Wednesday, December 31, 2025

PPIM GESA SISTEM TAMBANG TAWAR-MENAWAR DALAM INDUSTRI E-HAILING DIHAPUSKAN - HARIAN METRO - 31/12/2025

 

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) digesa supaya menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar dalam industri e-hailing.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, kementerian juga harus mengawal kadar tambang e-hailing dengan menetapkan kadar tambang lantai demi memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri itu.

Menurutnya, PPIM mengakui sistem tambang tawar-menawar memberikan kelebihan kepada pengguna, namun kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing tidak boleh diketepikan.

"Adalah amat mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang menjalankan tawar-menawar tambang, sedangkan perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan, walaupun Menteri Pengangkutan sendiri pernah menyatakan bahawa kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang tawar-menawar beroperasi di Malaysia.

"Justeru, kementerian dan APAD seharusnya menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem Industri Gig Sektor E-Hailing, merangkumi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut PPIM, isu penurunan kadar tambang kini menjadi semakin kritikal dan tidak terkawal sejak pelaksanaan sistem tambang bidding di Malaysia sehingga menekan pendapatan pemandu serta menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.

"PPIM menegaskan bahawa syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa," katanya.

Pada 23 Disember lalu, APAD dalam kenyataan memaklumkan kerajaan tidak mengawal selia dasar tambang bagi perkhidmatan e-hailing dan penetapan kadar tambang ditentukan oleh konsep permintaan dan penawaran.

Menurut APAD, perkhidmatan e-hailing adalah satu perkhidmatan gig ekonomi di mana ia bersifat pasaran terbuka dan operasi syarikat adalah berbeza-beza.

Menurut peraturan APAD iaitu syarat-syarat lesen yang perlu dipatuhi bahawa pemegang lesen hendaklah memastikan pemandu tidak tawar-menawar selepas berjaya mendapat tempahan, sebaliknya memberikan perkhidmatan berdasarkan tempahan yang diterima.

Kementerian Pengangkutan kini sedang menjalankan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam (PSPA) yang antara lain mengkaji kewajaran mengawal selia tambang e-hailing.

Hasil kajian tambang lantai e-hailing itu akan dibentangkan untuk pertimbangan lanjut.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM GESA SISTEM TAMBANG TAWAR-MENAWAR DALAM INDUSTRI E-HAILING DIHAPUSKAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1305648/ppim-gesa-sistem-tambang-tawar-menawar-dalam-industri-e-hailing-dihapuskan?utm_source=WA-HM&utm_medium=social&utm_campaign=WATraffic

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL