Showing posts with label KEMALANGAN. Show all posts
Showing posts with label KEMALANGAN. Show all posts

Friday, June 20, 2025

PPIM DESAK MOT, AGENSI BERKAITAN PERKETAT KESELAMATAN KENDERAAN AWAM - SINAR HARIAN - 19/06/2025

 

(MOT) dan pihak berwajib mengambil tindakan tegas serta mewajibkan pelaksanaan langkah khusus terhadap kenderaan awam bagi mengelakkan kejadian kemalangan maut.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memandang serius kekerapan kemalangan melibatkan pengangkutan awam yang menyebabkan kehilangan nyawa, termasuk tragedi membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini serta sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Perak awal Mei lalu.

Menurutnya, kejadian seperti itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, khususnya ibu bapa penuntut yang menyuarakan kegusaran mereka kepada PPIM.

“Cabaran utama dalam isu ini ialah kelajuan, selain faktor lain seperti aspek keselamatan dan keadaan fizikal kenderaan, termasuk penggunaan tali pinggang keledar.

“Perkara ini perlu diberi perhatian, termasuk pelaksanaan audit serta tindakan susulan secara proaktif selepas sesuatu kemalangan berlaku, bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, insiden yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu, bukan disebabkan oleh masalah mekanikal kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa pihak kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan menyiarkan penemuan awal berhubung kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, PPIM turut menekankan pelaksanaan kempen Berani Tegur, yang menggalakkan orang ramai agar tidak takut untuk menegur atau membuat aduan sekiranya pemandu kenderaan memandu dalam keadaan laju dan berbahaya.

Nadzim turut mencadangkan pemasangan sistem siren atau lampu dalam kenderaan awam yang berfungsi memberi amaran secara automatik sekiranya kenderaan dipandu melebihi had laju atau secara berisiko.

“Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan, dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu bertindak segera kerana kita tidak mahu lagi mendengar berita menyayat hati seperti ini.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan penghadang jalan yang lebih selamat (yang mengurangkan risiko kecederaan), selain memberi perhatian kepada faktor keadaan jalan raya seperti jalan berlubang yang berpotensi menyumbang kepada kemalangan maut.

“Kita juga berharap semua kenderaan awam dilengkapi dengan alat dan ciri keselamatan yang dipantau secara rapi,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim menyarankan agar masyarakat berani menegur individu yang melakukan kesalahan dalam apa jua keadaan bagi memupuk budaya cakna dan mencegah kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM DESAK MOT, AGENSI BERKAITAN PERKETAT KESELAMATAN KENDERAAN AWAM

https://www.sinarharian.com.my/article/734571/berita/semasa/kemalangan-bas-ppim-gesa-tindakan-tegas-daripada-mot-pihak-berkuasa

Thursday, June 19, 2025

PPIM GESA MOT WAJIBKAN LANGKAH KESELAMATAN KENDERAAN AWAM - HARIAN METRO - 19/06/2025

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak berwajib mengambil tindakan tegas serta mewajibkan pelaksanaan khusus bagi kenderaan awam untuk mengelakkan kemalangan maut terus berulang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Menteri Pengangkutan Anthony Loke perlu mengambil perhatian serius dan tindakan susulan terhadap kejadian kemalangan maut yang berlaku termasuk mengorbankan 15 penuntut universiti, baru-baru ini.

Katanya, perkara itu juga menimbulkan kerisauan rakyat terutama ibu bapa penuntut yang diadukan kepada pihaknya terhadap kejadian seumpama itu kerana membabitkan nyawa dan keselamatan.

"Cabaran utama kita dalam isu ini adalah kelajuan selain faktor lain seperti isu keselamatan dan fizikal termasuk bas, penggunaan tali pinggang keledar kenderaan.

"Perkara ini perlu dilihat termasuk melakukan audit dan tindakan susulan selepas kemalangan kerana kita mahu mengelakkan ia berulang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga menekankan dan membawa kempen Berani Tegur supaya semua orang tidak takut untuk menegur atau membuat laporan sekiranya pemandu kenderaan memandu dalam keadaan laju dan berbahaya.

Katanya, selain itu sistem pemantauan juga perlu ditingkatkan selain turut mencadangkan pemasangan siren atau lampu dalam kenderaan yang akan berbunyi serta bernyala jika kenderaan itu dipandu laju dan berbahaya.

"Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan dan Anthony juga perlu melakukan sesuatu kerana kita sudah tidak mahu menghadapi berita seumpama ini.

"(Mungkin kerajaan boleh melihat) penghadang jalan baharu yang kurang bahaya (mengurangkan risiko kecederaan) selain faktor keadaan jalan raya yang tak selamat, jalan berlubang berisiko membawa kepada kemalangan maut.

"Kita juga berharap semua kenderaan dilengkapi dengan alat dan aspek keselamatan serta ia dipantau dengan rapi," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM GESA MOT WAJIBKAN LANGKAH KESELAMATAN KENDERAAN AWAM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/06/1231814/ppim-gesa-mot-wajibkan-langkah-keselamatan-kenderaan-awam

KEMATIAN 15 PELAJAR: TINDAKAN RAKYAT SAMAN MENTERI PENGANGKUTAN DAN JKR - SIDANG MEDIA PPIM - 19/06/2025

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius kekerapan kemalangan membabitkan pengangkutan awam sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Apa yang lebih menyayat hati melihat keadaan pengangkutan awam khususnya bas awam yang menjadi pengangkutan utama masyarakat terutama rakyat dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Berbanding dengan kenderaan pengangkutan swasta seperti lori tangki minyak, kenderaan itu dilengkapi pelbagai alat keselamatan dan dipantau rapi.

Sehubungan itu, satu sidang media telah diadakan bagi menggesa pihak berwajib mengambil tindakan tegas dan mewajibkan perlaksanaan khusus untuk kenderaan awam.

Wednesday, March 5, 2014

1183) UTUSAN MALAYSIA 4/3/2014 APABILA EPISOD LAMA DIDENDANG




BARU-baru ini kita dihidangkan dengan tragedi besar di muka hadapan Utusan Malaysia membabitkan tiga kemalangan yang meragut 15 nyawa sekali gus.

Tidak lama dahulu, negara dikejutkan dengan kemalangan ngeri yang meragut hampir 40 nyawa di Jalan Genting Highlands. Malahan sebelum dan sebelumnya banyak kemalangan jalan raya yang sentiasa dipaparkan dan dihebohkan seperti hebahan semasa dan bermusim terutama menjelang musim perayaan.

Sebenarnya, perkara di atas tidak sepatutnya berlaku berulang kali seolah-olah putaran cerita lama yang diberikan nafas baharu.

Mungkin tidak lama lagi jika musim hujan melanda negara ini, akan disajikan pula bencana tanah runtuh dari kawasan yang sama dan apabila musim kemarau, kita pula akan menghadapi jerebu dalam suasana serupa atau lebih buruk daripada sebelumnya.

Kini musim kemarau, maka kebakaran dan seterusnya jerebu berlaku dan yang sedang perit dihadapi adalah catuan bekalan air. Masing-masing saling tuding-menuding dan saling membenarkan kenyataan sendiri. Di satu pihak pengguna diberi jaminan bekalan air mencukupi. Maka pengguna menarik nafas lega sebab kononnya bekalan air tidak akan terjejas hatta diberi jaminan boleh bertahan sehingga 75 hari.

Di pihak lain pula dikeluarkan jadual catuan bekalan air yang bukan sahaja berlaku selang sehari tetapi berlanjutan kepada dua hari pada satu ketika. Cerita sandiwara apa yang sedang dimainkan oleh semua pihak sekarang?

Pepatah ada mengatakan, sekiranya kali pertama kita terperosok ke dalam lubang mungkin sebab kita alpa. Terperosok kali kedua, mungkin kita lupa tetapi apabila terperosok di lubang sama berkali-kali tentunya ia sepatutnya tidak boleh berlaku lagi.

Apa tidaknya, saban masa perkara yang sama berulang. Dalam kes kemalangan cuma mungkin angka korbannya sahaja yang berbeza. Kemudian hebohlah pelbagai pihak membuat cadangan, perancangan dan tindakan-tindakan yang kononnya boleh mencegahnya daripada berulang.

Kemudian masa berlalu, senyap seketika dan seolah-olah semua pihak sudahpun melaksanakan semua program, kajian dan tindakan yang perlu. Namun apabila tragedi tetap berlaku maka diketahui umum apa yang dirancang tidak dilaksanakan dan apa yang dicanang sebenarnya hanya terperuk di pejabat semata-mata.

Mungkin sebelum ini tiada badan penyelaras seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Tetapi dengan tertubuhnya SPAD nampaknya ia tidak juga dapat diatasi atau dikurangkan.

Tentunya masyarakat pengguna tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku dan di mana salah atau silapnya sehingga ia semacam tiada noktah. Inilah yang kita katakan sebagai satu budaya baru agensi pelaksana negara kita yang kononnya mahu mencapai status berkelas dunia. Budaya ‘sudah terhantuk pun belum lagi terngadah’.

