar sudah pasti akan mengutamakan penduduk mereka dahulu sebelum mengeksport bahan itu kepada negara luar.

Wednesday, November 4, 2020

6057) MENGAPA BIARKAN TERLALU BANYAK TALIAN HARAM? - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 04/11/2020

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) amat terkejut apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia mendedahkan sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan dalam tempoh Januari 2018 hingga Oktober 2020. 

Daripada jumlah itu sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah. Ini bermakna dalam tempoh tersebut seluruh rakyat Malaysia telah terdedah dengan hampir sejuta talian yang meragukan dan boleh menjadi penyebab ke atas gejala-gejala scamming yang heboh baru-baru ini. Talian-talian seperti ini jelas digunakan untuk tujuan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat dan merosakkan masyarakat. 

PPIM menggesa agar pihak berkaitan memberi penjelasan sepenuhnya mengapa setelah hampir sejuta talian yang meragukan didaftarkan, tiada tindakan susulan atau perancangan untuk mengawal keadaan ini dilaksanakan? 

Pihak berkuasa khususnya SKMM seharusnya boleh membuat jangkaan akan kemungkinankemungkinan yang boleh berlaku dalam era teknologi maklumat sekarang. SKMM seharusnya mempunyai jaringan kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam menangani isu-isu utama yang boleh menjejaskan kualiti hidup pengguna. 

Kami menyeru agar SKMM menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merancang dan memperhalusi tindakan-tindakan mereka untuk membendung perkara yang kurang sihat ini. PPIM juga menggesa pihak berkuasa mengesan dan menahan pelaku-pelaku jenayah ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan termasuk pihak-pihak Telco yang menyediakan kemudahan-kemudahan talian ini.

Friday, October 4, 2019

5359) KERAJAAN SUDAH BELANJA RM1 TRILION UNTUK BUMIPUTERA - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 04/10/2019

Cyberjaya, 4 Oktober --  Lebih RM 1 trilion dibelanjakan untuk pembangunan bumiputera. 

Jumlah itu bagaimanapun tidak mampu meningkatkan ekonomi golongan itu apabila 72% bumiputera tidak mempunyai aset di negara ini. 

Menurut Ketua Pengarah Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), Mohd Fadzil Hashim, ia berikutan kegagalan sistem sedia ada untuk mengukuhkan dan memperkasa ekonomi bumiputera. 

Mohd Fadzil yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Ekosistem Ekonomi Islam semalam berkata, melalui pelan tersebut KoPPIM yakin akan dapat membantu meningkatkan ekonomi umat Islam terutama golongan bumiputera di negara ini. 

Lebih membimbangkan, menurut pengasas rangkaian pendidikan jenama Brainy Bunch itu, 50 peratus penyimpan bumiputera yang menabung di Amanah Saham Bumiputera mempunyai tabungan kurang RM600. 

"Selain menangani isu pendapatan isi rumah yang kurang dari RM2000, KoPPIM yakin mampu menyediakan pendidikan percuma kepada semua ahlinya," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi PPIM, Nadzim Johan berkata, KoPPIM akan menjadikan pengguna pemilik ekonomi dan mensasarkan 1 000 000 pengguna Islam menjadi ahli KoPPIM. 

"KoPPIM ditubuhkan untuk menangani isu-isu berkenaan perniagaan pengguna Islam agar terus maju," katanya di majlis pelancaran tersebut di Raudhah City, Cyberjaya, semalam. 

PPIM menyokong semua umat Islam bersatu dan memberi kerjasama dalam usaha KoPPIM meningkatkan ekonomi Islam di negara ini. 

"Kami memerlukan sokongan orang ramai menjadi ahli untuk merealisasikan pendidikan percuma, perubatan dan pinjaman tanpa riba," katanya. 



Thursday, October 3, 2019

5348) KOPPIM MELANCARKAN PELAN EKOSISTEM EKONOMI ISLAM BARU - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 03/10/2019

Cyberjaya, 3 Oktober -- Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) hari ini melancarkan Pelan Ekosistem Ekonomi Islam baru. 

Pengerusi PPIM, Nadzim Johan berkata, KoPPIM akan bertunjangkan tiga teras utama iaitu Pembangunan Ahli KoPPIM, Pembangunan Syarikat Pembayar Zakat dan Pembangunan Eko-Sistem Ekonomi Beretika. 

"Jika kami berjaya merealisasikan perancangan yang kami telah rangkakan ini, KoPPIM bakal menjadi tunjang kekuatan ekonomi Islam di negara ini,” katanya di Majlis Pelancaran Pelan tersebut di Raudhah City, Cyberjaya hari ini. 

Tambah Nadzim lagi, dengan halatuju yang baru, KoPPIM turut melantik Ketua Pengarah Eksekutif yang baru iaitu pengasas rangkaian pendidikan jenama Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim. 

Sebagai CEO KoPPIM yang baharu, Mohd Fadzil telah mengumumkan KoPPIM merancang untuk membuka 100 cawangan Malakat Mall khusus untuk usahawan Bumiputera bagi tujuan meningkatkan ekonomi umat Islam selaras dengan ketiga-tiga teras utama KoPPIM. 

Mohd Fadzil berkata, sistem ekonomi sedia ada telah gagal membawa umat Islam dan orang Melayu khususnya untuk maju dan menjadi penggiat utama ekonomi negara. 

Dengan lebih 1 trillion ringgit dibelanjakan untuk membangunkan ekonomi Bumiputera negara ini, agak mengecewakan apabila Bumiputera masih jauh ketinggalan dalam persaingan ekonomi dan perniagaan. 

"Sebagai contoh daripada keseluruhan RM108 billion nilai pasaran runcit negara (retail supply chain), Bumiputera hanya menguasai sebanyak RM8 billion, manakala baki RM32 billion adalah milik bukan Bumiputera dan lebih membimbangkan RM60 billion dikuasai syarikat asing," katanya.


Friday, June 21, 2019

5007) “PPIM BANTAH PIHAK BERKUASA SUSULAN PENCEMARAN UDARA PASIR GUDANG BERULANG” - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 21/06/2019


KENYATAAN AKHBAR 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyatakan bantahan terhadap pihak berkuasa ekoran insiden pencemaran gas yang melanda di Pasir Gudang semalam. 

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata pihaknya amat kesal dengan kejadian kali ini kerana ia menunjukkan kerajaan tidak ambil serius kejadian sebelum ini. 

"Bantahan kami terhadap pihak berwajib negeri dan persekutuan kerana dianggap gagal dalam menjaga keselamatan pengguna khususnya penduduk Pasir Gudang," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

Selain bantahan terhadap pihak berkuasa, PPIM turut mendesak kerajaan negeri dan pusat memberi penjelasan bagaimana perkara pencemaran udara itu boleh berulang. 

"Sampai bila penduduk harus hidup dalam keadaan begini, apa yang telah dilakukan oleh pihak berwajib dan bagaimana ia boleh berulang?" Tegas Nadzim. 

Nadzim yang mesra dengan panggilan Toqqi, turut menegaskan semua pihak berwajib bertanggungjawab atas apa yang berlaku kali ini. 

"Jika dahulu mereka menyalahkan kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab, kali ini dimana mereka, mengapa tiada pemantauan berkala, dan adakah mereka hanya menjadi bahan ketawa oleh pelaku-pelaku ini sehingga pencemaran berlaku di kawasan yang sama," katanya. 

Nadzim turut menegaskan pihak berkuasa perlu mengadakan lebih pemantauan berkala bagi memastikan kejadian sama tidak berulang. 

"Sejak kejadian pertama pada bulan Mac tahun ini, PPIM masih mendapat aduan terdapat mangsa yang masih mengalami komplikasi perubatan dan kini dengan kejadian kembali berulang, kami amat bimbang dengan tahap keselamatan penduduk disana," katanya. 

Selain risiko masalah kesihatan jangka pendek, kejadian pencemaran gas beracun itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup penduduk dalam jangka masa panjang. 

Kejadian yang merupakan kali kedua tahun ini dan melibatkan 15 pelajar sekolah termasuk lima yang dikejarkan ke hospital. 

Mereka merupakan pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik Mac lalu. 

Pelajar yang terlibat dilaporkan mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang semalam, dipercayai akibat pencemaran udara. 

Sungai Kim Kim yang dicemari toksik pada 7 Mac lalu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara. 

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan.

Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60192199052 Terima Kasih. [TAMAT] 

Monday, June 17, 2019

4986) “PPIM MAHU BERSAMA POLIS MEMBANTERAS SINDIKET JUDI HARAM HINGGA KE AKAR UMBI” - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 17/06/2019


Persatuan Pengguna Islam Malaysia mahu pihak polis dan kerajaan Malaysia mengadakan sebuah pusat saluran maklumat bagi membolehkan rakyat bersama menyertai kempen banteras judi haram. 

"Cadangan ini adalah bagi membolehkan data-data dan butiran mereka yang terlibat dalam industri dikumpul dan diselidik bagi mengenalpasti mereka dan kuncu-kuncu mereka," kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan. 

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Nadzim menyokong penuh komitmen Ketua Polis Negara dalam membanteras jenayah judi. 

Nadzim berkata PPIM telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap penularan masalah sosial itu amat bersetuju dengan pendapat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador.

Menurut Nadzim, semangat dan dedikasi Hamid dalam menentang gejala sosial itu amat dipuji.

"Kami berasa amat bangga apabila akhirnya seorang Ketua Polis memahami impak dan kesan masalah judi ini," katanya dalam sebuah kenyataan disini. 

PPIM yang sinonim dengan membanteras penindasan oleh ahlong di negara ini telah lama menyaksikan bagaimana gejala dan tabiat judi ini menghancurkan masyarakat dinegara ini tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. 

"Kami menyokong seratus peratus usaha ketua polis negara yang mahu membanteras aktiviti perjudian dan bersetuju bahawa judi adalah punca segala masalah," katanya. 

Tambah Nadzim lagi, PPIM sedia berkongsi maklumat dan bekerjasama dengan Polis dalam usaha membanteras Judi dan jenayah lain di negara ini. 

"Sudah tiba masanya rakyat negara ini mengembalikan maruah kita dan bertindak bersama-sama menghapuskan judi dan seterusnya jenayah lain," katanya. 

PPIM berpendapat kempen bersungguh-sungguh membanteras sindiket judi haram hingga ke akar umbi perlu disambut dengan kerjasama oleh semua rakyat Malaysia bagi menentukan perkara ini dapat ditangani. 

Dalam sebuah temuramah eksklusif bersama Utusan baru-baru ini, Hamid menyatakan dedikasi dan komitmen dalam membanteras aktiviti judi haram yang dilihat sebagai punca segala masalah jenayah. 

Di dalam video berdurasi enam minit itu, Hamid berkata pihaknya akan lebih tegas terhadap pemilik pusat judi dan semua anggotanya diberi amaran supaya memutuskan kerjasama dengan sindiket perjudian. 

Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60192199052. Terima Kasih. [TAMAT]  

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL