Monday, November 2, 2020

6050) TANDATANGAN BORANG KOSONG CARA AH LONG, PEGUAM RAMPAS ASET PEMINJAM - MALAYSIA POST - 31/10/2020

 


MENANDATANGANI borang perjanjian kosong adalah modus operandi ah long atau ceti haram dengan kerjasama firma guaman tertentu untuk merampas aset peminjam yang gagal menjelaskan bayaran pinjaman.

Mendedahkan kewujudan kerjasama itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) percaya peguam yang terbabit bertindak selaku penasihat bagi memastikan proses penukaran hak milit aset perminjam berjalan lancar tanpa melanggar undang-undang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata jumlah kes berkaitan penipuan ah long yang diterima Unit Banteras Ceti Haram ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati meningkat sehingga 40 peratus daripada kebiasaan.

“Suruh tandatangan kertas kosong bukan perkara baharu, cara sedemikian sudah lama berlaku. Ada peguam bekerjasama dengan sindiket ah long supaya senang nanti hendak pindah milik rumah, kereta dan lain-lain milik mangsa.

“Sejak PKP tambahan pula moratorium tamat September lalu, kes yang PPIM terima meningkat sehingga 40 peratus. Lebih teruk sebab mangsa yang terlibat tak berani nak melawan sebab ah long pun pakai peguam,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Nadzim berkata, terdapat juga kes peminjam secara sah memindah aset kepada ah long meskipun menyedari baki hutang tidak setara dengan nilai kereta atau hartanah yang terpaksa dikorbankan.

“Apabila tak dapat bayar, ah long ugut bunuh dan sebagainya. Sebagai penyelesaian mereka terpaksa tukar hak milik aset-aset.

“Keadaan sebegini agak sukar kalau dibawa ke mahkamah kerana mangsa yang berbuat demikian. Tetapi ada beberapa kes yang kita lawan, menang juga akhirnya.

“Jadi jangan takut untuk dapatkan hak kembali,” katanya.


Artikel oleh: Malaysia Post

TANDATANGAN BORANG KOSONG CARA AH LONG, PEGUAM RAMPAS ASET PEMINJAM

http://malaysiapost.com.my/2020/10/31/tandatangan-borang-kosong-cara-ah-long-peguam-rampas-aset-pemimjam/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...