Thursday, November 15, 2018

4712) PPIM GESA TINDAKAN TEGAS PIHAK GAGAL SELENGGARA TEROWONG – SINAR HARIAN – 14/11/18



KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyelenggarakan terowong di Jalan Tun Razak susulan kejadian banjir kilat yang menyebabkan lima kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter, di ibu negara Ahad lepas.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku berikutan lokasi kejadian terletak di tengah-tengah segi tiga Kuala Lumpur dan berhampiran terowong Stormwater Management and Road Tunnel (Smart).
“Kami difahamkan, selain terowong di Jalan Tun Razak yang tenggelam, ada beberapa kawasan termasuk tempat letak kereta sebuah pasar raya yang terletak bersebelahan terowong Smart juga ditenggelami air. Kami memandang serius kejadian itu kerana ia melibatkan mangsa yang terperangkap di dalam terowong.
“Kerajaan harus mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti punca kejadian banjir kilat di kawasan tersebut dan pihak bertanggungjawab harus dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kejadian banjir kilat itu bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh atau perkara biasa kerana ia melibatkan kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa.
“Terowong Smart yang bernilai RM1.93 bilion itu sepatutnya berperanan menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu semasa waktu sesak.
“Namun hakikatnya, sehingga kini laluan tersebut terkenal dengan kawasan kesesakan trafik dan kini banjir kilat,” katanya.
Ahad lalu media melaporkan lima buah kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter akibat banjir kilat di tengah bandar Kuala Lumpur.
Seorang pemandu dilaporkan terperangkap dan menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap kenderaannya.
Gambar mangsa duduk di atas bumbung kenderaannya ketika menunggu bantuan tiba tular di media sosial dan rata-rata netizan dan warga kota terkejut dengan insiden tersebut.

Artikel Oleh : Sinar Harian
PPIM GESA TINDAKAN TEGAS PIHAK GAGAL SELENGGARA TEROWONG

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...