KUALA LUMPUR, 23 Disember 2025 - Di sebalik kejayaan besar atlet memanah berkuda negara di pentas dunia, realiti sebenar yang dihadapi adalah cabaran kewangan yang sangat mencabar, khususnya melibatkan kos pelatihan dan penjagaan kuda.
Menurut Muhammad Akmal Muhammad Dahlan, jurulatih pasukan junior negara, perbelanjaan untuk menembusi kejohanan bertaraf dunia bukan sahaja melibatkan yuran pendaftaran dan tiket penerbangan, malah kos pelatihan yang tinggi menjadi beban terbesar kepada pasukan.
"Dalam memanah berkuda, bukan satu atlet sahaja yang kita latih, tetapi dua - anak-anak murid dan juga kuda itu sendiri. Kuda perlu dijaga, diberi makan, dirawat dan dilatih secara berterusan, dan ini memerlukan kos yang sangat besar," katanya.
Walaupun berdepan kekangan kewangan, pasukan memanah berkuda negara tetap berusaha keras mencari alternatif bagi menampung perbelanjaan, termasuk menjalankan aktiviti perniagaan kecil seperti penjualan produk makanan.
"Alhamdulillah, setakat ini kami berjaya meminimakan kos dan berusaha sedaya upaya untuk terus bertahan demi memastikan atlet-atlet ini dapat mengharumkan nama negara," ujarnya.
Beliau turut menyeru mana-mana pihak yang berkemampuan agar tampil memberikan sokongan, sama ada dalam bentuk penajaan kewangan mahupun sokongan moral, bagi membuka lebih banyak peluang kepada atlet muda Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.
DaIam perkembangan yang membanggakan, Muhammad Akmal mendedahkan bahawa Malaysia kini dianggap antara kuasa besar dunia dalam sukan memanah berkuda, khususnya selepas kejayaan luar biasa sepanjang tahun 2025.
"Tahun ini, kami berjaya memenangi banyak gelaran dunia dan World Cup. Nama Malaysia kini sudah mula menjadi perbualan dan kegusaran jurulatih serta atlet memanah berkuda dunia," katanya.
Antara kejayaan terbesar termasuk kemenangan bergaya di World Kids Championship IHA 2025 di Bogor, Indonesia, yang menyaksikan Malaysia menewaskan negara-negara Eropah, serta kejayaan mengungguli World Horseback Archery Global Mastership 2025 di Shenzhen, China, menewaskan kuasa-kuasa besar Timur dan Barat.
Mengulas perancangan 2026, pasukan junior negara menyasarkan untuk mengekalkan dominasi dunia, termasuk penyertaan dalam World Horseback Archery Championship 2026 di Mongolia dan World Nomad Games di Kazakhstan, selain kembali bersaing di China dalam kejohanan hujung tahun.
Namun, Muhammad Akmal mengakui persaingan bakal menjadi lebih sengit, terutama apabila bertemu negara-negara yang mendapat sokongan penuh kerajaan dan teknologi latihan canggih.
"Walaupun kami pemah mengalahkan mereka, cabaran akan jadi jauh lebih besar. Sebab itu kami sangat memerlukan sokongan semua pihak untuk latihan, perjalanan dan penyertaan kejohanan," katanya.
Beliau yakin, dengan sokongan padu rakyat Malaysia, atlet muda negara mampu terus mencipta sejarah dan kekal duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan juara dunia lain.
MemanahBerkuda #AtletMalaysia #MalaysiaJuaraDunia #HorsebackArchery #SukanTradisional
Sumber: AATVMEDIA (TikTok)
DI SEBALIK KEJAYAAN DUNIA: KOS KUDA & LATIHAN JADI CABARAN TERBESAR ATLET NEGARA
https://www.tiktok.com/@aatvmedia.officials/video/7586933195409591572?_r=1&_t=ZS-92SF1vJ56oi
No comments:
Post a Comment