Wednesday, November 14, 2018

4711) KENYATAAN MEDIA TEROWONG ‘SMART’ ANCAM NYAWA PENGGUNA - 14/11/18







KENYATAAN MEDIA

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyelenggara terowong di Jalan Tun Razak. Ini berikutan kejadian banjir kilat yang menyebabkan lima kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter, Ahad lepas.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata kejadian seumpama itu tidak  seharusnya berlaku terutama apabila tempat kejadian terletak ditengah-tengah segitiga Kuala Lumpur dan berhampiran terowong Stormwater Management and Road Tunnel (SMART).

"Kami difahamkan, selain terowong di Jalan Tun Razak yang tenggelam, ada beberapa kawasan termasuk tempat letak kereta sebuah pasaraya yang terletak bersebelahan terowong SMART juga ditenggelami air"

"Kami memandang serius kejadian itu kerana ia melibatkan mangsa yang terperangkap didalam terowong," katanya disini, hari ini.

Tambah Nadzim lagi, kejadian banjir kilat bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh atau perkara biasa kerana ia melibatkan kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa.

"Kerajaan harus mengambil tindakan segera bagi mengenalpasti punca kejadian banjir kilat di kawasan tersebut, dan pihak bertanggungjawab harus dikenakan tindakan tegas" katanya.

Tambahnya lagi, Terowong SMART yang bernilai RM1.93 billion itu adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu semasa waktu sesak.

Namun hakikatnya, sehingga kini laluan tersebut terkenal dengan kawasan kesesakan trafik dan kini, banjir kilat.

Ahad lalu media melaporkan lima buah kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter akibat banjir kilat di tengah bandar Kuala Lumpur.

Seorang pemandu dilaporkan terperangkap dan menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap kenderaannya.

Gambar mangsa duduk diatas bumbung kenderaannya ketika menunggu bantuan tiba tular di media sosial dan rata-rata netizan dan warga kota terkejut dengan  insiden tersebut.

Sebarang pertanyaan, hubungi Unit Media PPIM di talian +60192199052 atau +60136116666. Terima Kasih. [TAMAT]

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...