KUALA LUMPUR — Fenomena tular di media sosial kini dilihat semakin mempengaruhi cara masyarakat, pihak berkuasa dan kerajaan bertindak balas terhadap pelbagai isu yang berlaku dalam negara.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, banyak masalah yang berlarutan untuk tempoh yang lama akhirnya mendapat perhatian serius selepas ia menjadi tular menerusi video, gambar atau perkongsian di media sosial.
Menurut beliau, apabila sesuatu isu menjadi perhatian umum, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat akan mula memberi tumpuan untuk mencari penyelesaian.
“Sudah banyak contoh masalah yang berlaku dalam negara yang berlarutan untuk jangka masa lama tetapi boleh selesai apabila perkara terbabit tular.
“Ada juga masalah yang sudah lama wujud tetapi hanya dilihat pihak berkuasa selepas ia menjadi viral,” katanya kepada Suara TV.
Beliau berkata, fenomena tersebut menunjukkan media sosial kini mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk kesedaran awam dan menggerakkan tindakan terhadap sesuatu isu.
Menurut Nadzim, terdapat keadaan di mana wakil rakyat sendiri hanya turun padang selepas sesuatu masalah mendapat perhatian meluas di media sosial.
Katanya, perkara itu menggambarkan bagaimana kuasa viral telah menjadi pemangkin kepada tindakan yang lebih pantas dalam menangani isu rakyat.
Sehubungan itu, beliau berpandangan sudah tiba masanya kerajaan, rakyat dan pertubuhan masyarakat sivil berganding bahu dalam memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lebih berkesan dan responsif.
“Jika wakil rakyat tidak mampu menjalankan tugas dengan baik, rakyat akan terus berdepan dengan masalah tersebut dan ia boleh berlarutan sehingga menjadi lebih buruk.
“Apabila ia viral barulah ia mendapat perhatian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kuasa media sosial boleh membawa kesan positif atau negatif bergantung kepada cara ia digunakan, justeru semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat bagi memastikan isu yang diketengahkan berasaskan fakta dan realiti sebenar.
Artikel oleh: Demi Rakyat Channel
KUASA VIRAL LEBIH BERKESAN DARIPADA ADUAN? UJAR TOQQI

No comments:
Post a Comment