Showing posts with label HOSPITAL DAN KLINIK KERAJAAN. Show all posts
Showing posts with label HOSPITAL DAN KLINIK KERAJAAN. Show all posts

Thursday, January 28, 2021

5337) CAJ RM1,000 TAK MASUK AKAL! - HARIAN METRO - 28/01/2021

 


Ada pusat perubatan serta klinik swasta didakwa mengenakan caj sehingga RM1,000 kepada setiap individu yang menjalankan ujian saringan Covid-19. 


Ia didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (gambar) yang mendakwa sudah menerima beberapa aduan berkaitan caj melampau terbabit.


“PPIM dimaklumkan, ada pusat perubatan dan klinik swasta yang mengenakan caj antara RM700 hingga RM1,000 bagi setiap individu yang menjalani ujian saringan Covid-19.


“Harga itu tidak masuk akal dan membebankan pengguna. Pihak terbabit dilihat sengaja mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka.


“Dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19, sudah tentu bukan mudah untuk orang ramai membelanjakan kos yang tinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas pelepasan misi bantuan pasca banjir di pejabat PPIM di sini, semalam.


Nadzim berkata, tindakan pusat perubatan terbabit boleh dianggap sebagai satu penipuan dan perlu dipandang serius oleh kerajaan.


Tambahnya, kerajaan perlu campur tangan dan mengawal kos saringan Covid-19 membabitkan pusat perubatan swasta bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.


“Jangan ada sampai RM1,000 atau lebih. Itu membebankan, saya yakin pihak hospital pun ada tanggungjawab sosial untuk membantu dalam keadaan darurat dan kesulitan dihadapi ketika ini,” katanya.


Sementara itu, ditanya berkaitan kenaikan harga barangan terutama bekalan makanan mentah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau tidak menafikan ada peniaga mengambil kesempatan disebabkan bekalan yang terhad.


“Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu melakukan pemantauan bagi mengelak situasi lebih buruk.


“Saya juga setuju dengan cadangan masyarakat yang meminta skim kawalan harga diadakan bagi mengawal harga barangan keperluan seperti yang dilakukan ketika musim perayaan,” katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

CAJ RM1,000 TAK MASUK AKAL!

Saturday, July 25, 2020

6149) PENINGKATAN CAJ KE RM5 MUNASABAH - UTUSAN MALAYSIA - 24/07/2020


KUALA LUMPUR: Nilai RM1 caj pesakit luar di hospital dan klinik kerajaan disifatkan terlalu rendah hingga boleh dianggap sebagai percuma.

Cadangan supaya caj itu di-tingkatkan bagi membolehkan kerajaan mengumpul dana mencukupi untuk membaik pulih dan menyelenggara hospital yang daif dianggap munasabah oleh beberapa persatuan pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bayaran rendah sebegitu menyebabkan sesetengah pesakit tidak menghargai perkhidmatan yang diberikan.

Katanya, pihak PPIM pernah menerima aduan tentang ubat-ubatan yang dibuang dan dibazirkan oleh pesakit mungkin kerana diperoleh dengan harga yang sangat murah.

“RM1 ini macam tak ada (harga) langsung. Dan ia buat orang tidak hargai (perkhidmatan), ada yang buang dan tak makan ubat.

“Bagi yang tak ada duit, kita boleh minta mereka buat permohonan, isikan butiran dan kalau memang tak ada duit kita bagi percuma pun tak apa. Yang ada duit ini, kita boleh naikkan caj tapi jangan mahal sangat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin akhbar ini mela­porkan terdapat sekurang-ku­rangnya 46 hospital daif di seluruh negara yang perlu dibaik pulih.

Perkara tersebut disahkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut bersetuju dengan cadangan menaikkan caj pesakit luar dari RM1 kepada RM5 untuk menampung kos baik pulih hospital-hospital tersebut.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason berkata, kenaikan caj tersebut adalah munasabah namun kerajaan perlu memastikan hasil kutipan caj tersebut digunakan untuk menaik taraf fasiliti kesihatan.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PENINGKATAN CAJ KE RM5 MUNASABAH

https://www.utusan.com.my/nasional/2020/07/peningkatan-caj-ke-rm5-munasabah/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL