PETALING JAYA:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan penubuhan satu
jawatankuasa khas bagi mengkaji, merancang dan menggerakkan usaha penukaran
status tanah pajakan (leasehold) kepada pegangan kekal (freehold) di kawasan
Datuk Keramat secara menyeluruh.
PPIM berkata,
penubuhan jawatankuasa itu penting bagi memastikan isu berkenaan dapat
diselesaikan secara tersusun dengan penglibatan pihak berkaitan, khususnya
wakil rakyat kawasan terbabit.
“PPIM mencadangkan
penubuhan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji, merancang dan menggerakkan
usaha penukaran status tanah secara menyeluruh, khususnya melibatkan wakil
rakyat kawasan terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya,
pendekatan bersepadu itu perlu dilaksanakan segera bagi menjaga kepentingan
jangka panjang penduduk yang telah lama menetap di kawasan berkenaan.
Katanya, Datuk
Keramat merupakan antara penempatan tradisi masyarakat Melayu di ibu negara
yang mempunyai nilai sejarah, warisan dan identiti tersendiri, selain kawasan
seperti Kampung Baru dan Kampung Pandan.
PPIM berkata,
sekiranya terdapat kawasan lain yang telah menikmati status pegangan kekal,
maka pertimbangan sama wajar diberikan kepada pemilik tanah di kawasan tradisi
Melayu itu.
“Cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu diyakini mampu membuka ruang penyelesaian yang lebih tersusun, telus dan mampan dalam memelihara warisan serta hak penduduk setempat,” katanya.
Artikel oleh:
Utusan Malaysia
PPIM CADANG JAWATANKUASA KHAS STATUS TANAH DATUK KERAMAT
https://www.utusan.com.my/nasional/2026/06/ppim-cadang-jawatankuasa-khas-status-tanah-datuk-keramat/

No comments:
Post a Comment