Amat jelas sekali dilihat di jalan raya di seluruh negara ketika ini kenderaan komersial dan bas awam, teksi dan limosin dipandu umpama di litar lumba. Mereka berlumba sesama sendiri dan dengan garangnya membunyikan hon, menyalakan lampu dan menghimpit kenderaan persendirian yang bergerak mengikut kelajuan sederhana di lorong-lorong yang ditetapkan.

Tidak cukup dengan itu, bas ekspres dan lori menjadikan lorong paling kanan tempat mereka bersantai sehingga berjam lamanya tanpa mempedulikan puluhan kenderaan di belakang yang terpaksa mengekori hingga menjadikan pemanduan di lebuh raya umpama jalan kampung yang bergerak perlahan dan kadang-kala jammed pula.

Hairan, pelik dan ajaib pemandu kenderaan komersial ini seperti kebal daripada tindakan kerana kalau pemandu biasa tentu sudah disenaraihitamkan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan. Malah amat jarang kita melihat kenderaan terbabit ditahan oleh pihak berkuasa berbanding pengguna biasa sehingga menimbulkan persepsi negatif seolah-olah ada jaringan kerjasama dua hala antara mereka demi kepentingan komersial dan peribadi.

Para pemandu generasi muda pula lumrah memandu di lorong ikut suka dan tidak akan berubah arah meskipun kita memberikan isyarat untuk memotong kenderaan mereka. Lebih menyakitkan hati dengan memegang telefon, merokok atau sambil makan dan bergurau senda seolah-olah jalan raya milik mereka. Mereka ini tidak faham langsung prosedur penggunaan lorong di lebuh raya kerana tidak termasuk di dalam kurikulum sekolah memandu sewaktu mengambil lesen dahulu.

Tentunya sikap ini mengundang rasa marah dan tidak selesa kepada orang lain. Lebih buruk lagi ia boleh menimbulkan pergaduhan dan kadang-kala mengakibatkan kemalangan apabila masing-masing tidak mahu mengalah.

Justeru dalam pelaksanaan proses penambahbaikan, soal pencegahan dan pemulihan oleh pihak berwajib juga perlu diberi perhatian. Sesuatu yang amat serius perlu dilakukan terhadap sistem penyampaian sedia ada kerana ternyata telah gagal.

Kalau hari-hari pengguna terpaksa menadah air, menunggu bekalan atau terpaksa berikhtiar membeli air botol untuk kegunaan domestik maka telah tiba masanya mereka bertindak supaya pihak pembekal dan berwajib beroleh pengajaran berguna bagi memperbaiki perkhidmatan.

Adalah tidak keterlaluan jika para pengguna mewujudkan tribunal bagi menuntut hak mereka dan meminta pihak pembekal membayar semula sekurang-kurangnya rebat dan gantirugi kesusahan yang terpaksa ditanggung selama catuan air dilaksanakan.

Ini kerana sewaktu senang, pembekal tidak pernah mahu berkongsi kesenangan mereka dengan pengguna.

Untuk kes kemalangan jalan raya juga tidak boleh dipandang ringan. Agensi pelaksana seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis trafik, Lembaga Lebuh Raya, SPAD dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta Jabatan Kerja Raya perlu dilihat mampu berinteraksi dengan satu strategi yang lebih ampuh seperti Strategi Lautan Biru Kebangsaan agar permasahan dapat diselesaikan secara menyeluruh dan tidak hanya bertumpu kepada satu isu pada satu masa sahaja.

Mungkin pengguna boleh meminta pihak berkaitan memansuhkan cukai jalan dan menurunkan tol, premium insurans dan sebagainya bagi memastikan kepentingan mereka benar-benar dijaga dengan penuh dedikasi dan komited.

Tragedi di atas sebenarnya lebih terkesan kepada para pengguna. Mungkin pembuat dasar dan pemilik syarikat pembekal tidak akan acuh dan peduli sekiranya para pengguna tidak bangun menuntut hak mereka.

Adalah diharapkan agar semua yang terlibat mengambil iktibar dan mula bergerak memperbaiki apa sahaja yang perlu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi. Ini kerana semua yang berlaku bukan sahaja merugikan negara dari segi ekonomi tetapi memberikan petunjuk dan gambaran buruk kepada masyarakat luar negara mengenai kekurangan perhatian kita terhadap soal kepenggunaan yang saban masa selalu menjadi mangsa keadaan.

Masyarakat pengguna ingin bukti bahawa mereka didahulukan dan semua perkhidmatan mestilah ditransformasi penambahbaikannya. Sekiranya sistem sedia ada tidak berfungsi, tukar sahaja yang baru, kiranya jentera tidak baik cari yang baru. Kena tukar sebelum terlambat takut nanti umpama dendangan lagu Shidee "sayang semuanya, sudah terlambat".


DR. AHMAD ZAKI ISMAIL ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL